Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Sunday, June 17, 2012

MATEMATIK KBSM: HARAPAN DAN REALITI

semua bakal-bakal cikgu math...InsyaAllah..

Matematik KBSM dirancang berdasarkan prinsip-prinsip kesepaduan unsur-unsur (JERI-jasmani, emosi, rohani dan intelek) yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan diharapkan agar dapat memberikan pelajar suatu pengalaman yang mengandungi empat kesepaduan iaitu:

(1) antara kemahiran, nilai dan bahasa;
(2) antara tajuk-tajuk matematik yang dipelajari;
(3) antara matematik dengan mata pelajaran lain dan;
(4) antara matematik yang dipelajari dengan pengalaman di luar bilik darjah.

Oleh itu, tumpuan khas perlu diberikan kepada lima aspek berikut, iaitu:

(1) keseimbangan antara kefahaman terhadap konsep dan penguasaan kemahiran;
(2) penggunaan matematik dalam situasi sebenar;
(3) kemahiran penyelesaian masalah;
(4) penerapan unsur-unsur sejarah matematik dan;
(5) pemupukan nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kerohanian. 

Matematik KBSM membekalkan pendidikan matematik yang umum, menyeronokkan dan mencabar bagi semua pelajar yang memberi tumpuan kepada keseimbangan antara kefahaman konsep dengan penguasaan kemahiran, penggunaan matematik dalam situasi sebenar, kemahiran menyelesaikan masalah serta berfikir secara logik, kritis dan bersistem. Pembelajaran akademik dibahagikan kepada tiga peringkat yang berkaitan antara satu sama lain iaitu:

(1) pengalaman aktif (berasaskan dua prinsip iaitu prinsip penjelmaan pelbagai dan prinsip kebolehubahan kandungan);
(2) pembentukan struktur secara retroaktif dan;
(3) pembentukan asimilasi yang menyeluruh.

Justeru, pendidik-pendidik disarankan merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melibatkan pelajar secara aktif. Walau bagaimanapun sebahagian daripada pendidik masa kini telah mengalami hakisan ‘professional qualities’. 

Amalan guru dalam melaksanakan kurikulum Matematik KBSM masih berpusatkan guru secara keseluruhannya. Aktiviti melibatkan murid sangat terhad. Penekanan guru lebih kepada hasil pembelajaran, bukan kepada proses pembelajaran. Murid-murid lebih dibebankan dengan cara ringkas; murid-murid disuap dengan petua-petua, menghafal rumus, dan hukum-hukum ciptaan guru sendiri tanpa mengetahui konsep sebenar. Alat bantu mengajar juga diabaikan. Hal ini menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran tidak bermakna (pengajaran dan pembelajaran yang tidak menekankan proses pembinaan skim yang bermakna, penyelesaian masalah serta penghayatan matematik dalam kehidupan seharian) dan menyebabkan murid-murid merasa bosan, jemu dan bencikan matematik terutamanya bagi yang lemah. Murid-murid tahu mengira tetapi jahil dalam matematik dan tidak dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. 

Guru matematik perlu arif dalam strategi pengajaran dan pembelajaran dengan memaparkan kematangan, pemikiran terbuka, kreatif, inovatif, konstruktif, rasional dan bijaksana supaya dapat membantu pelajar membina konsep dan menguasai kemahiran. Guru matematik juga perlu memainkan peranan sebagai Murabbi (pendidik), Mu’allim (pengajar) Muaddib (pembentuk adab), Muhallil (pakar rujuk) dan Qiadi (pemimpin). Para guru harus menguasai setiap tajuk dari segi konsep dan isi kandungan sebelum mengajar supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara efektif dan berpusatkan murid. Kajian-kajian tentang amalan pengajaran guru-guru perlu dipertingkatkan untuk mengesan dan seterusnya menyelesai masalah dan kekurangannya dengan segera.

 p/s: #Penulis asal: Tengku Zawawi Tengku Zainal

No comments:

Post a Comment