Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Friday, April 23, 2010

Renungan



Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut. Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tapi lazimnya kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama hinggakan kita tidak nampak pintu yang telah pun dibukakan untuk kita. Kawan yang paling baik ialah seseorang yang anda boleh duduk di dalam buaian dan berbuai bersama tanpa berkata apa-apa pun dan kemudian berjalan pulang dengan perasaan bahawa itulah perbualan yang paling hebat yang pernah dialami.
Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya dan juga benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita rindukan sehinggalah 'ia' datang. Memberi seseorang seluruh cinta anda bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai anda kembali! Jangan harapkan cinta sebagai balasan.
Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati anda. Ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang. Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut.

Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram. Carilah yang membuatkan hati anda tersenyum. Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila anda teramatkan rindukan seseorang sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar. Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin anda tujui dan jadilah apa yang anda inginkan kerana anda hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin anda lakukan.
Semoga anda memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri anda menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan anda kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan anda adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan anda bahagia. Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasa ianya menyakitkan anda, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga. Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik.Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka.
Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba. Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka. Cinta bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan berakhir dengan tangisan. Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan. Anda tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga anda melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam. Semasa anda dilahirkan, anda menangis dan orang di sekeliling anda tersenyum. Teruskanlah hidup anda supaya apabila anda mati nanti, andalah yang akan tersenyum dan orang sekeliling anda pula yang akan menangis.

Why to be a teacher?




Saya masih teringat tatkala saya menghadapi temuduga untuk ke maktab perguruan. Saya ditanya mengapa saya memilih profesion perguruan. Soalan biasa.Memang telah diduga, dan jawapan saya pun jawapan stereotype, hahaha.

"Saya memilih kerjaya ini kerana saya suka pada kanak-kanak. Saya mahu mendidik mereka dengan baik supaya mereka berjaya dalam pelajaran dan menjadi aset negara."

Fast forward ke tahun 2009.
"Geram la dengan sikap mereka tu.. Kita masuk ke dalam kelas dengan penuh semangat nak sampaikan ilmu, boleh pula mereka kata sudah letih belajar sepanjang hari, dan minta berehat di perpustakaan saja? Terus semangat saya jatuh menjunam!"
"Masuk la kelas 2Z tu. Kita mengajar di hadapan, mereka buat kerja lain di belakang. Bila saya tegur, mereka mencarut. Kata macam-macam. Kalau anak saya, dah lama saya rotan."
"Saya suruh buat kerja, dia kata tak mahu. Saya tekan, dia kata dia tak perlu belajar pun dia akan tetap lebih kaya daripada cikgu kerana sehari dia turun ke laut ikut bapanya tauke ikan, boleh dapat beratus ringgit untung bersih. Dia pandang rendah kerja guru kerana katanya gaji guru rendah, tak sebanyak bapanya."


Setiap tahun, bilangan yang memohon untuk menjadi guru semakin bertambah. Berpuluh-puluh ribu memohon, tetapi berapa ramaikah yang benar-benar komitted kepada tugas dan tanggungjawab sebagai guru di sekolah?
Ada yang kata, nak kerja guru kerana kerja guru ini mulia. Ya benar, mulia tetapi adakah kerja lain kurang mulia di sisi Allah?
Ada yang kata, nak kerja guru kerana terjamin masa hadapan. Tak ada risiko dibuang kerja. Yalah tu, kerja kerani di jabatan kerajaan pun terjamin juga.
Ada yang kata, dapat didik anak bangsa. Benar tu, tetapi tak semestinya dengan menjadi guru. Banyak lagi cara mendidik anak bangsa.
Ada yang kata, itu pekerjaan yang diminati semenjak kecil. Pastikah anda?
Ada yang kata, itu kerja separuh hari. Selepas 1 petang, sudah boleh berehat di rumah. Pastikah anda?
Ada yang kata, berminat kerana boleh bercuti panjang setiap tahun. Kerja hanya 200 hari dalam setahun. Pastikah anda?

Tahukah mereka-mereka itu apakah sebenarnya kerja seorang guru?
Sedarkah mereka akan tanggungjawab seorang guru?

Guru antara jawatan kerajaan yang paling lambat dinaikkan pangkat kerana bilangan anggota yang ramai. Berbanding mereka di sektor kerajaan yang lain, guru bekerja tak tetap masa. Masuk kerja 7.30 pagi, tamat kerja antara 2 petang hingga 6 petang kerana mesyuarat, kegiatan kokurikulum dan kursus. Hari Sabtu dan hari cuti masih boleh dipanggil bekerja.
Mereka di pejabat boleh bekerja dalam keadaan selesa dalam bilik berhawa dingin, malah ada yang duduk selesa di atas kerusi empuk sepanjang hari. Guru perlu berjalan jauh dari bilik ke bilik untuk mengajar dalam suasana bilik darjah yang tidak berhawa dingin, yang sesak dengan pelajar, dan terdedah kepada kotoran kapur dan pen marker setiap hari.
Pekerja di pejabat kerajaan dibekalkan dengan peralatan menulis tetapi kebanyakan guru perlu menyediakan sendiri peralatan menulis seperti pen, pensel, stapler dan sebagainya. Untuk memantapkan lagi proses pengajaran, guru yang dedikasi turut membeli sendiri buku rujukan terbaru dan bahan pengajaran yang sesuai. Semua itu belanja dari wang gaji guru sendiri. Tak boleh tuntut.
Guru sekolah rendah mungkin berhadapan dengan pelajar yang belum pandai menguruskan diri sendiri, yang nakal, yang terlalu manja, dan yang panjang tangan.
Guru sekolah menengah mungkin berhadapan dengan pelajar yang biadap, yang tidak berdisiplin, yang kaki ponteng, dan yang tiada minat belajar.


Siapa kata jadi guru kerja mudah?
Guru berhadapan dengan risiko disaman oleh ibu bapa yang lebih mempercayai kata anak daripada membuat penyiasatan terperinci.
Guru yang lalai dalam tugasnya bukan sahaja menimbulkan kebencian pada pelajar tetapi perlu menjawab kepadaNya pada akhirat nanti.
Guru yang mengajar perkara yang salah berisiko menanggung dosa selagi kesalahan itu tidak dibetulkan dan terus diulangi oleh pelajarnya.
Guru berupaya menimbulkan minat pelajar terhadap mata pelajaran yang diajarnya atau membunuh minat pelajar dengan cara pengajaran yang tidak sesuai.
Kata-kata guru boleh meningkatkan motivasi pelajar atau 'membunuh' mereka secara perlahan-lahan dengan kata-kata pedas dan menyakitkan hati.

Habis, mengapa saya memilih untuk menjadi guru dan mahu terus menjadi guru?
Sebab inilah kerja yang ditentukanNya untuk diri ini. Saya memohon sekali sahaja dalam usia yang muda, dan terus diterima unutk menjalani latihan perguruan. Saya tidak dapat membayangkan bekerja di sektor lain yang lebih menyeronokkan dan memberi kepuasan berbanding dengan tugas mengajar anak murid.
Saya akui, kadang-kadang penat dengan kerja paperwork yang bertimbun-timbun [walaupun sudah ada komputer, masih perlu lagi isi borang tertentu secara manual]. Kadang-kadang bosan dengan mesyuarat yang berjam-jam. Berat kaki melangkah ke kelas tambahan yang mengandungi lebih ramai kerusi kosong daripada pelajar yang hadir. Geram apabila melihat kerja pelajar yang dibuat ala kadar, yang penuh dengan kesalahan ejaan dan tanda bacaan yang sepatutnya tidak lagi berlaku.
Setiap hari walaupun sudah berehat di rumah, masih memikirkan strategi baru untuk digunakan dalam pengajaran supaya pelajar lebih mudah dan cepat memahami isi pelajaran.
Setiap hari, apabila kerja bertimbun, perlu membawa balik kerja sekolah untuk disiapkan di rumah - semak buku latihan, sedia kertas peperiksaan, semak kertas jawapan peperiksaan, dan isi borang-borang untuk pendokumentasian. [kerja pegawai kerajaan lain mana yang sebegini? Tak boleh tuntut kerja lebih masa]

Kerja sebagai guru memerlukan komitmen yang kuat, tenaga yang banyak dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi karenah pelajar, ibu bapa, dan masyarakat.
Dahulu guru dihormati, ditakuti, digeruni, disegani. Kini guru sering dikritik, dicela dan dikasari. Ilmu yang diberi kurang dihargai. [akibatnya, tak hairan jikalau disiplin pelajar semakin teruk bila perasaan hormat pada guru sudah hilang]

Guru yang cemerlang dan berdedikasi tidak gentar dengan semua cabaran itu. Baginya, segala usaha yang dilakukan adalah untuk para pelajar, dengan harapan mereka dapat menerima ilmu dengan baik dan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Dia tidak memerlukan mata tajam pengetua yang memantau, untuk melakukan yang terbaik dalam setiap sesi pengajaran. Dia bekerja bukan untuk mendapat nama atau pangkat, tetapi dengan penuh kesedaran bahawa setiap yang dilakukannya sebagai guru akan dicatat sebagai amal atau dosanya. Dia mendoakan kejayaan setiap pelajarnya, dan awas mereka yang melawan atau biadap terhadapnya [tidak dihalalkan ilmu yang diberikan boleh membawa kesan negatif pada pelajar berkenaan]

Mengapa mahu menjadi guru?
Sanggupkah bertugas di kawasan pedalaman?
Sanggupkah bersabar dengan pelbagai karenah pelajar yang nakal, malas, biadap, melawan dan sebagainya, kerana bukan semua pelajar adalah baik dan berdisiplin?
Sanggupkah bertanggungjawab menyampaikan ilmu dengan sebaik mungkin, dengan penuh kesedaran bahawa jikalau tersilap menyampaikan ilmu, adalah satu dosa yang akan ditanggung sehingga mati, selagi tidak diperbetulkan maklumat yang salah itu kepada pelajar berkenaan?
Sanggupkah mendidik anak orang lain dengan bersungguh-sungguh supaya menjadi lebih pandai dan mengharapkan agar anak sendiri yang dididik guru lain akan diberi layanan yang sama?
Kalau tak sanggup mengorbankan sedikit masa, tenaga dan wang untuk kebaikan pelajar, jangan jadi guru.
Kalau tak sanggup bekerja dalam keadaan bilik darjah yang panas dan berhabuk setiap hari [kerana kipas rosak], tak sanggup mencuci kencing berak dan muntah pelajar sekolah rendah, jangan jadi guru.
Kalau diri hanya mahu mengajar di sekolah bandar dan sekolah berasrama penuh sebaik sahaja tamat pengajian, jangan jadi guru.
Kalau bekerja untuk mendapatkan gaji bulanan guru yang terjamin pada akhir setiap bulan, jangan jadi guru.
Kalau sudah hilang minat mengajar, dan hanya bekerja semata-mata kerana tiada kerja lain yang terbuka [sudah menganggur beberapa tahun], jangan jadi guru.

Pekerjaan guru amat penting, dan amat besar tanggungjawabnya.
Guru memainkan peranan penting mencorakkan masa depan anak didik. Cemerlang anak didik dengan ilmu pengetahuan yang tinggi, akhlak yang terpuji dan kesihatan yang baik, maka cemerlang masa depan negara.
Guru zaman sekarang bukan lagi lilin yang membakar diri menyinari hidup orang lain, tetapi adalah matahari yang sentiasa memancar terang, memberi cahaya ilmu kepada semua pelajar.

SELAMAT HARI GURU, 16 Mei kepada semua warga pendidik.