Sebagai seorang manusia, hari akhirat adalah merupakan hari
pengadilan. Pada hari pertama pengadilan di padang mahsyar, seluruh
manusia berhimpun semenjak manusia pertama iaitu Nabi Adam sehinggalah
manusia terakhir. Keadaan manusia pada hari itu sesuai dengan amalannya
semasa di dunia dahulu. Rasulullah SAW menggambarkan ada tujuh
golongan manusia yang akan mendapat pertolongan dan naungan pada hari
itu, menerusi sabda beliau yang maksudnya:
Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah
naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan
padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah
yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada
Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang
yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan
berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh
perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak
dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara
bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi
oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah
dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air
matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. – (HR.
Abu Daud dan Ibnu Majah)
Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu sesuai dengan hadith di atas, iaitu:
- Pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab dipikul
pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat
dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap
semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya
adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang
zalim dan azab menanti di akhirat.
- Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya.
Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup
seseorang manusia adalah ketika alam remaja kerana pada usia muda
seseorang berbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka
beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan itu.
- Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid.
Sesungguhnya terdapat hadis menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang
melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan
dikategorikan sebagai satu sedekah.
- Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah.
Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat
sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah
hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih
sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar
perhubungan itu mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
- Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata:
“Aku takut kepada Allah!” Ini menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang
sebenar berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini
bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah
terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan
zina.
- Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya.
Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah.
Sesungguhnya tidak ramai orang dapat menyembunyikan kebaikan
dilakukannya melainkan akan terdapat perasaan riak dan ingin menunjuk
supaya mendapat pujian atau sanjungan dari orang ramai.
- Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain,
lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat
Jamal Allah. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan
cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan
menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang
Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar
daripada perkara yang melalaikan.
No comments:
Post a Comment