Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Thursday, December 30, 2010

Tidur dan Tahajud


Keajaiban Tidur Dan Solat Tahajjud

SOLAT tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.


TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian – tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selama tiga jam. Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :


1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2. Tunaikan solat Isya’ sebelum tidur.

3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.

4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.


Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China – Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam. Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhn mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )


IBADAH TENGAH MALAM DAN AWAL PAGI DALAM AGAMA LAIN

Penulis pernah bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru dan ketua agama yang bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Tao, Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti ‘berzikir’ dan membaca kitab suci agama mereka. Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Antara agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian, Tao, Confusius dan Sikh.


PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT

Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang.

Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : “The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep.”

Maksudnya “Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur.”

“The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night.” – Longfellow

Maksudnya “Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur.”

Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.

Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.

Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dn gerak otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidat merasa nikmat oksigen ini.


RAHSIA PERGERAKAN OTOT DALAM SOLAT

Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat. Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak ( qiyam ) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan tangan di atas pusat – kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan.

Ketika ruku’ dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar ( parallel to the ground ) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin.

Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki. dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan.

Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatik menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada , bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawah an lain-lain otot lagi.

Selain dari itu kita juga melakukan dua macam duduk – pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal peha, kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain.

Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita.

Solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam.

Kertas Kerja



Khas Untuk Ahli U-jam : Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;


1. Kertas kerja ini adalah untuk memperkenalkan maksud gerakan Islam dan peranannya secara umum . Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya sebagai kerja rumah.


2 – Saudara akan melihat peranan gerakan Islam yang lebih luas yang melangkaui maksud dan peranan sebuah pertubuhan politik atau pertubuhan – pertubuhan lain yang menggambarkan kesempurnaan dakwah Islam.


3 – Saudara perlu tahu kedudukan PAS sebagai gerakan politik dan dakwah.


4 – Saudara perlu memahami dengan jelas peranan setiap ahli gerakan Islam demi menjayakan misi agung Islami di dalam memimpin umat manusia sejagat.


Pengenalan


PAS hari ini sedang bergerak laju. Kelajuannya seiring dengan perubahan politik negara yang dilihat sedang mengalami proses transformasi yang akan, setidak - tidaknya mengeluarkannya daripada politik lama yang bersifat diktator dan kuno kepada politik baru yang lebih bebas, telus dan adil, jika tidak pun sampai mampu mengubah kerajaan dan pemerintahan sedia ada yang semakin lemah dan gagal.


Selain kesan positif yang diharapkan untuk PAS di dalam memperolehi sokongan rakyat yang lebih besar, seterusnya diterima rakyat untuk memperkenalkan dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang satu dan ideal untuk negara ini, sedikit kesilapan hasil kegelojohan dan ketidak telitian mungkin juga akan mengheret PAS ke dalam kancah konflik politik dan pertikaian yang akan merugikan dan melambatkan perjalanan PAS menuju matlamatnya.


Justeru adalah baik jika pengemaskinian kefahaman ahli PAS terhadap matlamat, peranan PAS selain tuntutan semasanya diberi keutamaan dan diperdalamkan.


Kertas ini akan mengupas peranan PAS sebagai sebuah harakah Islamiyyah atau gerakan Islam dengan memperincikan keutamaan yang harus dilaksanakan demi mengekalkannya terus relevan sebagai harapan umat yang akan menjadi kenyataan.


Maksud Harakah Islamiyah


Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja (amal) massa (sya’biy) secara berkumpulan (jamaie) yang tersusun (munazzam) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.


Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata – kata atau tulisan dan buku walaupun ianya juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan.


Maksud firman Allah; “Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasulNya dan orang – orang beriman akan melihat amalan kamu.” – al Taubah:105


Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya, bukan daripada manusia.


Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya. Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap ugama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.


Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya. Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksankan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan (ulama’ al sulthah). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.


Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.


Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.


Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.


Maksud firman Allah; “Dan tidaklah Allah akan mensia –siakan iman kamu (amalan kamu). Sesungguhnya Allah amat pengasih lagi penyayang terhadap manusia.” – al Baqarah: 143


Lihat juga al zalzalah: 7,8 dan Aali Imran: 195


Kemestian ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu agama dan realiti. Adapun ugama, maka ia disebabkan Islam menyeru kepada jamaah dan menolak bersendirian dan terpencil.


‘Tangan Allah di atas jamaah’. ‘Barang siapa memencil diri, dia akan terpencil di neraka’. ‘Orang mukmin saling kuat menguat’. Islam menyeru ‘berkerja sama melakukan kebajikan dan taqwa’ dan menyuruh untuk ‘saling mewasiat dengan kebenaran dan keabaran’.


Adapun realiti, maka ia disebabkan oleh hakikat bahawa sesuatu hasil itu tidak akan sempurna kecuali jika dilakukan secara bersama. kerja yang besar idak akan sempurna kecuali melalui usaha yang saling bergandingan. Sebelah tangan tidak boleh bertepuk.


Maksud firman Allah; “Sesungguhnya Allah menyukai orang – orang yang berperang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun seolah – olah mereka bagai sebuah bangunan yang kukuh.” – al Shaff:4


Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ianya diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti. Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.


Bagaimana PAS Sebagai Sebuah Parti Politik?


Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.


Sebenarnya ianya tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;


Pertama, PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam UMNO dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.


Kedua, PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.


Ketiga, dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.


Keempat, dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan non partisan.


Kelima, Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwanul Muslimun di Negara - negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.


Keenam, Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’, sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti – parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al Quran dan al hadis.


Peranan Harakah Islamiyah


Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.


Maksud tajdid;


Tajdid al din adalah satu istilah nabawy daripada hadis al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam sendiri: “Sesungguhnya Allah pasti akan mengutuskan untuk umat ini, di hujung setiap seratus tahun, orang yang (man) akan memperbaharui (tajdid) untuk mereka akan agama mereka.” – Riwayat Abi Daud dan al Hakim daripada Abi Hurairah dengan isnad yang sahih.


Walaupun kebanyakan ulama melihat bahawa kalimah ‘man’ itu merujuk kepada individu, tetapi beberapa ulama terkemuka seperti Ibn al Athir dan al Hafiz al Zahabi pula melihat ianya bukanlah satu kemestian, bahkan ianya mungkin bermaksud satu kumpulan ulama yang bersama – sama membawa tajdid agama.


Dan, alangkah benarnya jika kumpulan ulama yang melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran dan amal yang tersusun dan saling bahu - membahu. Inilah syarah terhadap al hadis di atas yang paling baik dan realiti (waqiey) untuk kebangkitan umat Islam hari ini mengikut pandangan al Syeikh Yusuf al Qaradhawi.


Apakah yang perlu ditajdidkan?


Tajdid yang perlu dilaksanakan oleh gerakan Islam hendaklah tertumpu kepada tiga perkara utama;


Pertama, membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; iman yang mendalam, kefahaman yang jelas dan ikatan yang kukuh.


Kedua, membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang menyokong pasukan Islam tersebut dan memberikan bantuan dan kasih sayang mereka kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan kekuatan mereka.


Ketiga, membentuk satu iklim sejagat yang mula menerima kewujudan dan hak umat Islam selepas mereka ( non muslim ) memahami hakikat risalah dan peradaban Islam dan bebas daripada ikatan - ikatan lampau yang begitu pesimis, gelap dan tidak adil terhadap Islam disebabkan sejarah pertembungan yang berterusan di antara Islam dan kekufuran.


Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang akan membuka dada mereka untuk menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ianya bertepatan dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.


Keutamaan – Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah


Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar.


Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.


Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.


Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat – syarikat perniagaan dan yayasan – yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.


Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.


Medan – medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadhah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.


Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan. Pengabaian terhadap mana – mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan maker mereka.


Empat Yang Utama

Dr Yusuf al Qaradhawi berpendapat bahawa pemusatan dan kesegeraan hendak digerakkan kepada empat lapangan amal yang paling penting untuk diterokai dengan jayanya iaitu;


Pertama, di alam lapangan pemikiran hendaklah diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan al fiqh al jadid. Di antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialah fiqh al awlawiyah, fiqh al muazanah dan fiqh al maqasid.


Kedua, di dalam lapangan dakwah hendaklah ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok perniagaan, bidang – bidang kewanitaan dan golongan akademik sebagai contoh adalah medan yang perlu dimedani dan dikuasai.


Ketiga, di dalam lapangan tarbiyah hendaklah ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu ke atas kelompok kepimpinan masa depan terutama di dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama. Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.


Keempat, di dalam lapangan politik hendaklah ditumpukan kepada pemajuan pemikiran dan praktikalnya di dalam politik hubungan dalam dan luar negari termasuk dengan non muslim agar dapat keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan maksud kealamiahan Islam. Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik ekslusif dan politik taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau setidak – tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami seterusnya memimpin umat.


Penutup


PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.


Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.


Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;


1 – Gerakan Islam adalah sebuah gerakan ke arah Islam yang sempurna dan menyeluruh sebagaimana dendangan dan tuntutan al Quran dan al Hadis.


2 – Gerakan Islam saling bersatu di seluruh dunia demi mencapai matlamat Islam membina khilafah Islamiyah yang unggul.


3 – Kepentingan tajdid Islami di dalam menyempurnakan proses pembinaan harakah dan pencapaian matlamat.


4 – Memahami politik Islam dalam konteks PAS sebagai gerakan Islam.


5 – Memahami keutamaan kerja, pengagihan tugas dan penumpuan dan kepakaran demi kesan dan hasil yang sempurna dan menyeluruh.


Panel:


1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi


2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz

4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor

5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood

6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud

7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan

8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre

Wednesday, December 29, 2010

Mencari Diri



Mencari diri. Siapakah diri kita yang sebenar?

Orang selalu bertanya akan hal itu dalam tumbesarannya. Dia hendak mencari identitinya yang sebenar. Aku ini sepatutnya macam mana? Siapa yang aku perlu ikuti? Aku perlu jadi apa?

Persoalan ini biasanya muncul di dalam diri.

Tetapi apakah kita berjaya mencari diri kita yang sebenar, atau kita sekadar imitasi sesuatu yang bukannya diri kita yang sebenar.

Maka di sinilah kita perlu mengetahui, bagaimana hendak mencari diri.

Moga artikel ringkas ini membantu kita insyaAllah.

Siapakah yang lebih kenal akan diri?

Ayahkah? Ibukah? Rakan-rakankah? Guru-gurukah? Datukkah? Nenekkah? Abangkah? Kakakkah?

Sebenarnya, walaupun ibu yang mengandungkan kita sendiri, tidak juga lebih mengenali diri kita. Tetapi Yang Mewujudkan Kita di dalam rahim ibu, itulah yang amat mengenali diri kita sendiri.

Semestinya bukan?

Ibu tidak mencipta kita. Ibu tidak mewujudkan kita. Kita wujud bila pun Ibu tidak menjangka. Bahkan Ibu menangis apabila kita terwujud di dalam perutnya. Menangis gembira. Terkejut tidak sangka. Kita adalah anugerah. Bukan Ibu yang mampu mewujudkan kita.

Jadi, Yang Mewujudkan Kita adalah yang mengenali kita sebenarnya.

Dia yang faham, kita ini patut menjadi apa.

Dia yang mengetahui, siapa diri kita yang sebenarnya.

Dialah Allah SWT.

Maka, bertanyalah kepada Dia.

Maka, langkah pertama dalam mencari diri sendiri adalah dengan kembali kepadaNya. Cuba perhatikan apa yang Dia bicarakan berkenaan diri kita.

Di manakah hendak mencari bicaraNya?

Allah telah mempermudahkan manusia, makhlukNya, untuk mencari apa yang dibicarakan olehNya di dalam Al-Quran yang dijaga olehNya.

Tetapi, siapakah antara kita yang mengambil Al-Quran sebagai perlembagaan dalam kehidupan kita? Sebagai rujukan dalam pembentukan diri kita?

Silap kita, kita ikut hawa nafsu dalam pembentukan diri

Manusia menjadi gagal, adalah kerana dia mengikut hawa nafsu dalam pembentukan diri.

Kita melihat satu-satu perkara itu ‘cool’, kita tiru.

Kita nampak satu-satu perkara itu ‘hebat’, kita nak jadi macam itu.

Kita nampak satu-satu perkara itu ‘popular’, kita terus menggerakkan diri kita ke arah itu.

Tanpa kita rujuk kembali apakah sebenarnya yang kita sepatutnya jadi.

Apakah sebenarnya diri kita ini, di atas dunia ini, patut lakukan.

Kita mudah tertipu dengan sekeliling kita. Sedangkan hakikatnya, mereka sendiri tidak mengetahui siapakah diri mereka yang sebenarnya, dan apakah yang sepatutnya mereka lakukan.

Di sinilah timbulnya kekacauan dalam kehidupan insan.

Penutup: Pulanglah pulang.

Mengapa saya tidak memberikan dalil, atau apa-apa daripada Allah SWT untuk artikel ini? Mengapa sekadar sedikit penerangan dan banyak persoalan?

Sebab saya suka kalau kita sama-sama merujuk Al-Quran itu sendiri. Ambil masa, duduk sebentar, cuba cari ayat-ayat yang Allah ceritakan berkenaan kita. Saya berikan beberapa surah untuk anda rujuk.

Surah Al-’Alaq, Surah Al-Mukminuun, Surah Al-A’raaf, dan Surah Al-Hadid. Baca juga Surah Qaaf sebagai tambahan.

Satu demi satu ayat. Helaian demi helaian.

Pernahkah kita menggerakkan diri kita, untuk mengenali diri kita yang sebenarnya?

Atau sebenarnya, kita takut dengan kebenaran, kerana tidak mahu melepaskan keduniaan?

Siapakah yang berani mencari dirinya sendiri, dengan jalan yang membawanya kepada penyelesaian?

Duduk sebentar, muhasabah diri wahai insan.

Tak mampu, atau sebenarnya tak mahu?



Saya selalu melihat ramai yang menyatakan bahawa dia tidak mampu untuk taat kepada Allah SWT. Ada juga yang menyatakan bahawa, apa yang Allah berikan kepada dirinya adalah berat, dan dia tidak mampu membawanya dalam kehidupan. Berbagai-bagai alasan. Pokoknya, ayat tidak mampu adalah akar utama dalam jambangan alasan tersebut.

Kenapa orang suka cakap tak mampu?

Sebab Allah ada sebut: “”Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” Surah Al-Baqarah ayat 286. Jadi, dengan menyangka bahawa diri kita menyatakan alasan ‘tidak mampu’, maka taklif itu terangkat daripada kita. Begitukah? Sebab itu, perkataan tidak mampu agak popular.

Tetapi, saya suka ingin kita melihat ke dalam jiwa kita. Ke dalam jiwa kita yang terdalam.

Sebenarnya, kita ini betulkah tidak mampu?

Atau sebenarnya, kita ini tidak mahu?

Maka tidak mampu hanyalah alasan, dan bukan hakikat. Bagaimana?

Sesungguhnya, tidak mampu dengan tidak mahu itu, adalah dua perkara yang berbeza.

Tidak mampu = tidak mempunyai kudrat.

Takrif tidak mampu adalah, tidak mempunyai kudrat. Jadi apabila dinyatakan bahawa si fulan itu tidak mampu melakukan solat, ini bermakna pada si fulan itu telah tiada segala apa kudrat yang membolehkannya mendirikan solat. Dalam erti kata lain, dalam hal solat, si fulan itu telah mati. Sebab, solat ini, kalau tak boleh berdiri sekalipun, kita disuruh solat duduk. Kalau duduk pun tak boleh, kita disuruh solat baring. Kalau mulut sakit sampai tak boleh bercakap, bersuara, kita disuruh baca dalam hati. Kalau kena solat baring, tangan pun tak boleh gerak, maka kita disuruh solat dengan isyarat mata.

Maka, apabila dikatakan bahawa si fulan itu tidak mampu lagi melakukan solat, ini bermakna si fulan itu telah tiada segala apa kudrat padanya yang membolehkannya mendirikan solat. Dalam erti kata lain, Si Fulan itu telah mati.

Jadi, tidak mampu bukanlah pilihan. Kita tidak memilih untuk tidak mampu. Oh, ada pilihan sebenarnya. Kita boleh memilih sengaja untuk sakit. Infect diri dengan apa-apa virus ke, atau campak diri dalam gaung ke, atau sengaja bunuh diri. Ha, itu boleh menjemput ketidak mampuan. Tetapi dalam erti kata lain, orang yang sengaja mencampakkan dirinya ke dalam kerosakan ini, berdosa juga akhirnya.

Pendek kata, normalnya, warasnya, ketidak mampuan adalah benda yang kita tidak panggil.

Tidak mahu = Pilihan untuk menyatakan pembantahan.

Manakala, apabila dikatakan si fulan itu tidak mahu, kita faham bahawa si fulan itu memilih untuk membantah perkara yang diarahkan, disuakan. Sebagai contoh, Ibu Si Fulan menyuruhnya membuang sampah, tetapi Si Fulan tidak mahu. Maksudnya, Si Fulan membantah arahan membuang sampah daripada ibunya.

Bantahan boleh terjadi banyak sebab. Tetapi asas sebab-sebab tersebut secara mudahnya berakar pada satu perkara, yakni TIDAK SUKA.

Tetapi, membantah tidak bermakna tidak punya kudrat untuk melakukan perkara itu. Si Fulan tadi, membantah arahan ibunya membuang sampah, bukan kerana dia tidak punya kudrat sehingga membuatkannya tidak mampu untuk membuang sampah. Tetapi kerana dia tidak mahu membuang sampah. Bila ditanya mengapa dia tidak mahu membuang sampah, boleh timbul banyak sebab. Dia ada masalah dengan ibunya, dia tidak suka sampah sebab busuk, mungkin dia faham bahawa membuang sampah hanyalah perbuatan orang low class, atau mungkin ada dalam kepala dia kenyataan bahawa membuang sampah adalah amalan buruk. Yang akhirnya menyebabkan, dia membantah.

Itu adalah Tidak Mahu.

Saya ulang part paling penting: “Tidak mahu tidak bermakna kita tiada kudrat melakukan perkara itu.”

Apabila datang Amrullah(perintah Allah).

Maka, apabila kita seorang mukmin dituntut melakukan sesuatu, diseru menjalankan sesuatu, diarahkan meninggalkan sesuatu, diperintahkan menjauhi sesuatu, oleh Allah SWT dan RasulNya, maka hakikatnya, pada fitrahnya, secara normalnya, arahan itu adalah dalam kadar kemampuan insan, kekuatan insan.

Maka sepatutnya, sebenarnya apabila kita sengaja menimbulkan alasan ‘tidak mampu’, kita sepatutnya memerhatikan semula, apakah benar kita tidak mampu, atau kita sekadar ‘tidak mahu’ melaksanakannya.

Ya, 1001 alasan boleh kita berikan. Saya suka dalam bab bagi alasan ini. Maka yang saya selalu cakap pada diri saya adalah, “Berikanlah alasan itu kepada Allah. Rasa-rasa Allah terima tak?”

Contoh mudah, bangun Subuh di kala musim sejuk. Memang selimut lebih sedaplah. Alasan bangun lewat adalah kerana ‘tidak mampu’ bangun. Terlalu sejuk. Ok, alasan yang nampak best, dan hampir logik. Tetapi benarkah ‘tidak mampu’? Atau sebenarnya memang ‘tidak mahu’ bangun kerana malas?

Maka cuba berikan alasan ‘tidak mampu bangun sebab sejuk’ itu kepada Allah SWT. Agak-agak, Allah mahu terima? Akhirnya kita akan lihat bahawa, kita menyedari yang Allah itu tahu bahawa kita sebenarnya mampu bangun, tapi malas sahaja nak lawan sejuk. Alhamdulillah kita tanya diri kita sekarang, di dunia ini. Tetapi bayangkan kita telah ‘terlajak’ ke akhirat nanti. Allah sendiri yang menyoal: “Mengapa kau selalu bangun Subuh lambat?” Agak-agak, jawapan apa yang keluar dari pancaindera kita pada hari mulut kita dikunci dan tiada pembohongan itu?

Nah.

Antara ciri-ciri mukmin, menyahut seruan Allah, dan bersungguh.

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” Surah Al-Anfal ayat 24.

Ya. Mengapa disebut orang beriman di sini? Bukan diseru kepada sekalian manusia, atau sekalian muslimin(orang-orang Islam)? Ini menunjukkan hakikat bahawa, hanya yang beriman sahaja yang mampu menyahut seruan Allah dan Rasul apabila mereka menyeru kita melaksanakan sesuatu yang pastinya memberikan kebaikan kepada kita.

Di sini saya hendak menunjukkan satu contoh, yang saya sudah pernah bawakan sebenarnya, kisah As-Syahid Abdullah Azam, di kala ketuanya(atau dalam cerita lain, saya mendengar dia yang memberikan arahan kepda anak buahnya) memberikan arahan supaya mereka berlari keliling tempat latihan sepenuh tenaga mereka.

Maka semua berlari,termasuklah As-Syahid Abdullah Azam. Namun, semua apabila kepenatan dan keletihan, mereka berhenti. Mereka ‘rasa’ mereka sudah tidak lagi bertenaga. Tetapi lain dengan As-Syahid Abdullah Azam, dia terus lagi berlari, walaupun kondisinya sama sahaja dengan mereka tadi. Keletihan juga. Lari dan terus berlari. Hinggalah dia pengsan.

Semua bertanya selepas dia bangkit dari pengsannya, mengapa dia berlari sedemikian rupa? As-Syahid Abdullah Azam menjawab: “Bukankah arahan tadi adalah untuk berlari sepenuh tenaga?”

Semua terkesima.

Ya, sepenuh tenaga. Maksudnya, sampai tak ada tenaga dah. Maka, berlari sehingga pengsan sahajalah yang memenuhi kriteria tersebut. Sekiranya masih mampu bercakap, masih mampu berjalan keluar dari medan, itu maksudnya masih bertenaga.

Itulah dia As-Syahid Abdullah Azam, Mujahid Afghanistan, contoh kepada orang-orang yang beriman.

Bagaimana pula kita dengan arahan Allah SWT?

Penutup: Kadang-kadang, kita yang terlalu memanjakan diri kita

Orang kata, kalau nak dapat pingat emas dalam apa-apa acara sukan, maka kenalah training habis-habisan. Penat adalah perkara wajib. Letih adalah yang mesti dilalui. Susah adalah teman. Sakit-sakit sendi, sengal-sengal otot adalah sahabat karib. Yang goyang kaki, lenggok pinggang, memang macam badut di atas medanlah kan.

Itu pingat emas dalam acara sukan.

Agak-agak, nak capai Syurga Allah SWT yang tidak pernah mampu dibayangkan oleh akal manusia biasa ini, bagaimana?

Pastinya ada kepayahan. Ada kesukaran. Pastinya memerlukan tolakan dan paksaan. Tambahan, syurga dipagari oleh perkara-perkara yang dibenci oleh nafsu kita. Lebih keraslah kita perlu bermujahadah.

Namun, perjalanan yang sukar itu, berada dalam kemampuan kita sebenarnya. Tinggal, kita ini kadangkala terlalu memanjakan diri kita. “Tak apa kut.”, “Ah, biarlah.” Kita tidak mendidik diri kita untuk suka apa yang Allah suka, benci apa yang Allah benci, itulah yang akhirnya kita berikan alasan ‘tidak mampu’lah. Sedang hakikatnya di pangkal hati kita yang terdalam, kita sebenarnya ‘tidak mahu’ melakukannya.

Muhasabah diri semula.

Kick start untuk berjaya!!


Seringkali persoalan tentang penggunaan masa dan usaha bermain dalam kehidupan harian kita terutamanya bagi yang masih belajar. Namun, persoalan yang sama bukanlah asing bagi yang sudah bekerja atau yang sibuk menguruskan rumah tangga.

Pernahkah kita sedari bahawa penggunaan masa yang berkesan banyak menyumbang kepada kejayaan? Pernahkan kita terfikir mengapa sejak dari kecil kita terperangkap dengan persoalan yang sama walaupun pengalaman kita semakin bertambah seiring peningkatan usia?

Kita diuji

Setiap makhluk yang dicipta Allah akan merasakan pahit dan manis kehidupan. Itu sunnatullah yang ditetapkan Allah. Sepertimana firman-Nya:

Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). Surah Al-Baqarah (2: 214)

Jelas bahawa hidup manusia itu penuh dengan ujian. Hakikatnya ujian itulah sumber kekuatan, membantu kita untuk taqarrub kepada Allah. Ujian masa adalah salah satu cara kita diuji-Nya. Begitu jugalah masa, hanya yang mampu lepas ujian itu mampu memanfaatkan masa sebaiknya. Setiap manusia mempunyai cara berbeza untuk beradapatasi dengan kekangan masa. Ada yang menjadi positif dan lebih menguruskan masa bila tahu masanya hampir tiada. Namun, ada juga yang terus leka dan sambil lewa dalam menghadapi kesuntukan masa. Kelapangan masa juga ujian, ke mana kita gunakan? Ke arah keredhaan atau kemurkaan? Bagaimana anda? Bagaimana saya? Tanyalah diri, andai kita masih "selesa" dengan kelapangan masa, fikir-fikirkanlah kembali.

Putaran masa

"Hidup ibarat roda, kadangkala kita di atas, ada masanya di bawah".

Hakikat masa juga selari dengan ungkapan di atas. Kita melihat setiap detik terus berlalu dengan helaan nafas pinjaman Illahi. Saya yakin kita semua pernah mengalami "zaman keemasan" masing-masing. Mungkin ia berlaku semasa masih di sekolah rendah, atau bila menjejak sekolah menengah. Ada juga yang baru merasai saat-saat manis itu di zaman unversiti atau semasa bekerja. Hakikatnya, kita pasti pernah merasa. Bukankah indah jika saat itu berulang? Namun, wajarlah untuk kita menyedari bahawa Allah itu maha Adil, sedangkan malam dan siang sering di pergilirkan, begitu jugalah dengan kejayaan dan kegagalan.

Sahabat-sahabatku,

Di sini saya ingin mengajak agar kita semua berfikir tentang hikmah setiap kejadian yang menimpa kita. Pahit manis kehidupan itu menyumbang kepada pengalaman dan akhirnya menjadi pengajaran buat kita. Allah memberi ruang untuk kita berfikir sejauh mana kita menggunakan nikmat masa yang diberikan dengan sebaiknya. Bila berjaya, pernahkah kita terfikir satu masa kita akan jatuh dan tenggelam dalam kesedihan?

Kickstart buat kita

"Kesenangan yang datang tak akan selamanya, begitulah selepas susah ada kesenangan.."

Bait lagu "Kehidupan" ini boleh kita ambil pengajaran tentang perihal pentingnya menghargai nikmat masa kurniaan Illahi. Sahabat-sahabat sekalian, setelah kita menyedari tentang masa yang akan terus berlalu meninggalkan kita, marilah kita bergerak dan bertindak ke arah kebaikan dan perubahan. Saya bukanlah orang yang paling baik untuk menasihatkan. Hakikatnya, saya masih belajar dan terus belajar memformulasi teknik penggunaan masa yang berkesan. Namun, di sini ingin saya berkongsi sedikit tips yang boleh diamalkan:

1. Kenali kelemahan diri anda yang membawa kepada penggunaan masa yang kurang efektif. Contohnya, suka tengok video dalam jangka masa yang lama.

2. Cuba fikirkan cara terbaik untuk mengatasi kelemahan di atas. Contohnya, hadnya masa yang digunakan untuk perkara tesebut (kurang masa tengok video kepada satu sahaja)

3. Minta tolong sahabat atau saudara untuk ingatkan dateline atau ingatkan anda untuk menggunakan masa sebaiknya.

4. Perhatikan kawan anda yang bijak menguruskan masa. Cuba contohi mereka.

5. Pastikan anda berada dalam persekitaran yang membina dan mendorong untuk menggunakan masa sebaiknya. Contohnya, pergi ke perpustakaan di mana persekitarannya sangat membantu anda untuk mentelaah pelajaran.

6. Yakin anda mampu berubah untuk menggunakan masa sebaiknya.

7. Jangan putus asa jika cubaan tidak berjaya. Bagi peluang untuk diri anda berubah.

8. Jangan terlalu selesa dengan kelapangan masa. Sediakan diri untuk menghadapi saat-saat kesuntukan masa.

9. Berdoalah selalu kepada Allah, Dialah pemilik hati kita. Allah itu dekat, mungkin kita yang menjauhkan diri dari-Nya.

...dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Ali-Imran: 2: 286)

Akhirnya, yakinlah bahawa kita mampu berubah dan mampu memulakan "kick start" untuk diri kita sendiri. Jangan tunggu masa berlalu, kejayaan hanya pinjaman, jadikan kegagalan sebagai satu kemanisan dengan mengambil pengajaran. Kita makhluk yang dikurniakan akal, gunakanlah untuk menilai dan memerhati bukan sekadar menanti mengharap simpati. Ayuh gunakan masa sebaiknya untuk mencipta kejayaan. Ya, anda boleh!

Wallahua'lam