Pernah tak anda menghadapi situasi ini? Sedang asyik belajar atau
melakukan kerja di pejabat, anda terdengar azan berkumandang. Walaupun
anda sedar yang sepatutnya anda meninggalkan kerja dan segera bersiap
untuk solat, anda terasa berat untuk berhenti rehat seketika.
Anda fikir, 'Aku nak habiskan kerja ni dulu. Tinggal sikit lagi ni.
Selepas tu aku solat lah.' Sejam kemudian, ketika waktu solat hampir
habis, anda mendapati kerja anda masih belum siap dan solat masih belum
dilaksanakan.
Sebenarnya, bukan mudah untuk menjaga solat. Bukan mudah, sebab
perlukan mujahadah. Jadi apa yang boleh kita buat? OK, cuba kita
bayangkan waktu solat itu sebagai waktu kita ber'dating' dengan Allah
SWT, cinta pertama dan utama kita.
Apa? Tak pernah ada pengalaman ber'dating' sebab belum berkahwin?
Cuba bayangkan anda akan bertemu kekasih-jantung-buah-hati ataupun
ahli keluarga tersayang. Mesti anda berdebar-debar, pakai baju
cantik-cantik, bersiap awal dan rasa tak sabar nak bertemu dengan orang
itu, kan?
Tak boleh juga?
Jangan risau. Mereka yang tak pernah ber'dating' di luar sana, cuba
kita bayangkan solat itu sebagai sebuah mesyuarat. Saya pasti ramai yang
pernah hadiri apa-apa bentuk mesyuarat, kan? Mesyuarat Agung atau
mesyuarat ahli jawatankuasa program dan lain-lain lagi.
Perasan tak, kita boleh menjaga adab-adab ber'dating' dan
bermesyuarat dengan manusia lebih baik daripada adab dengan Pencipta?
Mari saya senaraikan adab-adab tersebut:
Tampil bersih, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik
Cuba keluar rumah tak gosok gigi, tahi mata dan air liur basi
menghiasi muka, agak-agak ada tak orang nak tengok kita? Tentu kita rasa
malu. Maka, kita perlu fikir perkara yang sama apabila kita menghadap
Tuhan. Kalau kita takut orang bau nafas mulut kita yang tak sedap itu,
cuba kita amalkan gosok gigi setiap kali sebelum solat juga.
Kalau nak keluar rumah, biasanya kita colet minyak wangi, sembur
minyak wangi sebotol dan gosok setiap inci pakaian kita. Kalau menghadap
Allah kita macam mana pula? Tentulah kita perlu mempraktikkan benda
yang sama juga.
Hadir di awal waktu
Kita selalu tepati waktu mesyuarat sebab kita tak nak buat orang lain
tertunggu-tunggu. Mungkin orang itu akan marah dan kecewa terhadap
kita. Hmm... Cuba bayangkan, betapa sabarnya Allah dengan kita selama
ini. Berapa kali kita solat di awal waktu?
Tumpukan perhatian
"Alaa, awak ni kenapa? Sayang ada depan mata awak, tapi fikiran awak kat tempat lain. Ish, bencilah!"
Kalau fikiran kita melayang sewaktu ber'dating' dengan makhluk
bernama manusia pun akan dimarahi. Bayangkan kalau fikiran kita melayang
sewaktu ber'dating' dengan Pencipta. Dah lah tak sampai lima minit
waktu yang diluangkan untuk solat, fikiran pun entah ke mana tak tumpu
pada bacaan. Hmm... Yok periksa sama-sama. Cuba kita fahamkan bacaan
dalam solat...
Tenang dan tidak tergesa-gesa
Apabila berada dalam mesyuarat, ada tak kita tergaru-garu, bergerak
lebih-lebih depan orang ramai? Sekalipun ada semut gigit, mesti kita
cuba tahan, bukan? Kalau kita boleh luangkan masa yang lama dalam
mesyuarat sampai dua, tiga jam tidak tergesa-gesa, mari cuba tidak
tergesa-gesa dalam menyempurnakan solat.
Tak akan ke mana urusan dunia, inikan pula kalau kita tergesa-gesa untuk hiburan semata. Sama-sama kita periksa balik, OK?
Banyakkan berkomunikasi
Salah satu tips untuk kita lebih dekat dengan seseorang adalah dengan
meluangkan masa yang banyak dengan mereka. Barulah kita dapat kenal
hati budi, perangai, citarasa mereka. Sama juga halnya kalau kita nak
lebih rapat dengan Tuhan kita.
Banyakkanlah solat sunat dan membaca Al-Quran. Sebenarnya, semakin
banyak masa yang kita luangkan untuk Allah, semakin kuat kebergantungan
kita kepadaNya. Adulah semua perkara kepada Allah. Bisikkan kata-kata
pujian kepadaNya. Semua ini akan kembali kepada kita, Allah tak pernah
rugi apa-apa pun sekiranya kita beriman atau tidak. Kitalah yang akan
rugi sebenarnya kalau kita sia-siakan masa kita dengan perkara-perkara
lagha.
Baca surat cinta
Kalau kita jatuh hati pada seseorang, meminati seseorang, mesti kita
akan selalu terfikir pasal dia, kan? Baca mesej dia berulang kali,
'stalk' Facebook ...senang cerita semua perkara dan perkembangan tentang dia kita nak tahu. Macam mana pula kita dengan Allah?
Bacalah Al-Quran beserta maknanya. Bayangkan Dia sedang bercakap
dengan kita. Pelbagai nasihat, peringatan serta janji Allah telah
termaktub dalam Al-Quran. Itulah SMS atau surat cinta yang wajib kita
baca selalu ;)
Sama-sama kita kuat mujahadah kejar cinta Allah. Setiap manusia akan
alami satu fatrah yang membuatkan kita rasa jauh sangat dan lalai
mengingati Allah. Biasalah. Perkara itu sangat biasa sebab iman kita
selalu naik turun.
Moga dapat istifadah bersama. Yok mujahadah! Wallahu'alam.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment