Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Friday, November 4, 2011

Harga

Aku mahu marah hari ini.

Banyak perkara berselirat di dalam hati. Perkara-perkara dahulu, hinggalah apa yang berlaku kini. Semuanya tidak adil padaku. Aku banyak menjadi mangsa. Kini jiwaku sengsara.

Air mata mengalir jatuh pada pipi. Perlahan-lahan kemudian menitis melekat pada bumi. Aku yang menelentang memandang ke langit biru. Cuba mendamaikan hati tetapi pilu tetap pilu.

Akhirnya mengangis teresak-esak, itulah yang aku mampu.

Mengapa aku menjadi mangsa?

Satu persoalan yang sering aku tanya. Tetapi tiada yang menjawabnya.

Mengapa aku perlu bersabar?

Satu lagi soalan yang biasa muncul. Tetapi tiada yang akan mampu memberikan balasan yang betul.

Aku meleret garis muram pada bibir. Esakan berkurangan tetapi air mata terus mengalir.

Berputar semua memori. Buat rasa marah bertimbun-timbun dalam diri.

Tetapi aku tidak mampu.

Yang aku mampu hanya menangis sendiri.



*******



Realiti dunia, akan wujud manusia yang berhati busuk. Yang kalau kita berkata apa pun, mereka hanya akan tahu memberikan tohmahan dan cacian. Kerja mereka hanya hasad dan dengki. Benci dan benci.

Aku antara yang terkilan dengan jenis yang sebegini.

Mereka banyak merosakkan kehidupanku.

Bayangkan wahai pendengar cerita, cerita yang tidak benar, kadangkala hanya interprestasi peribadi mereka yang tiada ukuran solid, tetapi disebar-sebar seakan itulah dia kebenarannya. Tersebar dibawa mulut, dari si fulanah ke si fulanah, dari fulan kepada fulan.

Lebih kelakar, pendapat yang ditohmah tidak pula ditanya. Bahkan, terus diubah kepada pangkat ‘pesalah’. Akulah yang menjadi penjenayah. Di dalam drama yang mereka tulis skripnya.

Sedangkan, mereka ini, jauh di dalam hatiku aku menganggap sebagai keluarga.

Tetapi itulah yang dilakukan mereka.

Saban gerakku, mereka akan balas dengan rasa meluat.

Aku pergi kepada beberapa orang yang aku sangka sebagai keluarga. Bertanya. Tetapi jawapan adalah sangat mengecewakan. Alasanku tidak mahu didengar. Tetapi apa yang disebut adalah:

“Amran la kena faham dengan mereka. Masalahnya sekarang, Amran dah buat mereka tidak suka.”

Itu jawapan adikku. Menjaga perasaan orang lain adalah fokus nasihatnya saban waktu.

Menjaga perasaan aku? Adalah yang tidak pernah disebut.

Sedang apakah kelukaan yang aku lakukan? Tiada. Kadangkala perasaan hati adalah untuk berkongsi gembira, dengan mereka yang dianggap sebagai keluarga. Ada waktu ingin bersama bercanda mesra, dengan mereka yang aku anggap sebagai saudara. Tetapi semua dipandang sebagai riya’ dan menunjuk-nunjuk. Dengan masam muka dan rasa benci. Dengan pelbagai interprestasi, yang jauh dari realiti.

Pendapat aku? Penjelesan aku?

Tidak pula mereka pinta. Jauh sekali mendengari.

Aku terluka.

Lebih sakit apabila aku bertanya di manakah silapku? Tiada jawapan. Mengapa tidak memberikan jawapan? Katanya nanti aku akan berhujah untuk menyatakan aku di pihak kebenaran. Hairan seribu kali hairan. Penjenayah pun dibicara adil di dalam mahkamah. Tetapi aku, penjelasan buat diri adalah satu perkara yang dipandang sebagai menjelekkan? Pelik.

Seribu satu aibku dijaja. Bahkan kebanyakannya hanya rekayasa.

Aku boleh sahaja bersuara. Tetapi kecewaku membeku suara.

Aku anggap mereka sebagai keluarga!

Marah. Itulah yang bersarang.



******



Aku seperti terperosok dalam lohong hitam. Disedut untuk pergi ke kawasan lebih gelap lagi dalam.

Benci menjalar hati. Derita memagut jiwa. Sakit datang pada diri. Marah muncul pada rasa.

Aku terfikir untuk membalas dendam. Aku ingin bakar mereka semua!

Si fulanah dan fulanah itu, aku ingin putuskan hubungan dengan mereka. Bahkan aku ingin sebarkan semua keaiban mereka. Aku ingin cerita, betapa jeleknya mereka yang selama ini menjaja keburukan aku yang nyata palsu. Sedang apa yang aku tahu tentang mereka adalah kebenaran, sampai kepadaku dari sumber yang jitu.

Aku mahu musnahkan hidup mereka. Menunjukkan wajah sebenar mereka. Memalukan mereka. Agar terkubur terus hidup mereka daripada cahaya.

Ya. Aku fikir begitu.

Ada pula si fulan dan si fulan itu, aku tidak mahu berbicara apa. Tetapi aku mahu pergi dan menumbuk mereka. Berkali-kali dan berkali-kali. Biar remuk segala tulang temulang yang ada. Biar darah bersemburan dan membasahi diri, biar puas segala apa yang ada di dalam hati.

Ya. Aku fikir begitu.

Melempiaskan segala amarah dan tidak lagi buat rasa itu memakan jiwa.

Gelap biar menyelimuti. Kejam biar hingga aku habisi.

Biar di hujung aku tertawa dan berpuas hati.

Mengapa mesti bersabar? Alang-alang sudah dibenci, pasti tidak mengapa untuk aku tidak memikirkan apa-apa. Lakukan sahaja apa yang patut untuk binatang-binatang seperti mereka.

Biar nanti aku tertawa, hahahahaha.



*****



Aku memejamkan mata. Cuba memadamkan ‘aku’ yang baru muncul tadi. Yang ingin memilih resolusi yang memang tidak akan aku sentuhi.

Aku pasung kemas ‘syaitan’ itu jauh di dalam diri. Saban hari ‘dia’ menggegar penjara yang aku reka, agar dirinya dilepasi dan dapat menghabiskan segala kerja memuaskan jiwa. Tetapi aku utuh memagarinya. Tidak mahu dibebaskan liar.

Untuk apa? Aku berfikir.

Dan selepas tawa penuh gila itu, apa yang akan berlaku di dalam kehidupan ini?

Persoalan itu yang membuatkan ‘raksasa’ itu terpenjara, dan ‘pedang’nya tergari. Tidak keluar. Dan tangisan inilah yang menemani. Akhirnya aku seka cecair itu pada pipi.

Kehidupan amat pahit.

Melaluinya amat sakit.

Perlu mengorbankan itu dan ini. Memilih apa yang bukan hati ingin memilih. Bukan sekadar dipandu rasa, tetapi dipandu akal yang bijaksana. Bukan sekadar dipimpin perasaan, tetapi hakikatnya ditimbang dengan neraca keimanan.

Apakah yang aku mahu sebutkan apabila aku berdiri di hadapan Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya nanti jika aku memilih resolusi tadi?

“Ya Allah, sesungguhnya merekalah yang bersalah, sebab itulah aku bertindak sedemikian.”

Sedang tindakanku adalah tanda tidak percaya kepada janji Allah buat yang sabar dengan ujianNya. Sedang Allah tidak menyukai bagi yang berputus asa denganNya.

“Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya tiadalah yang berputus asa daripada rahmat Allah melainkan orang-orang yang kafir.” Surah Yusuf ayat 87.

Maka apa yang aku ada hanyalah percaya. Sabar dalam kepercayaanku itu.

Tidak sesekali aku akan memilih untuk kesempitan di hadapan Allah nanti.

Bersabar.

Nampak pahit jawapan itu. Tetapi itulah yang aku perlu telan.

Dengan itulah kehidupan aku perlu berjalan.

Itulah dia suara keimanan mengarahkan.

Maka dengan itulah aku memilih untuk meneruskan kehidupan.



******



Apakah nilai 100 tahun?

Kalau dahulu semasa di dunia, aku akan nyatakan bahawa 100 tahun itu agak lama. Bahkan, hidup dalam keadaan sabar dalam menempuh duga, terasa 100 tahun itu seperti sejuta tahun lamanya ia. Hanya kerana percayakanNya, aku hidup dalam ketaatan hingga akhirnya.

Kini aku berada di dalam syurga. Terasa seperti segala kepahitan lalu itu tiada.

Semakin lama aku dalam keindahan tanah hijau serba indah ini, seakan-akan terpadam semua derita lama. Seakan-akan luput semuanya menjadi titik kecil yang langsung tiada makna.

Aku bertemu dengan Nabi Nuh tempoh hari. Umurnya lebih panjang. 1000 tahun lebih, dan 950 tahun daripadanya habis di atas jalan dakwah. Pengalamannya nyata mengingatkan aku, betapa beruntungnya aku memilih untuk percaya.

“Bagaimana wahai Nabi Allah yang diberikan umur yang panjang, apakah perasaan dikau pada kehidupan duniamu?”

Nabi Allah itu tersenyum. “Seakan aku memasuki sebuah rumah kecil dari pintu hadapan, dan terus berjalan keluar menggunakan pintu belakang.”

Beruntung aku dengan kesabaran.

Sebentar juga aku bergegar dengan ketakutan. Sedang aku satu saat semasa di dunia, memilih untuk ‘membuang’ kepercayaan aku kepadaNya, memilih untuk mengikut rasa.

Bagaimanakah agaknya jika aku memlih jalan yang sedemikian rupa?

Ketika ini aku melihat di satu arah. Tebing syurga yang membolehkan kami ahlinya berkomunikasi dengan ahli neraka. Saban kali aku melangkah ke sana, untuk melihat akibat sekiranya satu waktu dahulu, dalam kehidupan dunia yang sangat singkat itu, aku memilih jalan yang lain, ayat Allah SWT akan bergema dalam diriku:

“Sesungguhnya nafsu amarah itu akan mengheret kepada kejahatan.” Ayat 53 Surah Yusuf.

Memandang ke bawah, aku melihat mereka.

Yang menohmahku. Yang mencipta rekayasa. Memfitnah dan membuatkan aku selama ini menderita.

Terbakar. Hangus berkali-kali dan kulit mereka diganti lagi setiap kali. Menjerit melolong saban hari.

Bergema firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” Surah Al-A’raf ayat 179.

Sedang mereka itu bukan tidak pernah tahu larangan Allah SWT dalam hal yang dikerjakan mereka.

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” Surah Al-Jathiyay ayat 23.

Dan nafsu serta rasa telah menipu mereka.

Apakah nilai 100 tahun?

Hari ini di syurga aku akan menjawab – tidak berharga walau sebesar kuman pun.

Maka sabar di dunia tiadalah apa besarnya. Sebentar cuma kalau dibanding syurga nan selama-lama. Maka apalah yang perlu dibazir dengan amarah? Maka apalah yang perlu dihakis dengan memuaskan rasa?

Bersabar, menelan kepahitan. Sungguh dunia memang tidak bermakna melainkan kesenangan yang menipu daya.

“Bagaimana?” Satu suara lembut bertanya.

Aku rasa segar dengan suara itu. Kenal dengan tuan punya suara itu.

“Aku bersyukur ya Rasulullah.” Berpaling dan terus bergandingan dengan lelaki terindah yang pernah aku pandang baik di dunia mahupun di akhirat ini.

Hatta kesabaranku, yang aku rasa besar, yang aku rasa satu pengorbanan tidak terhingga saat di dunia dahulu, menjadi kecil bila menjejak syurga dan segala nikmat yang ada.

© Langitilahi.com

No comments:

Post a Comment