Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Monday, December 26, 2011

menimba pengalaman berharga



1) Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman itu. Apabila dituai hasil/buah itu seolah-olah masih belum dituai dan ia berlaku berulang-kali. Melihatkan itu, Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail bahawa itulah kaum yang berjihad “fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan ada yang lagi banyak dari itu.

2) Tempat yang berbau harum. Jibrail memberitahu Rasulullah bahawa itulah kubur Masyitah ( tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suami dan anak-anaknya, yang dibunuh oleh Fir’aun sebab tidak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan.

3) Sekumpulan manusia yang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan kepala itu akan sembuh dan dipecahkan lagi berulang kali. Jibrail memberitahu Rasulullah, itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud kepada Allah ( melakukan solat)

4) Sekumpulan manusia yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain dan mereka dihalau bak binatang. Mereka memakan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Jibrail memberitahu, itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5) Satu kaum yang memakan daging mentah yang busuk walhal daging masak ada di sisi mereka. Jibrail memberitahu, itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan masing-masing mempunyai isteri dan suami.

6) Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail, itulah orang yang makan riba.

7) Lelaki yang memikul seberkas kayu dan tidak berdaya untuk memikulnya tapi ditambah lagi dengan kayu yang lain. Jibrail memberitahu Rasulullah, itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tapi menerima amanah yang lain.

icon cool Pengalaman Berharga Sepanjang Perjalanan Israk Mikraj Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali dan setiap kali digunting lidah dan bibir akan kembali seperti biasa. Jibrail memberitahu, itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia tidak melakukannya.

9) Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail, itulah orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela dan menghina) orang.

10) Seekor lembu jantan keluar dari lubang yang sempit dan tak dapat masuk semula ke dalam lubang itu. Kata Jibrail, itulah orang yang bercakap besar (takbur) dan kemudian menyesal tapi dah terlambat.

11) Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Tetapi Rasulullah tak memperdulikannya. Jibrail berkata, itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada Akhirat.

12) Seorang perempuan duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Tetapi Rasulullah tak menghiraukannya. Kata Jibrail, itulah orang yang mensiakan umurnya sampai tua.

13) Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail, itulah gambaran dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

aku juga mampu

Sedar tidak sedar dunia semakin tua, masa semakin pantas berlalu. Rambut yang dahulunya hitam sudah kelihatan sedikit keputihan. Kudrat yang dahulunya gagah sudah semakin lemah.

Wajah yang dahulunya jambu sudah menjadi layu. Ini semua bukti kepesatan masa yang tidak mampu sesiapa pun mengawalnya.

Dalam keadaan sebegini kita sebenarnya memerlukan satu dahan untuk berpaut. Berpaut dari terus dihanyutkan arus dunia yang entah membawa kita ke arah mana. Kita perlukan dahan sebegitu teguh dan kuat kerana bukan hanya kita sahaja yang mahu memautnya tetapi juga ayah, ibu, rakan, teman dan semua mereka yang tidak mahu terus tenggelam oleh tsunami masa gila.

Usah terus dipermainkan oleh dunia tetapi kitalah yang harus mempermainkanya. Kata ustaz di masjid kelmarin, hanya jika benar kita faham apa makna dunia, maka tiada langsung niat mengejar kemewahan yang menggila ini akan terlintas.

Tidak terfikir nanti mahu memiliki kereta mewah skyline atau lancer. Tidak terfikir mahu memilik i-phone dan tidak berminat mengejar chikaro cantik berdahi lincin dan berdagu runcing. Ini semua permainan dunia.

Siapa kata tidak mahu bercinta?

Siapa kata tidak cemburu dan jeles melihat kalian berpegang tangan dan berpesta. Itu belum masuk bercumbu cendana di bawah pohon mangga. Cemburu dan jeles. Aku juga punya nafsu, aku juga punya cinta. Adakah kamu percaya?

Aku ada henset yang cukup kreditnya untuk sms setiap masa. Aku punya cukup wang mahu keluar berdating dan menonton wayang juga. Walaupun henset aku murah dan bukan i-phone tetapi aku mampu untuk bergayut berjam-jam bersama yang tercinta. Ya, aku mampu melakukanya seperti apa yang kau lakukan bersama si dia!

Cuma aku tidak mampu untuk menghina agama. Agamaku cantik, bersih, lengkap dan indah. Tuhan aku dan Rasul aku tidak pernah sesekali mengizinkan perhubungan anatara bukan mahram sebelum akad terlaksana. Cuma itu sahaja beza upaya kita.

Ini sahaja yang aku tidak mampu melawannya tetapi kau yang terlalu berani membuat langkahan sedemikian rupa. Cuma, aku berjanji dan bersumpah andai sudah terlaksana akad yang penuh makna suatu hari nanti, wanita itu akan menjadi permaisuri paling berharga kerana cintaku tidak pernah ternoda.

Pada Allah S.W.T tempat aku berpaut dan berdoa, semoga terus melindungiku dari tsunami dunia yang menggila. Semoga aku, kau dan mereka terus berpaut pada dahan yang sama.

Thursday, November 10, 2011

Izinkan Cuma Engkau yang Bertakhta di Hati

Di pelataran dinginnya malam, ku terdampar sendiri.

Saat ini, tika ini, hati seakan terdera dengan amukan hawa nafsu dan perasaan yang mengetuk-ngetuk tangkai hati. Tidak semena-mena, titisan jernih jatuh, setitis demi setitis. Hati sebak.

Dibiarkan air jernih itu mengalir hangat. Berlawan dengan emosi, ternyata seringkali diriku menjadi kalah. Nurani membentak, jiwa ini tidak tenang. Kenapa? Kenapa begini? Kenapa sekarang jadi begini?

Dulu hati itu dapat merasai sebuah ketenangan. Namun kini ketenangan itu seakan-akan diragut. Diragut oleh siapa? Apakah ia hilang ditarik oleh Tuhan? Atau kerana dosa-dosa yang dilakukan? Soalan-soalan itu bertubi-tubi menyoal, namun hati sememangnya tidak mampu menjawab. Terdiam sepi. Adakah hati itu telah mati?

Memang tidak ku nafikan, dia sangat menyayangi diri ini. Tetapi berkali-kali ku ingatkan pada diri, kasih sayang itu tidak abadi!

'Berpada-padalah dalam menyayangi, jika tidak kelak dikau akan menangisi!'

Entah dari mana suara itu datang dan berbisik pesanan, kemudian hilang.

Namun kini, ku pula yang terkena panahan kasihnya itu. Semakin ku lari, semakin dia mendekati. Benarlah. Menjaga sekeping hati amat sukar sekali. Perlu sangat cermat dan berhati-hati. Ku mengeluh, melepaskan sebuah keluhan perasaan yang berat, yang semakin memberati rasa hati.

Jiwa ini tidak lagi suci, terasa ia tersangat kotor.

"Ya Ilahi, di manakah Engkau selama ini yang bertakhta di hati? Kenapa ia sekarang telah terganti dengan makhlukMu? Kenapa diri terlalu tega menggantikan tempat teragung itu dengan insan dan makhlukMu yang hina?"

Hati bermonolog lagi sendirian. Tidak! Ia punya peneman. Sang Tuhan yang sentiasa sentiasa ada mendengar setiap keluhan.

"Astaghfirullahalazim.... Ighfirli Robbi... Ighfirli...."

Bibir memantulkan kalimah suci itu perlahan-lahan. Bibir diketap erat. Menahan tangkai emosi yang kian membuak-buak rasa pilu dan syahdu bila menyebutkan nama terindah itu, jiwa menjadi mudah terusik.

Berbicara dengan Sang Agung, air jernih itu terus menitis kemudian semakin mencurah-curah. Teresak-esak.

"Ya Rabbi, pegang hati ini, dakaplah ia seerat-eratnya, jangan sesekali biarkan ia termiliki oleh makhlukMu, ku tidak sanggup menggantikan tempatMu dengan yang lain, tidak sanggup juga berkongsi rasa itu, ku cuma mahu kasih itu teragung untukMu, ku cuma mahu rindu itu terpatri untukMu, ku cuma mahu cinta itu hanya membunga untukMu Tuhan, jangan biarkan daku terkalahkan dengan emosi dan perasaan yang seringkali dipermainkan oleh syaitan.

Ya muqallibal qulub, tetapkanlah jiwa ini setulusnya di jalanMu, pancarkan cahaya bagiku di jalan yang gelap agar aku tidak teraba-raba kesepian sendirian di hujung jalan yang kelam, jangan biarkan ku terus begini tanpaMu disisi.

Tuhan, Izinkanlah! Cuma ingin Engkau yang bertakhta di hati ini "

Berkali-kali kalimah itu diungkapkan pilu dalam pelantaran sujudnya. Wajah diraup setelah tangan menadah. Hati terus berdoa dan berharap, semoga Dia menerima segala-galanya.

-Artikel iluvislam.com

Wednesday, November 9, 2011

Allah Ajarkan Rahsia Kebahagiaan Hidup

Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah. Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?

Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah? Mudah saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah dan betul-betul menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang selain-Nya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci yang hilang.

Sebaik anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran, pertama kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu. Sekiranya kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan kepada Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.

Bayangkan di dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat. Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah latihan yang Allah sediakan.

Solat adalah suatu perbuatan yang dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali akan menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru Allah mewajibkan hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan dirinya dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka solat iaitu Doa Iftitah, "Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi" dan kalimah seterusnya "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah".

Bayangkan sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah ini iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan diri dan kehidupannya kepada Allah di luar solat. Dia juga akan berjaya mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar akan Allah setiap waktu dan ketika. Firman Allah; ".. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar"

Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini? Pertamanya kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru, ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya. Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.

Keduanya, setelah kita belajar solat dengan khusyuk, mengapa kita masih mempunyai masalah untuk khusyuk? Ini adalah kerana dalam diri kita ada nafs (hawa nafsu) yang sering mengajak kepada kejahatan. Diri kita masih mempunyai banyak keinginan yang berkaitan dengan dunia.

Justeru ketika kita mahu menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat, keinginan-keinginan dunia dari hawa nafsu akan menarik kesedaran terhadap Allah dan membawa kita kesedaran dunia dan isinya. Justeru solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak menghadap kepada Allah tetapi kepada selain-Nya. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini?

Allah sudah menyiapkan senjata untuk kita menawan hawa nafsu kita agar dia menjadi lemah dan tidak mampu untuk menarik perhatian kita dari Allah. Senjata itu adalah Puasa.

Hawa Nafsu kita berasal dari dorongan jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan secara otomatisnya melemahkan dorongan untuk membesarkan hawa nafsu. Justeru latihan 30 hari di bulan Ramadhan adalah senjata yang sangat hebat untuk menawan hawa nafsu itu. Bayangkan setiap hari kita melemahkan jasad dan dorongannya. InsyaAllah di akhir bulan Ramadhan, kita akan berjaya menawan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan itu dan akhirnya berjaya solat dengan khusyuk dan menghadapkan secara penuh kepada Allah. Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam keadaan suci dan itulah sebab kita sering mendengar ungkapan "kembalilah ke fitrah yang suci" di bulan Ramadhan.

Allah memberikan kita senjata yang kedua untuk benar-benar menawan hawa nafsu kita. Senjata yang kedua adalah zakat. Di dalam bulan Ramadhan kita digalakkan berzakat atau bersedekah. Memberi yang digalakkan Allah adalah memberi sesuatu yang dicintai. Contohnya seorang yang mempunyai banyak kambing, haruslah memilih kambing yang terbaik untuk disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi harta yang dicintai ini akan membebaskan kita dari ikatan kecintaan harta dan dunia yang sering menarik kesedaran kita dari kesedaran ke Allah kepada kesedaran dunia dan isinya. Justeru dengan senjata yang kedua ini, kita akan lebih mudah untuk solat dengan khusyuk.

Apa jadi selepas bulan Ramadhan? Senjata sudah tidak digunakan lagi?

Pastinya kita memerlukan senjata ini setiap waktu dan ketika kerana kita harus menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah setiap bulan dan bukan hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan hamba-Nya untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah berpuasa enam hari berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di mana kita benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan 'open house' di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga senjata yang kedua iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam itu.

Apa yang berlaku selepas puasa enam? Rasulullah mengajar kita untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu senjata yang tidak harus ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu untuk sentiasa solat dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya dipertahankan (kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah berjaya dilemahkan dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan senjata Puasa ini secara berterusan.

Jangan lupa juga untuk keluarkan zakat atau bersedekah apabila melakukan Puasa Sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah kita dapat menghidupkan suasana Ramadhan setiap minggu; Isnin, Khamis berpuasa, Jumaat kita raya (ada khutbah Jumaat) dan jangan lupa bila ke Masjid untuk solat berjamaah, hulurkan wang yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada sesiapa yang memerlukan. Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.

Inilah rahsia hebat yang sering kita terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat hanya jadi rutin beragama yang dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru di bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan menawan hawa nafsu jadi bulan yang paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa nafsu makan semasa berbuka, hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas, membeli langsir dan sebagainya. Jadilah Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan dahaga yang disebutkan oleh Rasululah.

Dengan Ilmu solat dengan khusyuk dan dua senjata hebat, Puasa dan Zakat, insyaAllah kita akan mampu Solat dengan benar-benar menghadapkan wajah kita kepada Allah sepenuhnya. Justeru, begitulah juga kita di luar solat, insyaAllah benar-benar mampu menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah dan menjadikan hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Inilah erti Kalimah Syahadah yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan telah menyempurnakan Syahadah kita.

Rumusannya, Solat adalah cermin diri dan kehidupan kita. Bagaimana kita solat, itulah diri dan kehidupan kita. Itulah sebab kenapa Solat adalah soalan yang pertama ditanya oleh Allah bila kita kembali menghadap-Nya satu hari nanti. Baik solat kita, baiklah kehidupan kita dan masuklah kita ke Syurga yang disediakan untuk orang-orang yang menjaga solatnya.

Belajarlah Solat dengan Khusyuk, rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan kecintaan kepada dunia dengan sering bersedekah dan berinfaq di jalan-Nya. Semoga kita dipanggil pulang oleh Allah sebagai jiwa yang tenang dan berjaya memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang didiami oleh ruh para kekasih Allah. Amin Ya Allah.

Firmah Allah yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan puas lagi diredhaiNya, Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu" (Al-Balad: 27-30)

-Artikel Iluvislam.com

hati yang cedera

Bila jiwa kacau risau tentang masa depan,
Bila hati sesak dengan karenah manusia yang tidak memahami,
Bila jiwa sukar berlapang dada,
Bila hati disempitkan dengan sangkaan buruk terhadap saudara lain,
Bila hati sentiasa ingin marah,
Bila hati mula berjinak dengan nafsu yang Allah tidak redha.

Bila akal lupa tujuan asal hidup,
Bila diri terasa enak berlingkar dengan maksiat,
Bila hati puas melakukan perkara yang tidak berbuah amal,
Bila jasad duduk enak tanpa berbuat ma'aruf.

Bila air mata terlalu sukar untuk dititiskan untuk-Nya,
Bila hati mula mengeras,
Bila fikiran melayang untuk perkara sia-sia,
Bila hati mula berputus asa terhadap rahmat dan nikmat-Nya.

Bila diri mula meminta yang berlebihan,
Bila hati mula meminta untuk yang bukan haq,
Bila diri rasa sudah cukup,
Bila lidah terlalu keras untuk mengalunkan zikir.

Bila cemburu terhadap nikmat dan rezeki insan lain,
Bila diri berpura baik di hadapan manusia,
Bila hati merasa perbuatan dosa sebagai tidak apa,
Bila diri sentiasa mahu dipuji.

Bila hati tidak yakin dengan janji-Nya,
Bila diri menyesal dengan setiap taqdir-Nya,
Bila hati sentiasa mencari aib dan salah orang lain,
Bila diri sentiasa ingin memuaskan selain dari Allah.

Bila hati merasa bebas dari jagaan Allah,
Bila merasa diri milik mutlaq diri sendiri,
Bila hati merasa aman melanggar amanah,
Bila merasakan tiada yang lebih penting melainkan diri sendiri.

Bila diri terlalu banyak beralasan,
Bila setiap perbuatan tidak terniat untuk Allah,
Bila diri mula berasa berat untuk sembah dan sujud kepada-Nya,
Bila telinga lebih enak dilagukan dengan selain ayat-ayat suci-Nya.

Bila mulut lebih senang berbicara tentang dunia dari manisnya syurga,
Bila redha manusia lebih dicari daripada redha Allah,
Bila merasa cinta manusia lebih asyik daripada cinta Allah,
Bila hati tidak rindu untuk bertemu-Nya,
Bila hati mula disempitkan dengan dunia,
Bila diri sombong tidak mahu meminta kepada-Nya,
Bila setiap akal, jiwa dan jasad terikat dengan dunia.

Hati itu bukan hati aku lagi..

Heal my heart ya Allah..

Bless me with a new heart..

- Artikel iluvislam.com

Tuesday, November 8, 2011

kasih sayang tiada noktah

Setiap anak di kurniakan ibu bapa. Tetapi sejauh mana boleh kita buktikan kasih dan sayang kita kepada ibu bapa sendiri. Adakah cukup sekadar memberi wang setiap bulan .Adakah itu bukti kasih sayang kita kepada mereka.

Ada kisah yang ingin dikongsikan di sini. Kisah seorang anak yang sanngup berkorban untuk menjaga bapanya yang sedang menderita sakit buah pinggang walaupun terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Ibunya telah meninggal dunia sejak dua tahun yang lalu.

Tiga hari seminggu, dia akan membawa bapanya ke pusat dialisis untuk menjalani rawatan. Setiap keperluan bapanya di urus dengan baik. Walaupun mempunyai adik-beradik yang lain, tetapi bapanya amat selesa dengan anak perempuannya yang seorang ini. Setiap kali dia menghantar bapanya untuk menjalani rawatan, segala keperluan untuk bapanya di penuhi, antaranya menyuapkan makan, memakaikan stoking dan lain-lain.

Kalau di lihat kerja itu memang nampak mudah, tetapi melayan kerenah orang tua, bukan semudah yang disangkakan. Kita perlu banyak bersabar, begitu juga, ibu bapa bersabar membesarkan kita sehingga kita dewasa. Tetapi berapa ramai anak yang sanggup untuk menghabiskan masa menjaga orang tua walaupun mempunyai segulung ijazah .

Adakah kita mampu untuk menjaga ibu bapa kita seperti itu? Belum tentu lagi kita mampu untuk melakukannya. Sekarang mungkin kita akan kata kita mampu untuk menjaga ibubapa kita, tetapi bila tiba masanya, kemana kita pada waktu itu. Sibuk mencari wang sehingga mengabaikan kedua ibu bapa kita.

Cuba fikirkan sejenak, berapa kali kita melawat ibu bapa kita, itu pun setahun sekali pada hari raya. Dan yang menetap bersama ibu bapa, sejauh mana kita telah berbakti kepada mereka. Membantu meringankan kerja mereka dirumah, itupun sudah cukup melapangkan hati mereka melihat anak membantu keperluan di rumah selain bantuan kewangan. Tetapi persoalannya, adakah kita melakukannya?.

Banyak bukti menunjukkan bahawa berbakti kepada kedua ibubapa adalah persoalan penting dalam islam. Allah menegaskan hal ini dalam firmannya:

"Allah telah menetapkan agar kalian tidak beribadah selain kepada-Nya; dan hendaklah kalian berbakti kepada kedua ibubapa". (Al-Isra' :23)

Allah talah meletakkan keredhaan-Nya pada keredhaan ibubapa.Rasul bersabda ;

"keredhaan Allah bergantung pada keredhaan kedua ibubapa.Kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan ibubapa" (HR.BUKHARI DAN MUSLIM)

Marilah kita sama-sama renungkan pengorbanan ibu bapa kita yang tiada penamatnya. Jasa mereka tidak mampu kita balas walaupun dengan jutaan wang ringgit. Apa yang penting, kasih sayang kita pada mereka yang tiada hentinya. Doakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat, Jadi lah anak yang tahu mengenang jasa ibubapa. Hargailah pengorbanan mereka.

- Artikel iluvislam.com

kenikmatan di sebalik kesakitan

Tahukah kita bahawa di sebalik kesakitan yang kita perolehi itu ada kenikmatan yang dianugerahkan oleh-Nya? Tetapi betapa sikitnya umat manusia yang bersyukur atas nikmat yang diberi ini walaupun mensyukuri nikmat itu suatu kewajipan atas orang yang beriman. Manakala kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya.

Namun kenikmatan ketika sakit itu hanya dapat diukur oleh orang yang sedang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut hilang. Bilamana sakit tersebut menimpa, maka sekali gus telah melenyapkan kebahagiaan.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."

Namun sebagai orang hamba yang beriman, apabila ditimpa musibah penyakit ia tetap berzikir kepada Allah, bersyukur, bersabar dan mengharapkan ganjaran pahala. Sebagai mana sebuah hadis riwayat Muslim daripada Suhaib r.a., beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): 'sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh keadaanya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya."

Betapa Beruntungnya Orang yang Sakit

Sekiranya orang yang sakit mahu merenung pelbagai keuntungan dan kebaikan dari penyakitnya, nescaya ia tidak akan mengangankan kesembuhan daripada penyakit tersebut.

Salah satu kelebihan sakit ialah ia dapat mengangkat darjat seseorang di sisi Allah. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya."

Apabila cubaan dan penyakit menimpa orang yang memiliki hubungan yang baik dengan Allah, lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda kebaikan dan tanda cinta kasih daripada Tuhannya. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah percepatkan seksaan di dunia."

Abdullah bin Mas'ud r.a. pernah menemui Rasulullah s.a.w. ketika Baginda mengalami demam yang amat teruk. Beliau bertanya: "Wahai Rasulullah! Engkau juga mengalami demam seteruk ini?" Baginda menjawab: "Betul. Bahkan aku merasa demam dua kali ganda lebih berat daripada yang biasa kamu rasakan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sa'ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang: "Siapakah orang yang paling berat cubaannya?" Beliau menjawab: "Rasulullah s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud): 'Orang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang dibawah kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah maka cubaan yang menimpanya sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di bumi tanpa memiliki sekelumit dosa pun."

Suatu hari, Rasulullah s.a.w. datang menemui Ummu al-Saib. Baginda bertanya: "Kenapa engkau menggigil seperti itu wahai Ummu al-Saib?" Wanita itu menjawab: "Demam, Allah tidak memberkati padanya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau mengutuk penyakit demam kerana penyakit itu boleh menghapauskan dosa anak-anak adam..."

Ulama' Mengharapkan Sakit

Imam Ibn Abi al-Dunya menceritakan: "Sesungguhnya para ulama' dahulu mengharapkan ditimpa demam satu malam agar diampunkan dosa-dosa mereka yang lampau."

Mengapa perlu bersedih apabila ditimpa penyakit? Kemungkinan dengan penyakit itu kita memiliki kedudukan di sisi Allah Taala yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan amal ibadat. Jadi, Allah terus memberi cubaan kepada kita dengan hikmah-Nya yang mungkin kita tidak menyukainya, lalu ia mengurniakan kepada kita kesabaran dalam menghadapinya sehingga kita mencapai kedudukan tersebut.

Antara Maha Lembutnya Allah s.w.t. dan rahmat-Nya, bahawa apabila Allah menutup satu pintu kebaikan bagi seseorang, nescaya ia akan membuka banyak lagi pintu kebaikan yang lain. Bagi orang yang sakit, Allah tidak menghalangnya daripada mendapat pahala daripada pelbagai ibadah yang biasa mereka lakukan, meskipun mereka tidak menyempurnakan lagi kerana mereka sakit.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Musa al-'Asy'ari r.a., beliau bercerita: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Kalau seseorang hamba sakit atau sedang bermusafir, pasti Allah akan menulis baginya pahala seperti ketika ia mengamalkan ibadah semasa masih sihat dan sedang bermukim."

Kemuliaan apa lagi yang mahu diperoleh setelah diberikan Allah kemuliaan ini? Keutamaan apa pula yang lebih luas selain daripada keutamaan dari Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan? Ketika sakit, seorang hamba berehat, namun Allah masih menulis pahala daripada ibadah dan perbuatan baik yang diamalkan semasa sihat.

Jangan Risau! Setiap Kesukaran Itu Ada Kemudahan

Sesungguhnya setiap kali Allah mendatangkan kesusahan, pasti Allah mendatangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia menjadi sunnatullah yang berlaku terhadap makhluk-Nya.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud: "Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan(5). Sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan(6)."

Boleh jadi pelbagai kesukaran dan kesulitan itu membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti akan ada jalan keluar dari sisi Allah yang akan diperolehnya. Mungkin sahaja seseorang yang menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh penyelesaian, tiba-tiba terbuka di hadapannya jalan keluar yang tidak pernah ia terfikir sebelumnya.

Bagi orang diberi ujian(penyakit) daripada Allah, janganlah kita berburuk sangka kepada Allah, berasa kecewa dan berputus asa kerana apa-apa sahaja yang terdapat dalam persangkaan seorang hamba, maka begitulah yang Allah lakukan terhadapnya.

Jika hamba itu bersangka baik kepada-Nya, maka Allah akan memberikannya perkara-perkara yang baik. Sebaliknya jika hambanya bersangka buruk terhadap dirinya, maka Allah menganggap ia sebagai satu doa, bahkan Allah akan mengabulkan doa itu sesuai dengan permintaannya sebagaimana hadis riwayat oleh Imam Ahmad:

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla berfirman: 'Aku hanya mengikut sangkaan hamba-Ku sahaja. Kalau ia bersangka baik kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu. Kalau ia bersangka buruk kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu terhadapnya."

Akhir kalam, Sentiasalah bersabar atas dugaan kesakitan yang diberi kerana sedetik masa orang yang sakit itu dinilai oleh-Nya. Mungkin nilaian inilah yang memberatkan timbangan amal kita apabila dihisab di akhirat nanti. Wallahua'lam.

- Artikel iluvislam.com

Monday, November 7, 2011

kelazatan hidup pada keikhlasan memberi

Alunan ayat al-Quran dibiarkan beralun dalam bilik Muhammad. Helaian buku Physiologi di buka satu persatu. Membaca dan terus membaca. Meniti untaian fakta dengan teliti. Namun, semuanya jadi serba tidak kena. Baca sahaja sudah berulang kali banyaknya. Tetapi masih belum dapat kuasai dan ingat fakta-fakta penting dalam buku itu.

" Ya Allah, ini mesti ada sesuatu yang tidak kena ini. Ya Allah, permudahkanlah aku untuk memahami dan mengingati fakta-fakta ini." Keluh Muhammad.

Lantas, dia berwhuduk. Sejadah dihampar. Kala gelap malam itu, dia bermunajat kepada Allah S.W.T. Menangis meminta ampun atas segala dosa-dosa yang telah dia lakukan selama ini. Bertaubat. Dia tahu, kerana maksiatlah, hatinya jadi tak tenteram. Hitam.

Bagaimana ilmu yang suci itu mahu menerjah masuk ke lubuk hatinya jika tidak dahulu dibersihkan?

Terdengar rintihannya meminta kepada sang Khaliq untuk memberi kepada dia kefaqihan dalam ilmu Agama dan kefaqihan dalam ilmu Perubatan. Muhammad merintih bersungguh-sungguh.

Baru sahaja Muhammad pergi menziarah makam Imam as-Syafie dan Imam Waqiq. Dia terkenangkan kisah Imam as-Syafie yang sukar untuk mengingat pada satu ketika, lantas mengadu kepada gurunya, Imam Waqiq. Mudah sahaja jawapan guru Imam as-Syafie, ilmu itu tak boleh menembusi hati yang wujud palitan maksiat.

Sebelum itu, Imam as-Syafie telah terlihat betis seorang wanita di pasar. Baru beliau ingat. Allah... Sucinya hati mereka. Hebat. Jika terlihat macam itu pun sudah boleh memberi kesan terhadap hati kita, apatah lagi jika sudah banyak kali.

Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah S.A.W beliau bersabda:

"Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan "ar-raan" yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang ertinya), 'Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka'." ( HR. At Tirmidzi no. 3334, Ibnu Majah no. 4244, Ibnu Hibban (7/27) dan Ahmad (2/297). At Tirmidzi mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini hasan.)

Usai sahaja bermunajat, Muhammad terus switch on laptop ASUS N53SVnya. Tanpa difikirkan lain, dia terus menelefon mamanya melalui internet. Begitulah Muhammad, tatkala susah, pasti dia akan telefon ibunya. Meminta agar ibunya doakannya. Meminta kata-kata semangat daripada ibunya.

Tidak kurang juga tips-tips berguna. Walaupun ibu bapanya bukanlah orang hebat, hanya guru biasa, nasihat mereka sangat berharga. Berlainan dengan kawan-kawannya yang lain di Malaysia, segelintirnya lebih suka mengadu kepada 'awek' masing-masing. Peluang itu juga digunakan untuk melepaskan rindu yang terbuku. Walau jauh di lain benua, namun mereka tetap istimewa.

Muhammad meneruskan aktiviti studynya kembali. Terus diniatkan kerana Allah S.W.T. Kerana dia percaya, studynya bakal jadi indah, jika dihiasi niatnya kerana Allah S.W.T. Diulang kembali apa yang tidak difahami. Di teliti kembali fakta-fakta yang tertangguh sebentar tadi.

Ya Allah, sungguh mudah kali ini. Lebih mudah dari tadi. Alhamdulillah. Hatinya rasa lapang. Syukur ke hadrat Ilahi. Kawan-kawan di sekitarnya juga kerap menolongnya. Syukurlah.

"Kelazatan Hidup Pada Keikhlasan Memberi"

Sungguh benar kata-kata itu. Baru kini Muhammad menyelami maksudnya. Memberi tanpa keikhlasan, ibarat tiada apa-apa. Mungkin mendapat pujian, tetapi ianya tidaklah seindah pemberian yang di debungai dengan keikhlasan kerana Allah S.W.T.

Andai kita tidak pernah memberi, bagaimana kita akan dapat merasai kelazatannya? Berilah apa sahaja yang termampu.

Setakat di bumi Mesir ini, Muhammad berhajat mahu menerjah ke lembah ilmu sepenuhnya. Pernah dia ditawarkan untuk memegang biro itu dan ini, AJK persatuan itu dan ini.

Namun, setelah hatinya menimbang kembali, nyata dia lebih rela meletakkan dan menumpukan seluruh jiwa raganya setakat ini khas buat 'kekasih' idamannya yang bernama Ilmu.

Sehandal mana pun softskill yang kita ada, namun jika masih kegersangan ilmu, tiada gunanya juga. Bagimana hendak memberi, jika diri sendiri masih belum terisi?

Lagipun, tujuan utamanya ke Lembah Nil ini, sememangnya ingin mengutip mutiara-mutiara ilmu di sini. Jadi, tidak perlulah memberi melalui medium-medium seperti itu. Belum lagi sesuai, katanya. Bukankah 'memberi' masa kita untuk menuntut ilmu juga di ketegorikan sebagai 'memberi'?

Namun dia tidak pernah menghalang orang lain untuk 'memberi' melalui medium-medium seperti itu.

Percayalah, jangan jemu untuk memberi. Walaupun ia hanya segenih ( LE 1.00 ) kepada si peminta sedekah. Ia membawa jutaan kejutan yang tidak kita sangkakan, insya-Allah. Rasailah sendiri.

Friday, November 4, 2011

Harga

Aku mahu marah hari ini.

Banyak perkara berselirat di dalam hati. Perkara-perkara dahulu, hinggalah apa yang berlaku kini. Semuanya tidak adil padaku. Aku banyak menjadi mangsa. Kini jiwaku sengsara.

Air mata mengalir jatuh pada pipi. Perlahan-lahan kemudian menitis melekat pada bumi. Aku yang menelentang memandang ke langit biru. Cuba mendamaikan hati tetapi pilu tetap pilu.

Akhirnya mengangis teresak-esak, itulah yang aku mampu.

Mengapa aku menjadi mangsa?

Satu persoalan yang sering aku tanya. Tetapi tiada yang menjawabnya.

Mengapa aku perlu bersabar?

Satu lagi soalan yang biasa muncul. Tetapi tiada yang akan mampu memberikan balasan yang betul.

Aku meleret garis muram pada bibir. Esakan berkurangan tetapi air mata terus mengalir.

Berputar semua memori. Buat rasa marah bertimbun-timbun dalam diri.

Tetapi aku tidak mampu.

Yang aku mampu hanya menangis sendiri.



*******



Realiti dunia, akan wujud manusia yang berhati busuk. Yang kalau kita berkata apa pun, mereka hanya akan tahu memberikan tohmahan dan cacian. Kerja mereka hanya hasad dan dengki. Benci dan benci.

Aku antara yang terkilan dengan jenis yang sebegini.

Mereka banyak merosakkan kehidupanku.

Bayangkan wahai pendengar cerita, cerita yang tidak benar, kadangkala hanya interprestasi peribadi mereka yang tiada ukuran solid, tetapi disebar-sebar seakan itulah dia kebenarannya. Tersebar dibawa mulut, dari si fulanah ke si fulanah, dari fulan kepada fulan.

Lebih kelakar, pendapat yang ditohmah tidak pula ditanya. Bahkan, terus diubah kepada pangkat ‘pesalah’. Akulah yang menjadi penjenayah. Di dalam drama yang mereka tulis skripnya.

Sedangkan, mereka ini, jauh di dalam hatiku aku menganggap sebagai keluarga.

Tetapi itulah yang dilakukan mereka.

Saban gerakku, mereka akan balas dengan rasa meluat.

Aku pergi kepada beberapa orang yang aku sangka sebagai keluarga. Bertanya. Tetapi jawapan adalah sangat mengecewakan. Alasanku tidak mahu didengar. Tetapi apa yang disebut adalah:

“Amran la kena faham dengan mereka. Masalahnya sekarang, Amran dah buat mereka tidak suka.”

Itu jawapan adikku. Menjaga perasaan orang lain adalah fokus nasihatnya saban waktu.

Menjaga perasaan aku? Adalah yang tidak pernah disebut.

Sedang apakah kelukaan yang aku lakukan? Tiada. Kadangkala perasaan hati adalah untuk berkongsi gembira, dengan mereka yang dianggap sebagai keluarga. Ada waktu ingin bersama bercanda mesra, dengan mereka yang aku anggap sebagai saudara. Tetapi semua dipandang sebagai riya’ dan menunjuk-nunjuk. Dengan masam muka dan rasa benci. Dengan pelbagai interprestasi, yang jauh dari realiti.

Pendapat aku? Penjelesan aku?

Tidak pula mereka pinta. Jauh sekali mendengari.

Aku terluka.

Lebih sakit apabila aku bertanya di manakah silapku? Tiada jawapan. Mengapa tidak memberikan jawapan? Katanya nanti aku akan berhujah untuk menyatakan aku di pihak kebenaran. Hairan seribu kali hairan. Penjenayah pun dibicara adil di dalam mahkamah. Tetapi aku, penjelasan buat diri adalah satu perkara yang dipandang sebagai menjelekkan? Pelik.

Seribu satu aibku dijaja. Bahkan kebanyakannya hanya rekayasa.

Aku boleh sahaja bersuara. Tetapi kecewaku membeku suara.

Aku anggap mereka sebagai keluarga!

Marah. Itulah yang bersarang.



******



Aku seperti terperosok dalam lohong hitam. Disedut untuk pergi ke kawasan lebih gelap lagi dalam.

Benci menjalar hati. Derita memagut jiwa. Sakit datang pada diri. Marah muncul pada rasa.

Aku terfikir untuk membalas dendam. Aku ingin bakar mereka semua!

Si fulanah dan fulanah itu, aku ingin putuskan hubungan dengan mereka. Bahkan aku ingin sebarkan semua keaiban mereka. Aku ingin cerita, betapa jeleknya mereka yang selama ini menjaja keburukan aku yang nyata palsu. Sedang apa yang aku tahu tentang mereka adalah kebenaran, sampai kepadaku dari sumber yang jitu.

Aku mahu musnahkan hidup mereka. Menunjukkan wajah sebenar mereka. Memalukan mereka. Agar terkubur terus hidup mereka daripada cahaya.

Ya. Aku fikir begitu.

Ada pula si fulan dan si fulan itu, aku tidak mahu berbicara apa. Tetapi aku mahu pergi dan menumbuk mereka. Berkali-kali dan berkali-kali. Biar remuk segala tulang temulang yang ada. Biar darah bersemburan dan membasahi diri, biar puas segala apa yang ada di dalam hati.

Ya. Aku fikir begitu.

Melempiaskan segala amarah dan tidak lagi buat rasa itu memakan jiwa.

Gelap biar menyelimuti. Kejam biar hingga aku habisi.

Biar di hujung aku tertawa dan berpuas hati.

Mengapa mesti bersabar? Alang-alang sudah dibenci, pasti tidak mengapa untuk aku tidak memikirkan apa-apa. Lakukan sahaja apa yang patut untuk binatang-binatang seperti mereka.

Biar nanti aku tertawa, hahahahaha.



*****



Aku memejamkan mata. Cuba memadamkan ‘aku’ yang baru muncul tadi. Yang ingin memilih resolusi yang memang tidak akan aku sentuhi.

Aku pasung kemas ‘syaitan’ itu jauh di dalam diri. Saban hari ‘dia’ menggegar penjara yang aku reka, agar dirinya dilepasi dan dapat menghabiskan segala kerja memuaskan jiwa. Tetapi aku utuh memagarinya. Tidak mahu dibebaskan liar.

Untuk apa? Aku berfikir.

Dan selepas tawa penuh gila itu, apa yang akan berlaku di dalam kehidupan ini?

Persoalan itu yang membuatkan ‘raksasa’ itu terpenjara, dan ‘pedang’nya tergari. Tidak keluar. Dan tangisan inilah yang menemani. Akhirnya aku seka cecair itu pada pipi.

Kehidupan amat pahit.

Melaluinya amat sakit.

Perlu mengorbankan itu dan ini. Memilih apa yang bukan hati ingin memilih. Bukan sekadar dipandu rasa, tetapi dipandu akal yang bijaksana. Bukan sekadar dipimpin perasaan, tetapi hakikatnya ditimbang dengan neraca keimanan.

Apakah yang aku mahu sebutkan apabila aku berdiri di hadapan Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya nanti jika aku memilih resolusi tadi?

“Ya Allah, sesungguhnya merekalah yang bersalah, sebab itulah aku bertindak sedemikian.”

Sedang tindakanku adalah tanda tidak percaya kepada janji Allah buat yang sabar dengan ujianNya. Sedang Allah tidak menyukai bagi yang berputus asa denganNya.

“Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya tiadalah yang berputus asa daripada rahmat Allah melainkan orang-orang yang kafir.” Surah Yusuf ayat 87.

Maka apa yang aku ada hanyalah percaya. Sabar dalam kepercayaanku itu.

Tidak sesekali aku akan memilih untuk kesempitan di hadapan Allah nanti.

Bersabar.

Nampak pahit jawapan itu. Tetapi itulah yang aku perlu telan.

Dengan itulah kehidupan aku perlu berjalan.

Itulah dia suara keimanan mengarahkan.

Maka dengan itulah aku memilih untuk meneruskan kehidupan.



******



Apakah nilai 100 tahun?

Kalau dahulu semasa di dunia, aku akan nyatakan bahawa 100 tahun itu agak lama. Bahkan, hidup dalam keadaan sabar dalam menempuh duga, terasa 100 tahun itu seperti sejuta tahun lamanya ia. Hanya kerana percayakanNya, aku hidup dalam ketaatan hingga akhirnya.

Kini aku berada di dalam syurga. Terasa seperti segala kepahitan lalu itu tiada.

Semakin lama aku dalam keindahan tanah hijau serba indah ini, seakan-akan terpadam semua derita lama. Seakan-akan luput semuanya menjadi titik kecil yang langsung tiada makna.

Aku bertemu dengan Nabi Nuh tempoh hari. Umurnya lebih panjang. 1000 tahun lebih, dan 950 tahun daripadanya habis di atas jalan dakwah. Pengalamannya nyata mengingatkan aku, betapa beruntungnya aku memilih untuk percaya.

“Bagaimana wahai Nabi Allah yang diberikan umur yang panjang, apakah perasaan dikau pada kehidupan duniamu?”

Nabi Allah itu tersenyum. “Seakan aku memasuki sebuah rumah kecil dari pintu hadapan, dan terus berjalan keluar menggunakan pintu belakang.”

Beruntung aku dengan kesabaran.

Sebentar juga aku bergegar dengan ketakutan. Sedang aku satu saat semasa di dunia, memilih untuk ‘membuang’ kepercayaan aku kepadaNya, memilih untuk mengikut rasa.

Bagaimanakah agaknya jika aku memlih jalan yang sedemikian rupa?

Ketika ini aku melihat di satu arah. Tebing syurga yang membolehkan kami ahlinya berkomunikasi dengan ahli neraka. Saban kali aku melangkah ke sana, untuk melihat akibat sekiranya satu waktu dahulu, dalam kehidupan dunia yang sangat singkat itu, aku memilih jalan yang lain, ayat Allah SWT akan bergema dalam diriku:

“Sesungguhnya nafsu amarah itu akan mengheret kepada kejahatan.” Ayat 53 Surah Yusuf.

Memandang ke bawah, aku melihat mereka.

Yang menohmahku. Yang mencipta rekayasa. Memfitnah dan membuatkan aku selama ini menderita.

Terbakar. Hangus berkali-kali dan kulit mereka diganti lagi setiap kali. Menjerit melolong saban hari.

Bergema firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” Surah Al-A’raf ayat 179.

Sedang mereka itu bukan tidak pernah tahu larangan Allah SWT dalam hal yang dikerjakan mereka.

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” Surah Al-Jathiyay ayat 23.

Dan nafsu serta rasa telah menipu mereka.

Apakah nilai 100 tahun?

Hari ini di syurga aku akan menjawab – tidak berharga walau sebesar kuman pun.

Maka sabar di dunia tiadalah apa besarnya. Sebentar cuma kalau dibanding syurga nan selama-lama. Maka apalah yang perlu dibazir dengan amarah? Maka apalah yang perlu dihakis dengan memuaskan rasa?

Bersabar, menelan kepahitan. Sungguh dunia memang tidak bermakna melainkan kesenangan yang menipu daya.

“Bagaimana?” Satu suara lembut bertanya.

Aku rasa segar dengan suara itu. Kenal dengan tuan punya suara itu.

“Aku bersyukur ya Rasulullah.” Berpaling dan terus bergandingan dengan lelaki terindah yang pernah aku pandang baik di dunia mahupun di akhirat ini.

Hatta kesabaranku, yang aku rasa besar, yang aku rasa satu pengorbanan tidak terhingga saat di dunia dahulu, menjadi kecil bila menjejak syurga dan segala nikmat yang ada.

© Langitilahi.com

Tuesday, November 1, 2011

Pengorbanan Dalam Mentaati Allah

SELEPAS dua bulan kita meraikan Aidilfitri, hari kemenangan ke atas tuntutan nafsu, tidak lama lagi kita menyambut hari kegembiraan dan pengorbanan mengingati Allah, iaitu Aidiladha. Pengajaran terpenting Aidiladha ialah memperingatkan diri kita mengenai pengorbanan, seorang ayah dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah.

Lihatlah nilai yang tersemai dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Pertama, kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah dan tidak berganjak sedikitpun dalam menjalankan perintah-Nya.

Kedua, nilai kesabaran. Nabi Ibrahim dan Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran dihadapi serta tabah dalam menunaikan tanggungjawab. Sanggup berkorban inilah nilai dikehendaki setiap Muslim dalam membangunkan diri untuk menuju ke arah masyarakat cemerlang. Nilai ini amat penting dan perlu disemai dalam diri kita, keluarga serta masyarakat.

Marilah kita lihat akan kepentingan nilai pengorbanan ini supaya kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan seharian. Nilai iman dan keyakinan penuh akan ketetapan Allah bermaksud reda akan ketetapan dan takdir Allah.

Kita sebagai seorang yang beriman perlu percaya akan semua ketetapan ditetapkan Allah. Seorang hamba mestilah sentiasa menerima akan bahagian rezeki yang Allah kurniakan. Inilah sebenarnya kekuatan yang ada pada seorang yang beriman di mana dengan kekuatan iman pada Allah dan prinsip yang teguh dalam dirinya, dia akan menjadi seorang yang mampu untuk berkorban atas dasar mendapat keredaan Allah.

Seorang bapa dengan penuh keimanan akan berkorban sedaya upaya berusaha dalam mencari nafkah bagi keluarganya dan membangunkan mereka dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa saja usaha dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah dan dengan usahanya keluarga yang dibangunkan menjadi sebuah keluarga Islam yang boleh menjadi tunjang kekuatan masyarakat.

Begitu juga seorang ibu pastinya dengan keimanan yang teguh akan mendidik anak-anaknya dengan prinsip agama dan sentiasa berdoa kepada Allah agar menjadikan anak-anak itu orang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Inilah pengorbanan yang sering kita lakukan. Pengorbanan ini akan lebih bermakna apabila tersemat di dalam hati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah.

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zali Engku Alwi

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِن أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
Ceriterakanlah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Kabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan kurban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Kabil). Ia berkata (Kabil): ""Aku pasti membunuhmu!"" Berkata Habil: ""Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa
(Surah Al-Maidah 5: Ayat 27)

Sunday, October 30, 2011

Kematian Itu Pasti

Setiap insan pasti akan merasai 'mati',
Cuma masanya tak siapa pun pasti,
Kegerunan Izrail mesti dihadapi,
Walaupun diri mendesak ingin melarikan diri,
Tapi, kenapa perlu menghadapi mati?

Dengar sini,
Mati adalah salah satu tanda kekuasaan Illahi,
Diam di barzakh menunggu saat tibanya hari penghisaban diri,
Ruang rehat bagi mereka yang iman dan taqwa dijadikan pakaian diri,
Tetapi sebaliknya nasib mereka yang sering memungkiri,
Perintah Illahi.

Jadi,
Buatlah pilihan yang terbaik duhai akhi dan ukhti,
Mana yang lebih kau senangi,
Jika inginkan kebaikan diri,
Bersiap siagalah menghadapi janji Tuhan yang pasti mengunjungi,
Kerana saat tiba kehadirannya kau akan menghadap Illahi.

Akan tetapi,
Jika kau tetap memilih untuk berfoya-foya lagi,
Maka ingatlah!
Tika sampai waktunya, janji kan ditepati,
Mustahil sekali untukmu kembali ke dunia buat kesekian kali.

Oleh itu,
Bertaubatlah wahai diri-diri,
Yang masih diberi peluang untuk kembali kepada fitrah yang suci.

" Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan) maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka tundakan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka dahulukan."(al-Araf:34)

- Artikel iluvislam.com

Wahai seorang wanita dunia

Wahai seorang wanita dunia,

Mengapa kau hanya menunduk sahaja,

Kau begitu menjaga pandanganmu dari segala lelaki dunia,

Dari segala pengaruhnya kenikmatan dunia,

Membuat...

Wajahmu begitu sangat meneduhkan,

Walau hanya bersolek sederhana,

Ibarat bidadari turun dari langit,

Yang wajahnya memancarkan ketenangan dalam hati,

Memenuhi perasaan dan segala jiwa,

Itulah mengapa mata ini pun tidak sanggup,

Menatap untuk kedua kalinya pada wajahmu,

Mata ini hanya boleh menunduk pasrah,

Menahan serangan asmara.

Wahai seorang wanita dunia,

Pakaianmu begitu rapi Islami,

Menutupi longgar seluruh tubuhmu,

Membuat anggunnya dirimu,

Diri ini pun tidak boleh lama mendekatimu,

Diri ini bergetar, gelisah, dan khuwatir,

Kerana diri ini pun terlalu hina untuk dekat denganmu,

Dengan kesempurnaan terjaganya dirimu.

Wahai seorang wanita dunia,

Suaramu menggambarkan bijaksananya dirimu,

Sehingga aku tidak sanggup mendengar suaramu,

Suaramu yang kau lafaz dengan mendayunya dirimu,

Pada semua orang di sekelilingmu,

Membuat aku begitu cemburunya padamu,

Kerana bagiku suaramu,

Hanyalah untuk sesuatu yang mahal,

Iaitu sebuah kebijaksanaan dan kebermanfaatan,

Menghilangkan duka pada fikiran semua orang.

Wahai seorang wanita dunia,

Tingkahmu begitu santunnya segala kesopanan,

Memenuhi segala akhlakmu dalam kemuliaan,

Membuat dirimu yang penuh kelembutan,

Tetapi memancarkan segala bentuk kewibawaan,

Membuat sikap ini pada dirimu begitu segan,

Malu dan begitu enggan,

Kerana tingkahku masih banyak kesalahan.

Wahai seorang wanita dunia,

Cinta di hatimu sangatlah suci,

Kerana cinta di hatimu hanyalah kerana Ilahi,

Membuat hati ini hanya bisa berharap dan berdoa,

Mampu engkau cintai kerana-Nya,

Dan menjadi pendamping serta imammu dalam meniti jalan-Nya,

Hingga Syurga-Nya,

Maka akan aku jaga cinta ini hingga tiba saatnya,

Sambil selalu memperbaiki diriku dalam kemulian-Nya,

Kerana semua sudah termaktub dalam firman-Nya,

Bahawa wanita yang baik hanya untuk seorang lelaki yang baik adanya.

Wahai seorang wanita dunia,

Aku mohon jagalah dirimu,

Itulah mengapa kau dipandang berbeza,

Kerana kau sangat berharga.

Wahai seorang wanita dunia,

Yang membuat iri bidadari semuanya,

Walau seorang wanita dunia,

Engkaulah sang ratu bidadari Syurga.

-Artikel iluvislam.com

Wednesday, October 12, 2011

kisah mencari cinta

Saya yakin ramai yang terkejut kerana tiba-tiba saja saya mengumumkan bahawa saya akan berkahwin. Hehe. Saya sendiri pun macam tak percaya bahawa saya akan berkahwin pada tahun ini. Dan bila sudah selesai akad nikah, rasa macam tak percaya saya sudah pun berkahwin. Dan yang paling kerap ditanya : Kenapa tiba-tiba nak kahwin dan macam mana bertemu dengan suami? Ish ish ish. Terlalu ramai yang bersemangat inkuiri yang tinggi ni.

Cerita Versi Sarah

Saya dan suami merupakan teman sekelas dari darjah 4 hingga 6. Kami kenal sejak sekolah rendah lagi. Dia pelajar yang baru berpindah masuk ke sekolah itu pada tahun 1995. Kami tidak rapat pada mulanya. Sehinggalah tahun 6, barulah kami bertegur sapa. Itupun kerana kami berdua diletakkan oleh ustazah di bilik guru untuk program gempur UPSR. Kawan-kawan yang lain semuanya belajar di dalam dewan. Seingat saya, sejak itu baru kami ada bertegur sapa dan tolong menolong dalam menyiapkan latih tubi UPSR.

Kali terakhir bertemu dengannya ialah pada hari keputusan UPSR diumumkan di penghujung bulan Disember 1997. Hanya kami berdua yang mendapat 5A di sekolah. Tapi, kami langsung tak sempat bertegur sapa selepas mengambil keputusan masing-masing. Memang sekadar di situ. Kemudian dia ke hilir dan saya ke hulu. Saya menyambung tingkatan 1 di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh dan saya sekadar mendengar berita bahawa dia kembali bersekolah di Kuala Lumpur. Sejak itu, kami langsung tidak bertemu lagi.

Saban tahun, saya memang tidak pernah melupakan dia sebagai kawan saya. Pelik juga. Saya ingat terlalu banyak fakta tentang dirinya. Saya ingat tarikh lahirnya, alamat rumahnya, nombor plat kereta ibunya, warna dan jenis kereta ayahnya, nama adik-adiknya juga habitnya ketika tekun menjawab soalan di dalam kelas. Huhu. Kelakar juga bila diingat.

I have no reason why I remember every single fact about him.

Yang saya ingat, ketika bersekolah di Al-Khairiah, setiap kali saya ada mengenali kawan-kawan baru yang kebetulan mempunyai latar belakang pernah bersekolah di Al-Amin Gombak, saya akan jadi tersentak. Dalam hati mesti berkata : 'Thaariq kemungkinan bersekolah di sini lagi agaknya.' Dan bila sudah agak serasi dengan kawan itu, saya akan bertanya kepada mereka berkemungkinan tak mereka mengenali pelajar bernama Ahmad Thaariq. Huhu. Sadis betul mengenang kembali kisah menjejak dirinya suatu ketika dahulu. Sayangnya, memang tetap tidak berjaya untuk mendapatkan berita terkini tentang dirinya.

Sebaik selepas tamat SPM, saya ditawarkan ke Rusia oleh JPA. Selepas seminggu orientasi, saya mula masuk ke kelas untuk mengikuti kelas Bahasa Rusia. Ketika sesi suaikenal, salah seorang pelajar dalam kelas itu ada menyebut dia dulu bersekolah di Al-Amin Gombak sebelum berpindah ke MRSM Pengkalan Chepa. Dalam hati saya terdetik: 'Oh, ni sebaya ni. Ada chance dia kenal Thaariq ni. Hehe.'

Dan apabila bertanya kepada kawan itu, menurutnya, Thaariq telah berpindah sekolah ke Johor selepas tingkatan 2 dan mereka juga sudah tidak berhubung sejak itu. Hati kembali kecewa. Sejujurnya, perasaan saya pada ketika itu ialah kecewa kerana seorang kawan yang baik dengan saya suatu ketika dulu terputus hubungan dengan saya dengan begitu saja. Langsung tidak dapat dikesan di mana dia berada sejak habis UPSR. Saya sungguh terkilan akan hal itu.

Ketika zaman Friendster sedang memuncak pada tahun 2004, saya cuba mencarinya. Tidak jumpa. Pernah meng-google namanya pada tahun 2005 dan 2006. Tidak juga jumpa. Memang tiada rezeki saya agaknya. Pada masa yang sama saya pernah terfikir, agaknya ingatkah dia pada saya, kawan baik yang sama-sama belajar semeja-guru dengannya dulu?

Sehinggalah ketika saya sedang dalam hiatus sebelum final exam menjelma ketika di tahun akhir di Moscow dulu. 4 Jun 2009. Itulah tarikhnya. Saya melihat capaian masuk ke blog saya pada waktu itu. Saya lihat, ada seseorang yang menjumpai blog saya dengan menggunakan kata carian 'Siti Sarah Al-Mukmin'. Langsung, ia membuatkan saya terfikir. Ini semestinya kawan-kawan Al-Mukmin yang meng-google nama saya dan membawanya ke blog saya. Dalam kepala saya ligat memikirkan nama-nama yang berkemungkinan mencari saya semula. Yang pertama saya fikirkan ialah dia, Ahmad Thaariq Bin Mohd Khairudin.

Walaupun ketika itu saya sedang studi untuk final exam yang tinggal beberapa hari saja lagi, saya sempat menekunkan diri saya meng-google namanya pula. PAP! Banyak senarai yang keluar. Aik. Pelik bin ajaib. Dulu bila saya google, tiada satu pun informasi yang ada mengenai dirinya. Tapi pada tahun 2009 itu, berlambak-lambak capaian berkaitan dengan dirinya. Antaranya ialah blog WordPress dan Fotopagesnya. Saya amati Fotopages itu. Pemiliknya seakan-akan Cina. Tapi inikah dia? Agak lain rupanya di dalam gambar di situ. Saya meneliti 1, 2 entri di blognya. Kisah seorang pelajar Master di UTM Skudai. Kursus apa, umur berapa, semuanya tidak saya tahu. Saya was-was itukah dia. Tapi apabila saya lihat ada capaian ke blog adiknya Rafiq yang kini sedang menuntut di Jerman, saya hampir 100% yakin itu adalah dia. Saya cuba mencari emailnya untuk cuba menghubunginya secara personal. Tiada. Jadi saya meninggalkan komen di blognya saja:

Salam Thaariq.

I was googling around to look for an old friend of mine named exactly like you. I have this instinct that you are him but I doubt I was wrong. Is there any possibility that you attended primary school in Temerloh, Pahang? SRA Al-Mukmin to be exact (UPSR'97). Looking forward to hear some good news from you soon.

p/s: I've tried looking for your email to contact you personally but I couldn't find any. Sorry to disturb you in this comment box.

Sehari suntuk saya menunggu komen itu direspon. Kecewa saja. Huhu.

Tapi keesokannya (5 Jun) adiknya membalas komen saya dengan jawapan yang positif dan tidak lama selepas itu, tuan blog itu pula menjawab segala persoalan saya dengan menghantar email peribadi kepada saya. Sah! itu adalah dia, Ahmad Thaariq, kawan yang telah 12 tahun terputus hubungan dengan saya. Sempatlah kami berbalas 2, 3 email. Kemudian saya menyepi semula kerana perlu studi. Keesokannya, saya pergi menjawab final exam dengan lapang dada dan gembira. Dan saya lulus dengan jayanya.

Yang saya tahu tentang dia, dia sedang menyambung Ijazah Sarjananya dalam bidang Remote Sensing di UTM Skudai, meminati bidang fotografi dan seorang computer geek! Tiga perkara ini betul-betul membuatkan saya tersenyum seorang pada waktu itu.

Apabila sudah kembali ke Malaysia, kami hanya kadang-kadang bertegur sapa di Facebook saja. Saya sangat sibuk pada waktu itu. Jadi saya tak berapa layan sangat Facebook. Lagi pula, dia pun bukanlah satu kepentingan pun dalam hidup saya. Sehinggalah seminggu sebelum hari lahir saya pada tahun 2010, ada seseorang datang meminang. Haha. Ini agak lucu.

Ustaz itu betul-betul buat saya berada dalam dilema. Saya tak mahu tapi apa alasan terbaik saya ya? Hehe. Istikharah punya istikharah, sehinggalah malam hari lahir saya itu, saya mendapat mesej daripada Thaariq. Dia mengucapkan selamat dan memberikan sekeping gambar hadiah buat saya. Gambar pemandangan bintang-bintang yang diambilnya ketika di Dubai. Dia buat saya terfikir. Thaariq itu maksudnya 'Yang Datang Di Malam Hari' dan antara lain maksudnya ialah 'Bintang'. Saya tenung gambar bintang-bintang itu lama-lama. Tiba-tiba hati terdetik. "Kenapa dia satu-satunya yang muncul mengucapkan selamat hari lahir di tengah malam sunyi ini? Apa kaitannya dengan istikharah saya?"

Tapi segalanya masih tidak jelas. Memang tiada apa-apa perubahan dalam hidup saya mahupun dia. Sehinggalah sekitar bulan Februari 2010, ada majlis di sekolah rendah saya dulu. Sebagai bekas pelajar, saya diberikan amanat oleh mudir (guru besar) saya untuk mengumpulkan bekas-bekas pelajar yang telah tamat belajar untuk datang ke sekolah untuk menjalankan program bersama-sama murid-murid di sana. Saya mengumpulkan beberapa nama dan menghubungi mereka secara peribadi. Saya turut menghubungi Thaariq untuk mendapatkan kata putus kehadirannya. Tapi sebaik berada di talian dengannya, saya jadi serba tak kena. Berderau darah nak bercakap dengannya. Sudahnya, saya bercakap seperti butir peluru yang laju. Haha.

Lebih kurang sebulan selepas itu, saya post-call pada petang itu, tiba-tiba saya menerima panggilan telefon daripadanya. Cuak saya untuk menjawab panggilan. Serba tak kena rasa. Puas berfikir kenapalah dia tiba-tiba menelefon ni. Rupa-rupanya dia menelefon untuk mendapatkan nasihat berkaitan kawan serumahnya yang patah tulang bahu. Kebetulan saya pada waktu itu berada dalam posting Orthopedic. Itu sebabnya dia menelefon saya. Hahaha. Gelabah tak memasal, kan. Tapi sejurus selepas itu saya lihat dia meng-update status baru di Facebooknya: I just called to say hello =)

And it really means something to me.

Sejak itu, saya lihat dia mula meletakkan status-status berbahasa Rusia di Facebooknya. Pelik juga. Mana dia tahu ayat-ayat ni semua. Ayat-ayat yang dipilihnya manis-manis belaka. Huhu. Kiranya, kalau kamu tidak faham bahasa itu, payahlah untuk kamu tangkap maksudnya. Dalam hati saya terfikir: Aik aik, dia tujukan kepada siapa ni? Cool down, Sarah. Dia main-main je ni. Haha. Waktu itu saya geram juga dengan dia ni. Saja nak memerangkap saya dalam kekeliruan. Sebab setakat yang saya tahu, mana ada siapa dalam rangkaian Facebooknya yang memahami Bahasa Rusia melainkan saya. Aishh. Memang nak kena cepuk dia ni, kan. Hehe.

Saya pula ketika itu kalau meng-update status di Facebook, saya lebih gemar meletakkan sebaris lirik lagu atau nasyid yang terkesan di hati saya. Tapi pendek kata, semuanya lagu atau nasyid lama yang tidak berapa orang ingat dah. Tapi dengan senangnya dia cam dan merespon di status itu dengan menyambung lirik tersebut. Ajaib juga. Mana dia tahu ni? Dia google ke apa? Huhu.

Pada masa yang sama, saya lihat dia acap kali meletakkan status yang berbaur tertekan dan sudah malas dengan program Master-nya. Sedih juga bila melihat seorang kawan yang seperti mengeluh hampir setiap hari tentang hal yang sama. Waktu itu saya tidak berani lagi untuk respon di status-statusnya. Saya kerap 'diserang' oleh kawan-kawan rapatnya. Hehe. Jadi saya menghantar SMS kepadanya supaya bertahan dan bersabar sikit lagi untuk menyudahkan apa yang sudah dia mulakan. Tahu sajalah saya ni macam mana, kan. Pantang orang berundur separuh jalan. Saya katakan padanya, pastinya sudah ramai yang menasihatinya dengan perkara yang sama tapi jawabnya: Nop, only you.

Ohoo~ Sampai ke hari ini saya masih menyimpan mesej tersebut.

Kemudian, kami berhubung seketika di Yahoo Messenger (YM) untuk mengelakkan cakap-cakap pelik daripada kawan-kawan di sekeliling kami. Kami hanya bercakap tentang perkembangan diri masing-masing selepas terpisah dulu, bidang fotografi (dia Canon, saya Nikon) dan juga tarbiah yang kami ikuti. Syukurnya saya. Telahan saya mengenainya memang tidak salah. Saya dapat 'membaca' siapa dan bagaimana orangnya pada waktu itu.

Tapi disebabkan saya ini memang tidak suka ber-YM, maka tidaklah lama dan sekerap mana kami online bersama. Saya sibuk. Sekalipun kami online bersama, tiba-tiba saja saya sudah tertidur di tepi laptop saya. Esoknya cuba untuk menebus kembali kesalahan, tetapi tertidur juga sekali lagi. Bukankah kasihan dirinya ditinggalkan begitu saja? Huhu. Memandangkan di penghujung Mei tahun lepas kakak saya bakal mendirikan rumah tangga, sebagai salah seorang junior kepada Kaklong, Thaariq turut dijemput hadir. 30 Mei 2010. Itulah tarikhnya. Dia menghadiri walimah Kaklong.

And I have no reason to say no to what I have seen.

Saya kekok pada mulanya. Nasib baik ketika saya dipanggil oleh sahabat baik saya, Mahfuuzah, bahawa dia telah sampai, dia sedang berada bersama-sama kelompok kawan-kawan Al-Mukmin yang lain. Saya menghampiri mereka dan di situlah saat kami bertemu semula selepas 13 tahun terpisah tanpa khabar berita. Tangan terasa seram sejuk. Aik aik. Kenapakah? Dia pula berpeluh-peluh. Ok, bawah khemah tu memang panas pun. Huhu. Selepas kami semua ex-Al-Mukmin bergambar beramai-ramai bersama pengantin, kebanyakan daripada mereka beransur pulang. Kebetulan waktu itu tetamu sudah pun berkurangan. Sudah mencecah 4 petang. Saya membawa Thaariq duduk di bawah khemah berhampiran kipas.

Kami berbual-bual berkaitan diri masing-masing dan perkembangan terkini. Sangat jelas, pada waktu itu saya langsung tidak mengangkat muka kerana takut dan malu untuk menatap mukanya. Kalau boleh, rasa nak pakai purdah sorok muka sendiri. Saya tidak tahu apa yang bermain di fikirannya pada waktu itu. Saya memberitahu emak dan ayah akan kehadiran Thaariq ke majlis itu. Emak dan ayah masih cam akan dirinya. Dalam ingatan ayah, dia diingati sebagai 'anak Khairudin'. Hehe.

Melihatkan reaksi emak dan ayah, hilang sedikit kecuakan saya berada dengannya di situ. Hampir jam 4.30 petang, saya menghantarnya menuju ke keretanya yang diletakkan di bawah bukit rumah saya. Sebelum berlalu pergi, dia menyerahkan satu token kepada saya. Keychain daripada Dubai tempat gambar bintang-bintang yang dihadiahkan kepada saya dulu.

Malam itu saya sangat penat. Saya terbayang-bayang kejadian di petang kenduri itu. Saya ingat setiap apa yang kami bualkan. Saya ingat riak wajahnya yang tenang. Saya ingat saat-saat saya menemaninya turun bukit untuk menghantarnya ke kereta. Tiba-tiba, telefon saya berbunyi. Saya melihat tiga orang sepupu lagi yang bermalam di bilik saya. Semua sudah tidur. Barulah saya menjawab panggilan tersebut. Iya. Thaariq yang menelefon. Ucapnya satu.

"Saya nak kita bukan sekadar kawan. Tapi dengan syarat..."

Syaratnya membuatkan saya terdiam seketika. Saya pohonkan masa untuk berfikir. Semuanya bagaikan renjatan elektrik. Terkejut saya dibuatnya. Semuanya sekelip mata. Saya terlalu penat ketika itu. Tidak boleh berfikir dengan rasional. Jadi saya tinggalkannya dengan soalan yang tidak berjawab. Keesokannya saya sibuk di majlis bertandang di rumah Abang Hashim. Keesokannya pula saya sudah mula oncall dan kembali sibuk di hospital. Dalam pada sibuk-sibuk itulah, saya bawa berbincang dengan sepupu terapat saya, Nisa. Kebetulan kami bekerja di wad yang sama pada waktu itu. Syaratnya itu munasabah. Dan jika ikhlas niat, semuanya adalah tidak mustahil. Apa syaratnya? Ehem. Biarlah kami saja yang tahu.

Untuk seketika, kami sering juga berbalas mesej. Sehinggalah pertengahan bulan Julai itu, saya rasa serba tidak kena. Saya rasa ini bukan diri saya. Tambahan pula, dia masih lagi terikat dengan program Master-nya dan saya terikat dengan housemanship saya. Kami pernah berbincang serba ringkas tentang hala tuju masa depan. Yang saya lihat, paling cepat satu kata putus dapat dicapai mengambil masa hampir 2 tahun lagi. Langsung saya menghantar mesej kepadanya. Pinta saya hanya satu : Jangan contact saya kalau rasa belum sampai masa untuk kawin. Kalau dah sedia, baru cari saya semula.

Saya nekad berbuat begitu. Saya tidak mahu berhubung secara sia-sia tanpa arah tuju yang betul-betul nyata. Saya tidak mahu maksiat menjadi penambah rasa. Dia bersetuju. Kami sepakat untuk tidak berhubungan. Dan dalam tempoh itu, betapa hanya Allah yang tahu kuatnya mujahadah yang perlu dilalui. Baik saya mahupun dia. Remuk redam jugalah rasa hati ni. Tapi bertahan. Bertahan. Bertahan. Hehe. Dia juga bergitu. Status-status separa pilu kelihatan di Facebook tapi tiada siapa yang tahu apa yang terjadi sebenarnya. Saya pula lebih banyak berkias dalam entri-entri saya di sepanjang bulan Julai dan Ogos tahun lalu. Dan dalam tempoh itu jugalah ada 3 lamaran datang dalam hidup. Aduhai. Penambah perisa betullah. Tapi saya sudah nekad. Saya hanya menunggu dia. Dulu 13 tahun saya boleh menunggu, takkanlah sekadar 2 tahun lagi saya sudah tidak sanggup, kan.

Siapa sangka, sebenarnya apa yang saya nekadkan itu menjadi batu loncatan untuk segalanya. Saya masih ingat, hari itu hari Sabtu, minggu pertama di bulan Septembar, minggu terakhir kita berpuasa. Saya oncall di wad kanak-kanak. Ayah datang sekitar jam 10 malam membawa makanan berbuka untuk saya. Iya. Saya masih belum berbuka dengan makanan berat pada waktu itu. Sekadar minum air dan mengunyah gula-gula Mentos sebiji. Ayah datang bukan sekadar membawa makanan. Tetapi juga sebuah bungkasan pos yang baru tiba pagi tadi di rumah. Di alamatkan kepada saya. Sambil makan saya terus membukanya. Dan kandungan bungkusan kecil itu buat saya berdebar-debar apatah lagi pengirimnya ialah dia.

Apabila ayah sudah balik, saya menghubunginya. Saya memaklumkan bahawa saya sudah menerima bungkusan tersebut. Tiba-tiba dia terus menghubungi saya. Dalam teragak-agak, dia memaklumkan bahawa pada Hari Raya ketiga insya Allah dia dan keluarga hendak berziarah ke rumah saya. Saya terdiam di situ. Dalam hati ada dua tanda tanya: Ziarah raya atau ziarah bermakna? Tapi mulut saya tak terluah hendak bertanya. Saya memaklumkan kepada emak dan ayah.

Dipendekkan cerita, pada hari raya ketiga itu, tibalah mereka sekeluarga ke rumah saya. Tahu apa perkara pertama yang diraikan?

Pertemuan semula dua kawan lama; ayah saya dan juga ayahnya. Subhanallah. Bagaikan telah berjanji, tujuan utama ziarah keluarganya yang agak samar bagi pihak saya bertukar kepada perbincangan tentang pernikahan kami berdua pula. Saya yang turut berada di situ terasa panas muka secara tiba-tiba. Memang sangat terkejut. Ditambah pula dengan usulan supaya kami bertunang dalam masa dua bulan saja, menambahkan keseriauan yang saya rasa. Saya mencuri pandang wajahnya pada waktu itu. Tenang saja. Dalam hati saya berkata: Ish, dia ni. Dia tak ajak pun kawin lagi, tak tanya pun kita lagi, tup tup mak ayah masing-masing dah bincang pasal tunang-nikah.

Selepas selesai kata putus dicapai, mereka sekeluarga meneruskan perjalanan pulang ke Batu Pahat. Waktu itu baru saya menghubunginya. Mesej saya berbunyi: Betul ke kita dah nak tunang ni? Tak lama lepas tu terus kawin? Awak tak pernah pun ajak saya kawin? Balasnya: Insya Allah ni yang terbaik untuk kita.

Subuh 1 Oktober 2010, dia melamar saya untuk menjadi isterinya.

Pada mulanya majlis pertunangan dirancang dilaksanakan lebih awal tapi disebabkan dia terpaksa menghadiri konferens di Hanoi, majlis dibawa ke bulan November. Pada 13 November 2010, majlis pertunangan yang sederhana telah berlangsung di rumah saya. Hanya saudara mara rapat saja yang menghadirinya. Tarikh dan majlis perkahwinan turut ditetapkan pada hari itu. Tempohnya 4 bulan saja. Dan apabila sudah bertunang inilah baru kami mula berhubungan semula untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan kami. Jika perlukan perbincangan panjang, kami hanya berhubung melalui email saja. Lebih banyak yang boleh dibincangkan di situ. Dan sejak kami bertemu semula di dunia maya pada 4 Jun 2009 yang lalu sehinggalah kami bernikah pada 12 Mac 2011 yang lalu, kami hanya pernah bertemu muka sebanyak 7 kali, dan semuanya ditemani oleh keluarga atau adik beradik kami.

Cerita Versi Thaariq

Selepas tamat UPSR, dia bersekolah di Al-Amin Gombak. Sejak itu, dia hanya pulang ke Temerloh bila cuti tiba saja. Dia juga mencari-cari saya. Dia tahu di mana letaknya kedai fotostat milik ayah saya dulu. Pernah dia terfikir, hendak pergi mencari saya di sana. Bila dia ke sana, saya tiada pula. Kecewa dia, katanya. Pernah juga dia berangan, ketika berjalan-jalan mencari barang di Pekan Sehari Ahad (lebih dikenali dengan nama Pekan Sari di sini), dia hendak terjumpa dengan saya. Katanya, antara ramai-ramai rakan sekelas dulu, saya yang paling terkesan dalam memorinya. Pernah saja dia terserempak dengan kawan sekelas kami yang lain, tetapi tidak saya.

Ketika zaman Friendster sedang memuncak, rupa-rupanya dia juga pernah mencari saya. Tapi tidak menjumpai apa-apa. Dia juga pernah meng-google nama saya. Tapi tidak jumpa barang satu informasi pun mengenai saya. Kemudian dia pun sudah tidak meneruskan usaha sehinggalah saat saya meninggalkan komen di blognya itu. Saya masih menyimpan email yang dikirimnya. Subhanallah. Tajuknya saja sudah menunjukkan betapa terujanya dia. Hehe. Belum lagi membaca kandungan email-email tersebut.

Sejak berhubung semula di Facebook, dia suka melihat gambar-gambar saya sepanjang di Moscow dulu. Katanya, saya comel. Huhu. Macam kelakar saja bunyinya. Apa yang buat dia tertarik ialah gambar saya berbaju kurung serba biru ketika menghadiri majlis di Al-Mukmin yang tidak dapat dihadirinya dulu. Dan dari situ dia mula menggunakan Bahasa Rusia di Facebooknya yang ditirunya bulat-bulat daripada sebuah lawan web. Huhu. Berusaha keras sungguh dia. Jika saya membalas dengan ayat yang panjang sedikit, mulalah dia tak tahu di mana hendak mencari maksudnya. Comel betul! Yang mendekatkan kami ialah ayatnya: Mnye by khatelos uznat o tebye po bolshe. Ada yang faham maksudnya?

Sewaktu hendak menghadiri walimah Kaklong, rupa-rupanya dia sudah memberitahu uminya bahawa dia hendak melihat saya. Ohoo~ Yang ini saya pun baru sangat tahu. Dan apabila sudah berjumpa sendiri dengan saya, katanya, dia sudah tiada ragu dalam hatinya. Dan apabila melihatkan perbincangan emak ayah dengan umi baba sangat lancar, dia jadi bertambah yakin. Katanya, dia takkan membiarkan 13 tahun menjadi lebih lama.

Dan selepas 13 tahun mencari cinta, di sinilah kami ditemukan semula. Dalam ikatan sebagai suami isteri yang sah, Alhamdulillah.

Cerita Versi Kami

Selepas berkahwin, saya menunjukkan kepadanya sebuah diari lama. Tahun 1997. Sebenarnya bukanlah sebuah diari. Itu buku yang saya kumpul biodata kawan-kawan. Tapi bila sudah tidak digunakan, saya jadikannya untuk mencoret aktiviti harian pula di mukasurat yang masih kosong. Sebenarnya saya pun baru terjumpa semula diari lama ini. Dan saya kongsikan kandungannya dengan suami. Diari itu penuh dengan catatan harian saya bermula daripada 20 November 1997 sehinggalah penghujung Disember 1997. Kisah bagaimana saya takut kehilangan seorang kawan bernama ATMK. Kisah bagaimana saya tercari-cari di mana ATMK.

Dan sejujurnya, selepas tamat SPM, saya ada menulis sebuah buku catatan baru. Dalam buku itu saya ada menyenaraikan 10 wishlists saya untuk masa depan. Tertera dengan jelas di situ, hajat saya yang ke-10 dalam senarai ialah INGIN MENCARI ATMK SEMULA.

Selepas saya bacakan padanya beberapa keratan daripada catatan-catatan yang ada, tiba-tiba muncullah satu kata-kata yang paling tak tahan untuk dibaca, yang telah saya tulis ketika berusia 12 tahun. Tabah adalah akhlak yang mulia.

Selepas membaca coretan-coretan itu, dia berkata: Ada hikmah Allah temukan kita semula selepas terpisah 13 tahun. Sebab bila kita berjumpa semula, kita sudah bersedia untuk bernikah, bukan setakat berkawan saja. Siapa sangka, Abang akan berkahwin dengan kawan baik Abang sendiri.

Ya. Saya juga tidak menyangka 13 tahun saya mencari cinta saya, rupanya dia ialah kawan baik saya sendiri yang terpisah lamanya.

Terima kasih Ya Allah atas anugerah ini!

* Nota #1 : Jangan couple sebelum kahwin. Tak best. :)
* Nota #2 : Dapatkan restu ibu bapa. Insya Allah semuanya dipermudahkan. Dan ingat, yang paling utama ialah mengutamakan Allah dalam segala yang kita rancang. Insya Allah segalanya akan dipermudahkan.
* Nota #3 : Bersama kita doakan pasangan ini bahagia hingga ke syurga!

Tuesday, October 11, 2011

Awak, Kita Ini Bercintakah?

Puisi - Awak, Kita Ini Bercintakah?

Awak,
Kita tidak berpegangan tangan seperti mereka,
melafaz kata cinta berbalas-balasan,
... bahkan sering ada jarak antara kita,
dan wujud pelbagai batasan,

Kita ini bercintakah?

Awak,
Kita ini tidak sering berhubungan,
tiada bicara manis,
dan masing-masing sibuk dengan diri untuk dipersiapkan.

Kita ini bercintakah?

--------------------------------------------

Ya,
Kita ini bercinta,
cuma bukan dengan definisi mereka.
Tetapi dengan definisiNya.

Belum waktunya untuk melangkaui batas yang ada,
sekarang adalah masa untuk mempersiapkan diri kita.
Manis hubungan bukan pada pegangan tangan,
juga bukan pada bicara kata,
tetapi dengan hubungan kita terhadap Tuhan,
dan sejauh mana kita menjaga pasangan dari neraka.

Nanti bila bersama,
kita bukanlah keluarga biasa,
bahkan pasangan yang siap untuk menembus syurgaNya.

Awak,
bukankah itu adalah cinta?

~Hilal Asyraf~
1238
111011
Irbid,
Jordan
Kitab Cinta.

Wednesday, September 28, 2011

bila rasa lemah menjelma

Senario A – Engkau semua jangan buat bising ok ! Aku tengah down ni, nanti aku campak semua barang-barang atas meja ni!

Senario B – Aduuuuh, sedihnya rasa ! Sampai hati dia menolak lamaranku. Aku tengah down betul ni. Kau pergilah jauh-jauh sebab aku memang perlukan ketenangan sekarang ni.

Senario C – Tak mengapalah, ini urusan peribadi. Aku dah belajar macam nak mati tapi keputusan exam masih tak cukup makan. Biarlah aku menyendiri sebab aku tengah down ni.

Sememangnya rasa lemah atau rasa 'down' atau rasa 'futur' itu kadangkala menyapa diri. Setiap yang bernama insan pasti akan berhadapan dengan ujian di dalam hidupnya. Kadang-kala ujian dan diikuti dengan ujian yang datang bertimpa-timpa yang mungkin menyebabkan kita sukar untuk bangkit kembali.

Setelah ujian datang :

Ujian ini boleh membuatkan kita semakin kuat daripada sebelumnya. Kadang-kala kita boleh pintas bangkit semula ke kekuatan yang sama. Kadang-kala ujian ini boleh membuatkan kita rebah tersungkur. Kadang-kadang dengan satu ujian sahaja kita boleh hilang arah dan boleh membuat keputusan yang luar biasa

Andainya kita bangkit semula, maka syukur kepadaNya kerana kita berjaya melepasi ujian ini dan bakal menyaksikan bahawa kita akan menjadi insan yang lebih tabah dan lebih berjaya di masa depan.

Namun jika gagal bangkit, kita bakal melalui jalan buntu mahupun membuat laluan baru yang penuh berliku dan tidak mustahil ianya mungkin bertentangan dengan arus perjalanan yang pernah kita lalui sebelum ini.

Adakah sinar mentari di hari esok? Bagaimana kita akan menghadapinya?

Kita harus menghadapi setiap ujian yang ditempuhi dengan bersangka baik kepada Allah swt. Sudah pasti di sana ada hikmah dan kebaikan di dalam setiap perkara yang berlaku yang mungkin tidak kita ketahui maksudnya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." [Surah Al-Baqarah, 2: 216]

Seterusnya kita boleh menghadapi ujian ini dengan:

Beristighfar dan berdoa memohon pertolongan daripada Ilahi. Bermuhasabah diri, ujian ini mungkin juga disebabkan kesilapan atau dosa-dosa kita sendiri. Menyuarakan rasa hati kepada ke dua orang tua kita atau 'orang lama' atau tokoh yang kita kenali.

Berbincang dan meluahkan perasaan dengan pendidik atau 'murabbi' kita. Berkongsi permasalahan dengan teman atau kenalan yang rapat. Jangan ikutkan sangat perasaan down dan emosi diri. Menyebukkan diri dengan kegiatan dan aktiviti luar yang sihat

Masih bersedih ?

Ambillah sedikit masa di sebelah keheningan malam untuk bertadabbur dengan ayat-ayat Allah swt sebelum tidur. Bersolat taubat dan menginsafi kesalahan diri. Masuk tidur lebih awal di dalam keadaan berwudhuk. Bangun di awal pagi untuk mendapatkan ketenangan bermunajat kepada Ilahi. Bersolat tahajjud sambil menyatakan rasa atau hasrat hati kepada Ilahi di dalam sujud yang terakhir dengan rasa penuh rendah diri dan berharap kepadaNya.

Ingatlah akan janji Allah swt di dalam al Quran yang bermaksud,

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." ( Surah At-Talaq, 65: 2-3)

Masih adakah harapan untuk bangkit kembali?

Bukankah semua ujian ini datangnya dari Allah s.w.t? Ada kemungkinan besar bahawa Allah s.w.t menyimpan sesuatu yang lebih baik untuk kita yang tidak kita ketahui apa yang bakal berlaku selepas ini. Jadi, kepada siapakah lagi yang harus kita harapkan jika tidak dikembalikan kepadaNya kerana Dia adalah yang Maha Berkuasa dan Penyelesai kepada semua masalah serta ujian-ujian kehidupan.

Jom ! Mari kita bangkit agar terus jadi kuat....!

Thursday, September 22, 2011

kenapa hati gelisah?

Lepas Isyak ada seorang sahabat lama datang jumpa aku dan mengadu akan permasalahan yang sedang melanda hidup beliau..

Dia: Hamka, aku ada masalah…, Aku rasa macam tak cukup kaki tangan..

Aku: Kenapa tak cukup kaki tangan? Kau nak jadi labah-labah kah?(jawab aku melawak bodoh)

Dia: Bukan!(suara serius gila-tak bagi peluang lawakku untuk di tertawakan)

Dia lagi: Aku tak tahulah kenapa lately ni aku rasa macam tak sedap hati jer, kemudian aku rasa seperti banyak benda aku nak buat, tapi rasa macam tak sempat, hati aku rasa tak sedap, aku rasa sungguh gelisah, kat tempat kerja, focus aku hilang, aku rasa masa sangat cepat dan sempit..

Aku:….(diam)

Dia: Sejak dua menjak ni, aku selalu bermimpi…

Aku:Ok,…(bersuara untuk menggalakkan dia bercerita)

Dia: Aku mimpi langit telah turun sampai ke kepala aku, dan air telah keluar dari bumi sampai ke paras leher aku, dada aku sesak, aku rasa sukar bernafas, aku rasa macam nak mati.. Sekarang inipun, aku masih rasa sesak, rasa serba tak kena.., kau tahu tafsir mimpi?

Aku: Hmmmm… (Aku tak tahu tafsir langsung bab mimpi sebenarnya.... oh!)

Dia: Kau pernah alami mimpi-mimpi yang pelik tak?

Aku: Hmmm, Aku selalu gak alami mimpi pelik-pelik, biasa aku mimpi jumpa mayat ler, kadang-kadang mayat orang yang aku tak kenal, ada jugak mayat member baik, mayat awek lama, kadang kadang aku mimpi aku dah jadi mayat, terbaru aku mimpi jumpa mayat Nabi.., tapi tak nampak wajah, sebab terlindung dalam kain kapan, masa tu makam Nabi runtuh, aku dan beberapa orang lain yang aku tak kenal di tugaskan keluarkan mayat Nabi…

Dia : Kau rasa.., apa maksud mimpi aku? Aku rasa jiwa aku sangat sesak, aku rasa macam nak mati..

(cheh! Dia tak pedulipun mimpi aku dan cerita dari aku, memang mamat ni ada problem jiwa.., hampeh)

Aku: Aku sebenarnya tak pandai tafsir mimpi, betul! Aku tak pandai tafsir langsung, tak belajar ilmu kemimpian…, dalam bab masalah hidup, apa yang aku belajar, kita kena selesaikan sebarang masalah dengan ugama, insyALLAH..

Dia: Aku setuju…, aku memang rasa nak buat amal sangat, tapi macam dah tak sempat.., sebenarnya aku ada gak jumpa bomoh, habis banyak duit aku, tapi kegelisahan hati aku tak hilang, bomoh kata aku kena buatan orang..

(dah habis duit, baru datang jumpa aku, hampeh!)

Aku: Aku rasa kau bukan kena buatan orang.., orang yang kena ‘buatan orang’ adalah wanita yang mengandung hehehhe, (cuba berlawak bodoh-tak lawakpun)

Dia:(masih serius) Aku rasa gelisah tak tentu, takut pada banyak benda, dan rasa serba tak kena, orang tua kata ada benda buruk nak berlaku.. atau mungkin aku ni dah dekat nak mati (muram)

Aku: Tak payahlah nak fikir sangat‘benda buruk nak berlaku’..

Bagi aku, apa yang aku faham, bila hati kita rasa gelisah, itu tandanya hidayat nak datang ke dalam diri engkau, hidayat ni bila nak bertakhta dalam hati kita, dia tak boleh masuk terus ke dalam hati yang ada banyak penyakit hati, hati yang ada cinta dunia, hati yang yakin dengan makhluk, maka masa tu hidayat ‘berperang’ dengan penyakit hati yang buat kau jadi gelisah.., aku selalu gak baca cerita kisah orang kapir yang bila nak dapat hidayat, akan datang kegelisahan dalam diri, Nabi kitapun bila nak dapat wahyu, badan berpeluh, hati jadi takut, lalu isterinya meyelimutnya…, kau nak aku selimut engkau sekarang? (Senyum)

Dia:(juga senyum)

Aku lagi :Sebenarnya, memang kau akan mati tak lama lagi, bakal jadi mayat, Dan.. hari ini telah berlalu setengah hari yang bermakna sudah semakin sempit masa untuk kita buat usaha selamatkan diri dari azab api neraka!

Dan.. hari ini telah berlalu setengah hari yang bermakna semakin sempit masa untuk kita buat usaha masukkan diri ke dalam shurga.Peristiwa semalam, mati hidup balik pun kita tak dapat undur, langkahan hidup kita sentiasa ke depan… Langkahan kaki kita adalah ‘langkahan maut’...Menuju tempat menjadi mayat..

Apa kata kau lapangkan masa ikut aku belajar ugama di masjid esok dan lusa atau beberapa hari yang sempat.., belajar cinta Allah dan belajar buang cinta dunia? Sebelum malaikat maut datang., sebelum terlambat..

Dia:Aku kerja esok..

Aku:Kau cakap, kau hilang focus bila kerja, Kau ambiklah cuti rehat..

Dia:……(Diam..)

Aku lagi: Biasa orang ambik cuti rehat untuk pergi makan angin, atau untuk balik kampong, atau untuk tumpukan perhatian pada kelurga dan hobi. Jarang ada yang sanggup ambik cuti semata mata untuk belajar ugama, …, inilah cinta dunia namanya.. (aku pulak beremosi-perasan bagus..oh)

Kadang kadang bila atap rumah kita bocor atau dinding rumah kita retak, atau kereta kita rosak, maka kita akan sanggup ambik cuti untuk betulkan harta kita tu, sape lagi nak tolong hantar kereta kita ke bengkel? Kalau bukan tuan punya kereta?

Tapi bila iman kita lemah, ilmu ugama kita kurang, maka kita tak sanggup ambik cuti untuk betulkan kedudukan Allah dalam hati kita, sape lagi nak tolong rawat iman kita? Ustaz-ulamak? Mereka pun kena bagi masa buat usaha atas iman, apatah lagi kita? Iman tak boleh di warisi., kita kena tolong diri sendiri.., aku belum lagi cerita pasal korban harta dan nyawa.., Tak sanggupkah kita korbankan cuti untuk belajar ugama? (aku yang tak hikmah dan cakap sedap mulut ajer..oh)

Dia:Cuti rehat aku dah habis..(sedikit bingung)

Aku:Kalau ambik MC?..(chech! Aku ni dah jadi macam ajen MLM pulak.., hehe he)

Dia:Aku tak sakit.. mana boleh tipu majikan? Berdosa!(betul apa dia cakap.)

Aku: Iyelah tu.. kau tak sakit.., kat opis hilang focus, tak boleh buat kerja, sakitlah namanya tu.., Kalau kau cerita betul-betul masalah kau kat doctor, insyAllah doctor bagi cuti rehat, doctor sendiri cakap sakit zahir datang dari sakit batin, kau sekarang sakit batin, jiwa kau sakit, iman kau sakit, kau perlukan rehat.., kau perlukan rehat untuh pulihkan iman engkau.. insyallah (aku pulak yang bersemangat)

Dia: Aku boleh ambik cuti untuk belajar ugama, tapi aku kena ambik MC betul-betul,syarikat aku tak terima MC air liur..

(bagus mamat ni)

Aku: Ok, pagi esok lepas solat israq aku teman kau pergi jumpa doctor ambik MC..

*****

Esok pagi, lepas solat israq, seawal jam 8 pagi, dia dan aku pergi klinik.., ada ramai jugak orang walaupun masih pagi.., akibatnya, dia pulak tertidur di bangku menunggu..

Sementara dia tertidur., biarlah aku teruskan bercerita tentang hati yang gelisah..

Bila hati gelisah.. kita rasa macam tak best sangat, gundah gulana bertalu-talu, susah hati tanpa sebab, jiwa jadi rawan kebingungan dan sering bimbang sesuatu yang buruk bakal berlaku..

Baiklah!

Di sini ada satu berita baik untuk orang yang sedang resah gelisah tanpa sebab...

Sebenarnya, bila hati kita rasa gelisah, itu tandanya hidayat nak datang ke dalam diri korang, hidayat ni bila nak bertakhta dalam hati kita, dia tak boleh masuk terus ke dalam hati yang ada banyak penyakit hati, hati yang ada cinta dunia, hati yang yakin dengan makhluk, maka, pada waktu itu “hidayat” terpaksa ‘berperang’ dengan penyakit hati yang buat korang jadi gelisah.., menang kalah, pilihan korang yang menentukan dengan izin Allah..

Masa tu korang akan keliru, hati terus resah gelisah, dan mula rasa serba tak kena dan macam susah hati sangat, susah hati tanpa sebab, dan kebimbangan demi kebimbangan pada benda yang tak pasti dan sering menggambarkannya dengan imej yang buruk..

Padahal masa tu jika korang tumpukan perhatian kepada Allah, ingat pada nikmatNYa, panjangkan doa dan zikir sambil menangis.., maka penyakit hati kita akan terlebur dan dengan begitulah hidayatpun mulai masuk dan bertakhta di hati.. best bukan?

Allah berfirman: Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang..

Dan macam yang aku cerita kat mamat tadi, akan cerita atau kisah orang kapir yang bila nak dapat hidayat, akan datang kegelisahan dalam diri, bila mereka tumpukan perhatian kepada Islam dan mendalaminya, akhirnya hati mereka menjadi tenang, tenang setenang tenangnya..

Dan korang orang islam pulak bila susah hati, itu tandanya Allah nak tambah hidayat dalam diri.., dosa yang ada dalam hati menghalang tetamu Allah yang baik ini, lekas tawajjuh sebelum tetamu ini pulang.., tumpukan perhatian kepada Allah dan belajarlah mendalami kehidupan Rasulullah SAW. insyAllah akhirnya hati korang yang terpilih itu akan menjadi tenang, tenang setenang tenangnya..

Ketenangan hanya ada dalam ugama.., tempat lain boleh korang cari ketenangan tapi hanya bersifat sementara, ada orang yang mencari ketenangan dengan muzik misalnya, baik, cuba korang buat lagu untuk hiburkan orang yang 5 minit lagi nak kena sebat atas kesalah rogol.., cubalah buat lagu untuk orang yang 5 minit lagi nak kena hokum gantung.., nak kena lempang? Cubalah.. huh!

Dalam ugama ada kebahagian, kesejahteraan, kemakmuran, keharmonian, kemuliaan, ketenangan, kedamaian, dan segalanya adalah tentang kesudahan yang baik (husnul kahatimah)

Siapa yang cari semua ini selain dalam ugama, mereka bukan sahaja tak jumpa, tapi mereka akhirnya bertemu dengan kedukaan, kehinaan, kesengsaraan, kegelisahan, keperitan, kesempitan buat selama-lamanya..

Ada jugak orang yang bila hati gelisah, tak tahu nak buat camne, teruskan berpoya poya, minum arak, pasang muzik kuat-kuat, teruskan buat maksiat, makan pil kuda, berzina dan lain lain, yang mana akhirnya hidayat yang nak masuk itu berlalu, yang membuatkan hati mereka kembali ‘tidak gelisah* seperti dulu.., mereka sangka telah berjaya buat hati tenang dengan hiburan dunia, tapi kenapa akhirnya bunuh diri?

*(hati mereka masih gelisah, tapi tidak gelisah seperti dulu)

Maka terpulanglah kepada korang akan bagaimana caranya nak hilangkan kegelisahan yang melanda hatimu duhai sahabat…

Nabi Muhammad SAW pada mulanya bertawajuh mencari kedamaian dalam gua selepas susah hati melihat keadaan Ummat Jahilian di zamannya, pendek cerita, apabila malaikat jibril a.s datang nak bagi wahyu pertama, apa jadi? badan berpeluh, hati jadi takut, resah dan gelisah, lari terus balik rumah dan ‘bersembunyi’, lalu isterinya datang dan mententeramkannya…, kemudian bila pakcik Khatijah r.a menasihatinya., maka barulah hati Nabi SAW faham dan mulai bertawajjuh, hati kembali tenang dan faham kehendak Allah, sampai tahap Nabi pergi ke tengah-tengah padang pasir semata-mata untuk menunggu wahyu seterusnya.., dan Nabi menjadi rindu nak jumpa malaikat jibril a.s

: )

Sebenarnya kita akan masuk shurga bila kita mendapat taufik dah Hidayat dari Allah.Taufik dan Hidayat bolehlah di ibaratkan sebagai sebuah erti "kesedaran" yang Allah akan datangkan pada setiap manusia..

Apabila Hidayat ni nak datang,., maka hati akan rasa gelisah kerana berlawanannya sifat buruk dalam hati, lagi kuat perbezaan dalam hati, lagi kuat kegelisahan..

Dan hanya orang yang buat usaha atas kesedaran sahaja, (dengan cara itu) hidayat akan bertaktakta dalam hati..

Jadi untuk dapat hidayat. korang kenalah lapangkan masa buat pengorbanan untuk usaha atas kesedaran korang, Faham?

Sejauh mana kesedaran korang tentang pentingnya hidayat, maka sebanyak itu jugaklah pengorbanan atas usaha kesedaran dilakukan.., Orang yang tak buat usaha atas kesedaran, Lama-lama Allah akan tarik kesedaran tu sehingga dia jadi tak sedar yang dia tu berada dalam kesalahan. Maka jadilah mereka ‘tenang’ dalam dosa dan maksiat..

Seperkara lagi, orang yang beriman juga akan resah gelisah bila hidayat nak keluar dari hati, bila ujian dunia datang, orang beriman yang terperangkap dalam kesibukkan dunia.. akan rasa gundah gulana.., kerana waktu itu, kebesaran dunia dan bebannya telah datang meliputi hati dan memaksa hidayah keluar.., maka jalan yang terbaik adalah, kena patah balik kepada kehidupan berugama..

Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.. (Ar- Ra'd, 13:28)

Dan ketenangan yang di perolehi melalui mengingati Allah ini, tak mampu untuk di ceritakan dengan kecantikkan bahasa, tidak mampu di suarakan dengan melodi ahlan, atau di gambarkan dalam screen jalur lebar.., ianya terlalu indah sehingga gagal di copy/paste dalam mana mana bentuk medium lain..

Ketenangan yang di perolehi dengan mengingati Allah, buat korang boleh berfalsafah tentang kematian.., boleh bergurindam dan bersyair tentang mayat, tidak takut untuk tidur berselimutkan kain kapan atau berbantalkan batu nisan, malahan tidur di dalam keranda juga menjadi mimpi indah.., kain batik mayat juga boleh buat sebagai kain basahan! Woha!

Korang juga akan suka dengan kereta mayat : )

Akhirnya kereta mayat yang sedang parking dalam halaman masjid bermadah:

Ahli dunia habiskan tenaga dan harta serta masa , demi mencari sebuah kebahagiaan.., telah banyak keringat, wang ringgit dan masa berlalu, tapi kesedihan dan kesempitan jiwa melanda, kalaulah mereka tahu, bahawa kebahagiaan itu ada di sini.., kalaulah mereka tahu, kalaulah..!

Selamat mencari ketenangan!!!

Ok, kita tamatkan cerita ini begitu sahaja.., member aku dah keluar dari bilik doctor dan dah dapat MC 3 hari!! Biar betul?

Aku:Apa kau ‘kelentong’ doctor tu sampai dapat MC 3 hari?

Dia:Aku tak cakap apa-apapun..

Dia lagi: Apa yang pastinya, aku tertidur ketika menunggu giliran, mungkin nurse dah panggil aku dua tiga kali tapi aku tak jawab, sekali di sergahnya aku terus bangkit dan tergesa gesa masuk bilik jumpa doctor, kau bayangkanlah muka orang baru bangun tidur, mata merah dan sedikit kebengingunan.., belum Synchronize lagi., bila doctor tu tengok rupa dan mata aku, terus cakap aku ada sakit mata dan bagi MC 3 hari.

Aku: woha!

Bila mata merah, orang akan ingat kita hisap dadah atau bela jin..., eloklah tu dapat MC! Woha sekali lagi!

Sekian…

Ps: Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang...

Thursday, August 18, 2011

Al Quran dalam ramadhan



Apabila tiba bulan Ramadhan maka ramai orang akan membuka lembaran al-quran. Membaca dan bertadarus al-quran di rumah, pejabat, sekolah dan lain-lain. Ini adalah satu amalan yang amat digalakkan.

Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril. Membacanya adalah ibadat. Sesiapa yang mengikutnya akan mendapat petunjuk dan sesiapa yang berpaling daripadanya adalah tergolong daripada hamba Allah yang rugi.

Dengan kehadiran Ramadhan kali ini marilah sama-sama kita bermuhasabah diri. Adakah kita selalu mendampingi al-quran, selalu membaca dan mengamati kandungan al-quran serta beramal dengannya. Sepatutnya al-quran dibaca dan dihayati setiap hari apatah lagi pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Orang alim ada berkata "Jika pada bulan Ramadhan kita tidak membaca al-quran maka bila lagi kita akan membaca al-quran?" Justeru sempena kehadiran Ramadhan ini saya menyeru diri saya sendiri dan tuan-tuan agar sama-sama kita memperbanyakkan membaca al-quran. Sabda nabi SAW:
Informasi iluvislam.com

Jadilah 'blogstarz' dan kunjungi http://web.iluvislam.com untuk meralisasikannya dan dapatkan segera pakej hosting bermula serendah RM69 setahun dan promosi diskaun 50% merdeka DOMAIN .MY sekarang juga! Gunakan kod kupon MY50MERDEKA.

Daripada Abi Musa al-Asy'ari r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran ialah seperti perumpamaan buah utrujah iaitu buah yang berbau harum dan rasanya enak. Manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah kurma, tidak ada baunya akan tetapi rasanya manis. Adapun perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran ialah seperti buah Raihanah iaitu buah yang berbau harum tetapi rasanya pahit. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah hanzhalah (peria) iaitu buah yang tidak ada bau sama sekali dan ditambah pula oleh rasanya yang pahit.
Photo by: Sammy Abusrur

An elderly husband and wife read from the Quran together near Orlando, Florida on September 5th, 2010. Along with prayers, reading from the Quran is especially emphasized during the last ten days of Ramadan

Hari ini 17 Ramadhan, hari yang sentiasa kita ketahui sebagai hari di mana wahyu yang pertama diturunkan oleh Allah kepada Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Hari ini juga bermakna kita sudah 17 hari berpuasa. Alhamdulillah bagi yang menyertai tadarus Quran, inshaAllah pastinya sudah banyak juz yang sudah dilaksanakan. Persoalan yang ingin saya kemukakan adalah sejauh mana kita memahami Al-Quran? Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca apatah lagi sekadar dilagukan sebagai hiburan telinga. Tetapi Al-Quran untuk di fahami.

Al-Quran adalah inti panduan dalam kehidupan kita ini. Disusuli dengan Hadith yang menjelaskan lagi panduan yang ada di dalam Al-Quran. Kitab-kitab atau buku-buku agama yang banyak itu adalah keterangan-keterangan yang menerangkan apa yang ada di dalam Al-Quran dan Hadith.
Photo by: Hasan Kazmi

God's name captured in a ray of light just prior to the start of Ramadan. Photo taken in Manassas, Virginia.

Pernahkah kita habiskan terjemahan Al-Quran dari awal surah (Al-Fatihah) hingga akhirnya (An-nas)? Sebelum kita belajar atau membaca tafsir Al-Quran, bacalah terjemahannya di dalam bahasa yang kita fahami. Seandainya saudara memahami dalam bahasa Al-Quran itu sendiri, itu yang terbaik.

Bacalah terjemahan Al-Quran secara terus (bukan sekejap arab sekejap terjemahannya) agar kita mudah memahami kesinambungan sebuah cerita dan panduan yang Allah berikan kepada kita.

Kita tidak cuba mentafsir Al-Quran dengan sendiri. Namun kita akan faham sedikit sebanyak panduan yang Allah berikan kepada kita.

Selepas itu nanti, barulah kita berguru atau membaca tafsir atau membaca kitab-kitab lain yang lebih khusus untuk menambahkan lagi kefahaman kita.

Mohonlah pada Allah, "ya Allah ajarilah aku untuk memahami peringatanMu, panduanMu, pengajaranMu dan semua yang ada dalam Al-Quran ini ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih."

هَـٰذَا بَلَاغٌ لِّلنَّاسِ وَلِيُنذَرُوا بِهِ وَلِيَعْلَمُوا أَنَّمَا هُوَ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah-hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.
[Surah Ibrahim 14: Ayat 52]


A Palestinian Muslim man reads from the Quran, Islam's holy book, on "fajr" or early morning prayer, during Ramadan at a mosque in the West Bank city of Ramallah on Tuesday, Aug. 17, 2010.
Lensa Hati

Lensa Hati adalah ruangan perkongsian foto oleh fotografer-fotografer serata dunia dari pelbagai jenis bidang fotografi. Foto atau gambar menceritakan 1001 macam kisah, tetapi Lensa Hati akan menekankan aspek kerohanian hati dari foto, yakni perkaitan dari foto kepada al-Quran mahupun Hadis Rasulullah S.A.W. dan apa jua perkara kebaikan darinya. Moga apabila kita melihat di alam realiti seperti foto yang dikongsikan di sini, lalu terbitlah ayat al-Quran atau Hadis dari benak hati kita.