Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Saturday, March 26, 2011

belajar daripada bawah untuk berjaya


"Saya daripada sekolah dulu belum pernah memegang apa-apa jawatan. Tapi saya memang yakin saya boleh buat kerja dengan baik," kata seorang pelajar yang sedang ditemuduga oleh saya untuk satu jawatan persatuan Engineus(Engineering Society).

"Adakah kerana populariti atau ingin menjadi terkenal bila dapat menjadi mainboard pada first year lagi?" Saya sengaja memberi soalan sebegitu.

"Bukan. Saya betul-betul mahu belajar cara-cara hendak menguruskan sesuatu program dan cara-cara hendak menguruskan sesuatu mesyuarat umpamanya. Dan saya rasakan jawatan ini memang dapat memberikan saya pengalaman seperti itu," jawabnya penuh yakin.

Dari segi gaya bercakapnya, memang menunjukkan yang dia betul-betul berminat memegang jawatan dalam mainboard. Mencari pengalaman baru katanya. Tetapi kemudian saya berikan dia jawatan sebagai ahli jawatankuasa biasa di dalam sebuah biro.

Bukan saya menidakkan keupayaannya untuk memegang jawatan tinggi tetapi biarlah dia merasa dulu bekerja daripada bawah. Saya sendiri hanyalah seorang AJK biasa-biasa sahaja sebelum diserap masuk terus ke dalam mainboard. Dan saya rasakan pengalaman menjadi AJK biasa itulah yang paling berguna yang membolehkan saya belajar lebih banyak perkara.

Hendak memimpin atau hendak buka bisnes sendiri perlu kita belajar selok-beloknya terlebih dahulu. Perlu ada mentor atau orang yang kita jadikan idola yang baik untuk kita ikuti dan contohi.

Apa yang perlu dibuat sebagai orang bawah

Memimpin tidak semestinya perlu berada di kedudukan paling atas. Jika kita seorang ahli biasa pun kita masih boleh memimpin. Apabila kita berada di kedudukan bawah, kita belajar dengan cara memperhatikan cara pimpinan ketika itu memimpin. Apa yang baik kita ambil dan apa yang silap kita cuba cari penyelesaian lain.

Konsepnya sama dengan hubungan antara imam dan makmum. Jika imam melakukan kesilapan, makmum berhak membetulkan.

Waktu menjadi orang bawah itu juga perlu kita cuba merapatkan diri dengan AJK lain. Wujudkan hubungan dan suasana yang baik. Salah satu elemen yang penting di dalam pembentukan sebuah institusi ialah hubungan yang wujud di antara mereka. Andai baik hubungan yang terjalin tersebut maka kukuh dan kuatlah institusi tersebut.

Kalaulah jawatan atau pekerjaan yang kita dapat itu bukan yang kita harapkan, tidak perlulah rasa rendah diri. Belajar memimpin daripada bawah itu lebih seronok daripada terus berjawatan tinggi.

Dan sewaktu menjadi orang bawah inilah kita perlu cari model atau mentor yang boleh mengajar kita menjadi pemimpin yang betul.

Contoh daripada Nabi Muhammad

Nabi Muhammad sendiri belajar memimpin daripada peringkat paling bawah sekali. Daripada belajar mengusahakan ternakan kambing sewaktu beliau berusaha 8 tahun. Tentu bukan mudah untuk menjaga kambing yang perangainya macam-macam.

Kemudian menjadi assistant manager unit jualan pula pada usia 12 tahun semasa mengikuti ayah saudaranya berniaga. Lantas barulah beliau menjadi seorang manager semasa bisnesnya sudah berada di tahap internasional pada usia 20-an.

Sedari kecil sudah belajar bertanggungjawab dan kemudian berjaya menguruskan bisnes sendiri dengan baik.

Berniaga juga perlu belajar dahulu

"Aku macam dah kurang keyakinan hendak buat bisnes la bila dah bekerja ni," kata seorang kawan pada suatu petang.

Dia menyambung, "Kalau dulu minat nak buka bisnes meluap-luap. Sampaikan hampir semua jenis bisnes aku cuba. Tapi bila dah start kerja bawah orang macam ini, rasa nak berhenti kerja itu hilang. Rasa nak buka bisnes dah macam tak ada pula."

Saya teringat satu perkara yang ditekankan oleh Robert T. Kiyosaki dalam buku Rich Dad Poor Dad, "Work to learn, don't work for money."

Dia juga menyarankan supaya kita belajar dahulu selok-belok berniaga daripada bawah. Tetapi kita perlu tetapkan dahulu dalam minda kita yang kita bekerja bawah orang lain itu adalah untuk mengambil pengalaman, cara gerak kerja, dan cara menguruskan kerja syarikat tersebut.

Semakin banyak pengalaman yang ditimba dan semakin banyak model bisnes terbaik yang kita ketahui, maka semakin baiklah strategi kita untuk memulakan bisnes sendiri.

Saya juga masih bertatih belajar. Bertemu dengan orang yang tidak dikenali untuk berbincang, kadang saya menawarkan diri untuk menemani kawan yang akan bertemu dengan orang penting dan kadang saya ikut kawan saya berniaga di booth.

- Artikel iluvislam.com

Wednesday, March 9, 2011

Titipan Untuk Wanita Solehah...


"Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki."

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa gunanya aku menjadi perhatian lelaki andai murka Allah ada di situ.

Apalah gunanya aku menjadi idaman banyak lelaki sedangkan aku hanya bisa menjadi milikmu seorang.

Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang bisa dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mau menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan.

Bagaimana akan kujawab di hadapan Allah kelak andai ditanya? Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menghias peribadiku karena itulah yang dituntut oleh Allah.

Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak kunafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahwa aku perlu menjaga perasaan itu karena ia semata-mata untukmu.

Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi labuhan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.

Diriku yang memang lemah ini telah diuji oleh Allah saat seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai macam dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa.

Aku merasa seolah-olah kehidupanku yang tenang ini telah dirampas dariku. Aku bertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristigfar memohon ampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.

Kehadirannya membuatku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau kurasakan seolah-olah wujud bersamaku.

Di mana saja aku berada, akal sadarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang menggodaku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana.

Tetapi aku juga punya keinginan seperti wanita yang lain, dilamar lelaki yang bakal memimpinku ke arah tujuan yang satu.

Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf Alaihisalam, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman Alaihisalam, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat.

Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu. Itu janji Allah.

Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu karena kita masih tidak mempunyai hak untuk membuat begitu.

Juga jangan melampaui batas yang telah Allah tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Illahi.

Aku akan merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyangga ataupun sandaran perjuanganmu.

Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.

Akan kukeringkan darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku. Aku pasti berendam airmata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu kepadaku.

Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu karena dengan mencintai Allah, kau akan mencintaiku karena-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Seorang gadis yang membiarkan dirinya dikerumuni, didekati, diakrabi oleh lelaki yang bukan muhrimnya, cukuplah dengan itu hilang harga dirinya di hadapan Allah. Di hadapan Allah. Di hadapan Allah.

Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera Agama.
Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata.
Yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat rohani dan hati.
Yang diharap, bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat.
Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, kerana diri ini serikandi dengan silam yang kelam.
Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia.
Dan yg akan terjadi, andai tak sama dgn kehendak hati, insyaAllah ku redha ketetapan Illahi..

Wahai wanita, ku ingatkan diriku dan dirimu, peliharalah diri dan jagalah kesucian.. semoga redha Allah akan sentiasa mengiringi dan memberkati perjalanan hidup ini.

Tuesday, March 8, 2011

cinta 3 dimensi....hihihihi


CINTA adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi murahan. Cinta menjadi perkataan mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan selamba.

Lafaz 'AKU CINTA PADAMU' atau 'I LOVE YOU' sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti jantungnya. Pendek kata ungkapan 'AKU CINTA PADAMU' sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian murah. Mengapa, ya?

Memanglah begini jadinya kerana ramai yang belum mengenal peringkat cinta yang pada pendapat saya sebenarnya ada tiga, mengikut tiga dimensi manusia iaitu fizikalnya, mentalnya dan spiritualnya. Cinta di peringkat pertama ialah cinta fizikal, peringkat kedua, cinta emosional dan peringkat ketiga, cinta spiritual.

Lazimnya, sepasang kekasih hanya mengalami dua dimensi cinta sahaja iaitu cinta fizikal dan cinta emosional. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dicapai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.

Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, saling bersama pergi dan pulang kerja, membantu menelaah pelajaran, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional. Dari situ, lahirlah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosilah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi.

Di manakah cinta spiritual? Lazimnya tak terlahir di peringkat ini kerana perasaan ini sukar menjelma jika tidak diketahui. Kerana tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Namun, anak yang dijodohkan oleh ibu bapa akan mengalami cinta spiritual terlebih dahulu sebelum cinta fizikal dan cinta emosional. Ia apa yang selalu disebut sebagai kahwin dahulu, baru bercinta, sedangkan sebenarnya mereka berkahwin kerana mengikut perintah ibu bapa. Apa yang disukai ibu bapa, ia juga disukai ALLAH. Kerana itulah, perkahwinan ini biasanya kekal dan damai kerana ditunjangi cinta spiritual, cinta emosional dan cinta fizikal.

Fizikal, mental dan spiritual seseorang itu harus dipenuhi sebelum seseorang itu akan komited terhadap sesuatu. Justeru itu, cinta fizikal dan cinta emosional sahaja belum melengkapi. Sebab itu ia goyah. Agar perkahwinan itu teguh, carilah cinta spiritual iaitu cinta dan berkahwin kerana menurut sunah Nabi Muhammad s.a.w yang antaranya untuk menambah umat dan kerana mengikut perintah ALLAH.

Ingatlah, jodoh kita ditentukan di Luh Mahfuz. Justeru itu, ia bukan sahaja untuk di dunia, malah membawa ke akhirat. Jika diizinkan-NYA, pasangan kita itulah yang akan menjadi teman kita selama-lamanya di syurga. Berkasih di syurga bukan hanya di dalam lagu cinta, tetapi yang benar akan terjadi jika kita mengerti dengan menyuluh ke denai-denai di hati.

Saturday, March 5, 2011

Dimanakah Semangat Hendak Dicari,....?


Dalam menempuhi kehidupan yang serba serbi ini seringkali kita diuji dengan pelbagai mehnah dugaan dan cabaran. Sehinggakan ada yang sampai terduduk dan termenung, malah ada juga yang 'frust menonggeng' kerana dalam mindanya 'overload' dengan emosi. Tiada semangat dan mula hilang motivasi.

Bagaimana mahu atasi masalah ini ? Saya sebelum ini ada menulis mengenai beberapa tip mengurus stress supaya kita dapat stabilkan minda dan emosi dengan baik. Untuk mencari motivasi, semangat dan inspirasi supaya hidup kita lebih tenang dan gembira. Mungkin saya boleh share beberapa 'trick' untuk memudahkan kita mendapat kembali motivasi, semangat dan inspirasi dalam hidup lebih 'mengegarkan' setiap hari.

Berikut adalah 5 petua mujarab untuk dapatkan meningkatkan motivasi diri :

1. Tingkatkan keyakinan diri kita dengan melihat video-video motivasi daripada tokoh² hebat dunia. Saya suka lihat video peninju lagenda dunia Muhammad Ali yang cukup dahsyat. Umur 22 tahun sudah mampu jadi juara World Heavyweight Champion dengan menewaskan gergasi tinju pada masa itu Sonny Liston. Muhammad Ali tidak berhenti setakat itu, ia meneruskan sehingga merangkul 3 kali gelaran dunia walaupun dibantai, ditumbuk dan diasak hampir separuh mati masih mampu untuk bangkit dan menang bergelar juara. Ia suatu yang mustahil tapi beliau telah melakukannya. Hebat dan mengagumkan. Video motivasi beliau mampu memulihkan semangat saya dalam masa singkat... :)

2. Tingkatkan kuasa minda kita dengan mempraktikkan konsep Quranic Law of Attraction yang jelas harmoni dengan kaedah Islam. Beruntungnya kita sebagai orang Islam ini mempunyai kuasa Doa, Hikmah Syukur dan Sabar (Redha). Saya rasa ketiga-tiga elemen ini mampu menjadikan diri kita sebagai manusia yang hebat dari dalaman dan luaran. Praktikkanya dan sentiasa yakin dengan kuasa Allahu Rabbul Izzah , Pencipta Agung Sekalian Semesta.

3. Tingkatkan fokus dan disiplin diri dengan perancangan sistematik dengan software atau diary/planner yang sesuai. Saya suka guna Goal Pro untuk mengurus matlamat hidup dalam pelbagai aspek seperti Career/Business, Health, Financial, Education, Family dan sebagainya. Soal disiplin ini mmg penting, ada rutin dan peraturan yang mesti dipatuhi. Walaupun ia agak membosankan maupun strict tp rutin itulah yang akan menjadi salah satu faktor kejayaan masa depan. Kita perlu membuat pengorbanan yang besar dari segi masa, duit, tenaga dan apa jua yang ada pada kita dengan disiplin diri yang baik. Saya kerap gunakan Goal Pro maupun diari/planner biasa utk menjadikan diri saya lebih 'well-organize' dan 'focus' berbanding mereka yang tidak pernah merancang disiplin mereka dgn baik.

4. Jumpa mentor, sifu atau advisor (penasihat) maupun sahabat atau family untuk mendapatkan pandangan maupun nasihat yang baik. Cari mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam bidang tersebut dan analisa pilihan alternatif maupun solusi yang mampu kita laksanakan. Saya banyak bergantung pada mentor saya dalam bisnes antaranya di kalangan para jutawan yang sudah tentu mahir dalam selok belok dan sepak terajang bisnes. Dengan bergaul bersama mentor saya dapat meningkatkan keyakinan diri di samping belajar 'live' ttg pengetahuan & pengalaman mereka yang telah berjaya dan hebat. Ia tidak ternilai harganya..... :) priceless..

5. Cari sumber pencetus inspirasi dalam hidup kita.. sama ada inspirasi cinta isteri/suami, kasih anak dan keluarga maupun 'passion' yang ada dalam diri kita untuk membangkitkan kuasa dalaman yang hebat dan dahsyat. Biasanya saya lihat di tempat kerja sama ada di office atau dalam kereta maupun dlm wallet/purse/hp ada gambar org yg disayangi sebagai inspirasi setiap masa. Jika anda tiada pencetus inspirasi, maka saya sarankan kita cari sumber segala inspirasi alam ini iaitu kembali pada Allah SWT... Beristighfar dan berzikir sebanyak yang mungkin, sptmana hadis Nabi ada menyebut :

Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya
dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. ~ Riwayat
Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah
bin Abbas r.a.

Semoga 5 petua mujarab di atas mampu mengembalikan tenaga positif dalam diri kita semua. Apabila emosi distabilkan, fikiran mampu berfikiran positif dan fizikal juga mampu berfungsi dengan optimum. Semua ini cukup penting supaya kita setiap hari sentiasa dalam keadaan bermotivasi tinggi, bersemangat waja dan penuh inspirasi.

Champions aren't made in gyms. Champions are made from something they have deep inside them: A desire, a dream, a vision. They have to have last-minute stamina, they have to be a little faster, they have to have the skill and the will. But the WILL must be STRONGER than the skill.. ~ Muhammad Ali

Sultan Muhammad al Fateh...


Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, "...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.

Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.

Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?

Biodata Ringkas

Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.

Pendidikan

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

Keperibadian

Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.

Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel

Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau "penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.

Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk kota hebat Konstantinopel.