Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Friday, July 29, 2011

Pemuda: Ramadhan, Selagi Hayat Dikandung Badan


Semoga saat ini iman kita bergelora dan berdebar-debar menanti kehadiran Ramadhan. Ahlan Ramadhan. Senang dan gembira dengan kedatanganmu Mari kita sambut Ramadhan sebagai tamu agung dan terhormat. Antara lain dengan menggembirakan segenap keluarga dengan pemberitahuan akan datangnya Ramadhan yang mulia.. Saling mengucapkan salam dan selamat menyambut Ramadhan kepada teman-teman dan rakan-rakan kita. Bulan agung dan luarbiasa kini semakin hampir. Selamat Meraikan Ramadhan..

Mengisi Ramadhan dengan amal adalah tanggungjawab peribadi yang mesti dipikul oleh kita. Ramadhan adalah pembangkit jiwa dan pembakar iman, proses dan natijahnya adalah untuk membentuk manusia menjadi peribadi utuh dan positif. Yang berjiwa “pendekar”, sebagaimana Ramadhan di zaman Rasulullah SAW, Ramadhannya melahirkan para sahabat yang berjiwa “pendekar”, dipersiapkan jiwanya dengan jihad, bukan kemalasan.

Semoga kita sudah merancang dengan persiapan yang lebih kemas dan teratur untuk mengisi Ramadhan pada kali ini. Kalau kita tidak merancang menyambut Ramadhan dengan kesungguhan, bermakna kita sudah merancang untuk menggagalkan Ramadhan kita dengan kemalasan dan kebiasaan.

Bayangkan saat anda sedang berada dalam sebuah bilik sedang menunggu seorang doktor pakar. Doktor itu masuk dan memandang wajah anda dengan penuh tajam. Perasaan anda sudah mula cemas dan risau. Dengan nada agak perlahan, doktor itu berkata; “ I wish there were another way to break this to you, but you only have a month to live. Unfortunately, there is nothing I can do for you. I’m so sorry.”

Bagaimana? Apa perasaan anda? Anda ada sebulan lagi untuk hidup? Situasi seperti ini akan mengubah cara pandang anda terhadap kehidupan anda.

Bagi yang berjiwa kerdil, dia akan memilih respon negatif atas peluang nipis dan keterbatasan waktu yang ia ada, lantas dia akan kecewa dan murung. Membiarkan dirinya merentasi kehidupan dengan perasaan kalah dan kecundang sambil menanti hari-hari akhirnya. Belumpun sampai hari ke 30, dia sudahpun menggagalkan dan “mematikan” kehidupannya sendiri sebelum mati yang dijangkaan itu menjemputnya.

Bagi yang berjiwa besar, hati yang sentiasa dihubungkan dengan Allah dan ketentuan Qada’ & Qadar Allah SWT, dia akan memilih untuk memanfaatkan semaksima mungkin 30 hari yang ia ada. Mengutip segala mutiara dan beramal sesungguh mungkin di saat keterbatasan waktu yang ia miliki. Dia tidak akan menoleh ke belakang lagi. Malahan kehidupannya seperti biasa dan semakin luarbiasa, penuh dengan pengharapan, kesungguhan dan keseriusan memanfaatkan hari-hari yang ada.

Andai Ramadhan ini yang terakhir buat kita, bagaimana cara pandang kita pada Ramadhan kali ini? Dengan pandangan biasa, pandangan di bawah paras biasa atau dengan pandangan yang luarbiasa? Cara pandang kita terhadap sesuatu itu akan menentukan tindakan dan respon kita padanya. Andai kita merasai dan memahami bahawa kita tidak ada keupayaan menentukan samada kita akan bertemu dengan Ramadhan tahun 2012, bererti Ramadhan pada tahun ini bakal menjadi Ramadhan kita yang terakhir!

Apa makna terakhir? Andaikan 5 minit lagi adalah waktu terakhir untuk mendaftar menjadi ahli syurga, bagaimana respon anda? Lenggang kangkung atau bertempiaran berlari ke kaunter pendaftaran?

Ketika saya berprogram di Mersing baru-baru ini, para peserta memaklumkan kepada saya bahawa mereka baru kehilangan seorang kawan baik, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Ternyata Allah tidak izin pemuda itu bertemu dengan Ramadhan kali ini walaupun hanya berbaki beberapa hari sahaja. Maknanya Ramadhan tahun lepas adalah Ramadhannya yang terakhir.

Inilah masalahnya. Kita tidak ada keupayaan menentukan bilakah Ramadhan kita yang terakhir. Namun kita ada pilihan untuk menetapkan cara pandang kita pada kehidupan ini. Cuba berfikir sejenak, andai hari ini adalah hari terakhir kehidupan kita. Andai inilah Ramadhan terakhir buat kita. Andai ini adalah solat terakhir kita. Andai ini adalah sedekah terakhir kita. Andai ini adalah doa yang terakhir buat kita. Bagaimana? Apa yang anda rasa? Masih bermalasan, menangguh amal, mencipta alasan atau bagaimana?

Saya yakin, pemikiran, tindakan, jiwa dan perasaan kita akan berubah melihat kehidupan ini. Setiap hari kita akan memilih jalan kemenangan di sisi Allah SWT. Setiap hari kita akan memberi tumpuan seserius mungkin pada kehidupan kita, pada jalan yang kita hendak lalui, pada profesion yang kita hajatkan, pada setiap aktiviti dan kegiatan harian kita. Kita akan menghargai dan bersungguh pada setiap amal kita. Kita tidak akan menunda-nunda amal kita. Nilai diri kita tergantung pada hari yang kita ada, bukan hari yang belum ada kepastian buat kita. Jika esok, bulan depan atau tahun depan kita beruntung, maka keuntungan itu hanya akan diperoleh apabila hari ini kita beramal. Dan jika esok, bulan depan dan tahun depan kita rugi kerana kesempatan amal tidak menjadi milik kita, janganlah rasa menyesal, kerana hari ini, saat ini, kita telah beramal dengan amal yang terbaik. Kita akan mula hargai setiap saat kehidupan kita. Kita akan menghargai solat, zikir, doa, sedekah, study dan segala aktiviti yang memberikan kebaikan kepada kita di sisi Allah SWT. Nah, Ramadhan juga pada tahun ini pasti kita akan lalui dengan luarbiasa, lebih baik dan terbaik!

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. (Ali Imran: 159)



Mari kita bersiap. Bersiap untuk mengisi Ramadhan kita pada kali ini dengan usaha dan amal yang luarbiasa. Andai ini adalah Ramadhan terakhir, kita akan laluinya dengan persiapan mental, fizikal, material, jiwa, perasaan dan tindakan yang terbaik sekali. Kunci meraih kejayaan mengisi Ramadhan dengan harapan beroleh pahala dan maghfirah, dibebaskan dari azab api neraka dan tamat ujian dengan graduan bertaqwa, maka bersiaplah.

Madrasah Tarbiyah Ramadhan

Melahirkan angkatan pemuda taqwa

Akan lahir dan terbina hanya

Dimulai dengan langkah bismillah

Dirasai oleh yang bervisi puasanya

Dimiliki oleh yang berkeyakinan mendalam

Dilaksanakan oleh yang ikhlas

Dimulai oleh yang cerdas dan tetap bersemangat

Dimenangkan oleh yang berani dan berjiwa besar

Diraih oleh yang thabat dengan tarawih, solat dan Al Quran

Digerakkan oleh yang bermotivasi tanpa batas

Dilaksanakan dengan tuntas

Diasak dengan kerja yang keras

Dipandu oleh Al Quran dan Sunnah

Disiram dengan airmata keinsafan

Gempita dengan zikir dan fikir

Kaya dengan sedekah berterusan

Setia dengan iktikaf sendirian

Semoga meraih magfirah dan keampunan

Terbebas dari azab kepanasan

© Langitilahi.com

Thursday, July 28, 2011

Calon Pemuda Pilihan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

"Berikanku sepuluh orang pemuda, maka akan ku goncangkan dunia.."

– Presiden Pertama Indonesia,Bung Sukarno.

PEMUDA.. itulah kuasa seorang PEMUDA.. mereka bukan seperti pemuda biasa-biasa, bukan juga lelaki dalam kebanyakan manusia, tetapi merekalah PEMUDA harapan BANGSA, RIJAL impian AGAMA..

"Harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu 'Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!!"
- Khalifah Islam ke-2, Umar Al-Khattab

SubhanAllah, lelaki mana yang tidak mahu bercita-cita menjadi seperti ini?

Mustahil.. Jika mereka tiada berkeinginan untuk berusaha menjadi ke arah itu, mereka bukanlah PEMUDA yang digambarkan oleh Bung Sukarno, mereka bukanlah RIJAL yang dimahukan oleh Amirul Mukminin.. mereka hanyalah insan biasa-biasa, bukan INSAN LUAR BIASA.

"Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.." - Surah Al-Kahfi [18:13]

Ya Allah, bukan mudah untuk menjadi pemuda seperti itu, tetapi ia bukanlah satu perkara yang ganjil dan janggal dalam dunia sejarah kegemilangan Islam.

Lihatlah Sultan Muhammad Al-Fateh, Usamah bin Zaid, Salahuddin Al-Ayyubi, pemuda-pemuda Al-Kahfi, Saidina Ali, Imam Syafie' dan ramai lagi pemuda kebanggaan agama dalam sejarah kegemilangan Islam.

Mereka semua PEMUDA, mereka semua hampir sebaya kita.. mereka semua bercita-cita.. tetapi bukanlah bercita-cita sekecil jiwa kita, cita-cita mereka HEBAT.. impian mereka BERSEMANGAT.

SubhanAllah, bukti apa lagi yang kita mahukan untuk membuktikan pemuda seperti kitalah yang seharusnya bangun dari lena, sedar dari angan-angan yang sia-sia, bangkit dari alam maya ke alam yang nyata.

Siapa lagi yang akan jadi PENDOKONG UTAMA AGAMA, jika bukan dari dalam kalangan pemuda itu sendiri.

Andalah PEMUDA harapan AGAMA itu!

Lihatlah realiti masa kini.. pemuda kian longlai, pemuda semakin kusut masai, pemuda mudah dihina, pemuda senang dicerca.. pemuda tiada wawasan diri, pemuda tiada pegangan AGAMA yang sejati..

Ya Allah..

Katakanlah dalam diri, kamilah PEMUDA PEJUANG, PEMUDA yang bukan hanya duduk senang lenang, PEMUDA harapan AGAMA, PEMUDA perubahan identiti BANGSA.. kamilah orangnya!

Kamilah RIJAL yang ditungu-tunggu kehadirannya.. kami!!

Ya, kamilah orangnya, katakanlah dalam diri.. tekadkan dalam sanubari.. tanamkan dalam hati.

Justeru, untuk berubah dari seorang lelaki biasa kepada PEMUDA LUAR BIASA ini, ada satu perkara yang amat penting untuk kita sama-sama telitikan. Apakah ia?

Itulah HATI ..

"Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka nyatakan.." - Surah An-Naml [27:74]

Jika seorang tentera itu mahu kekuatan dalam dirinya, latihan FIZIKAL merupakan latihan utama.

Begitu juga seorang PEMUDA. Jika dia mahu kekuatan rohani dalam dirinya, latihan HATI merupakan latihan yang asasi.

Untuk menjadi PEMUDA penyumbang dalam usaha menggapai 'ustaziatul'alam, HATI perlu bersih, HATI perlu jernih .. bersih dan jernih dari kufur serta segala macam kemaksiatan.

HATI itu ibarat kubu sebuah istana. Kita perlu mempertahankan kubu kita daripada diceroboh oleh Syaitan dan Iblis Laknatullah yang durjana.. kita perlu ada cara dalam mengawalnya. Kita perlu ada strategi untuk mempertahankannya.

Apakah cara dan strateginya?

Kita perlu mempertahankan pintu masuk kubu istana. Itulah strategi utama. Jika ini kita mampu lakukan, nescaya tentera-tentera Syaitan dan Iblis pasti sukar untuk menceroboh masuk ke dalam istana.

Persoalannya sekarang, apakah pintu-pintu masuk kubu tersebut? Atau secara realitinya, apakah pintu-pintu masuk Syaitan dan Iblis ke dalam hati kita??

Pintu-pintu masuk tersebut adalah sifat-sifat kita sendiri..

Sifat hasad dengki, ammarah yang keterlaluan, sifat suka bermusuh-musuhan, malas, pengotor, pengeji.. itu semua adalah sebahagian pintu-pintu masuk 'kubu istana'.

Kawallah pintu masuk tersebut, nescaya selamatlah istana, kawal sifat-sifat mazmumah tersebut, nescaya selamatlah hati kita.

Itulah analoginya.. mudah untuk hadam dalam fikiran, tetapi payah untuk dilaksanakan.

Berusahalah untuk mendapat HATI yang suci, bersungguhlah demi memperolehi pangkat PEMUDA yang disegani RABBI .. nescaya pasti ada bahagian untukmu di Akhirat nanti. Percayalah!

Ayuh PEMUDA!!

Ayuh kita semarakkan semangat. Semangat yang kian lama terpendam, semangat yang sudah lama tertanam!

Jangan biarkan ia begitu sahaja, nescaya menyesal kamu di suatu ketika!

Gunakanlah jiwa pemuda kamu di tempat yang sepatutnya, di tempat yang membanggakan Islam, di tempat yang diredhai AS-SALAM.

Moga pemuda-pemuda pilihan seperti kita semua ini, bertemu gembira bukan sahaja di alam duniawi, malah bertemu riang di Syurga Firdausi. Insya-Allah.

Alhamdulillah.

Neraka bagi Penzina

Masih ingatkah kalian sejarah ketika kejadian Isra' Mikraj dimana Nabi Muhammad S.A.W telah diperlihatkan keadaan lelaki dan perempuan yang diletakkan di hadapan mereka dua piring, sebuah piring tersebut berisi daging yang elok dan membangkitkan selera manakala sebuah piring lagi dipenuhi dengan daging busuk yang sudah berulat dan jijik?

Namun kelihatan oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika itu keadaan lelaki dan perempuan tersebut yang sungguh aneh sekali kerana mereka sanggup menjamah daging yang telah busuk dan berulat tersebut daripada menjamah daging yang masih elok dan membangkitkan selera. Maka Rasulullah S.A.W telah diberitahu oleh malaikat Jibril A.S bahawa golongan yang sedang menjamah daging busuk tersebut adalah mereka yang terdiri daripada golongan penzina.

Siapakah yang digolongkan dalam golongan penzina ini? Mereka ini sebenarnya terdiri daripada manusia-manusia yang gemar melakukan seks bebas dan seks sebelum bernikah. Bagaimana pula sekiranya mereka pernah terlanjur mengadakan hubungan seks luar nikah tetapi kemudiannya bertaubat? Maha Suci Allah, Dialah yang menentukan segalanya samada taubat mereka itu diterima ataupun ditolak. Dengan melakukan taubat nasuha dan tidak mengulangi ketelanjuran tersebut, Insya-Allah Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka tersebut. Wallahualam.

Allah turut memperlihatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W ketika peristiwa Isra' Mikraj bagaimana sekumpulan wanita yang digantung buah dadanya dengan rantai yang diperbuat daripada Api Neraka dan dari faraj mereka keluarlah lendiran busuk yang berupa nanah (berbau lebih dasyat daripada bangkai haiwan), sehinggakan mereka yang turut berada di dalam api neraka tersebut sendiri jijik melihat keadaan mereka tersebut dan minta dijauhkan daripada wanita-wanita tersebut. Jibril A.S memberitahu Nabi Muhammad S.A.W bahawa mereka itu adalah terdiri daripada golongan-golongan yang tidak menjaga kehormatan dan maruah diri.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda: Jauhilah oleh kamu akan perbuatan zina kerana penzina akan ditimpa empat jenis kecelakaan atau bala iaitu akan hilanglah seri dan nur daripada wajahnya, akan dipersempitkan rezekinya, akan menerima kemurkaan Allah selamanya dan berkekalan dibakar dan diseksa didalam api neraka.

Firman Allah S.W.T (An-Nur ayat 2) yang bermaksud: Perempuan dan lelaki yang berzina hendaklah kedua-duanya disebat dengan 100 kali sebatan(setiap seorang), dan janganlah kasihani mereka ketika menjalankan agama Allah(ketika melakukan sebatan ini) , jika kamu tergolong dalam golongan yang benar beriman kepada Allah. Hendaklah hadir ketika menyeksa kedua duanya...

Sabda Rasulullah S.A.W: Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga langit tidak lagi menurunkan hujannya, bumi tidak lagi mengeluarkan hasilnya dan seorang wanita (tidak hanya terdapat) bagi mereka seorang lelaki sebagai pemberi nafkah.(bermaksud seorang wanita yang bersuami tetapi masih berzina dengan lelaki lain) Demikian itu pada hari tersebut suaminya akan melihat kepada isterinya lalu dia berkata ,' sesungguhnya wanita ini telah pernah berhubungan(berzina) dengan lelaki lain'-hadith riwayat Imam Ahmad

Hadith ini menyebut tentang kecurangan wanita iaitu isteri terhadap amanah suami sepanjang peninggalan suaminya. Bukan sahaja harta benda suaminya tidak dijaga, malah dirinya yang merupakan hak mutlak suaminya pun tidak dijaga dan digadaikan tubuhnya kepada lelaki lain. Nafkah yang disebut didalam hadith diatas merujuk kepada nafkah batin iaitu wanita tersebut tidak sahaja mendapatkan nafkah batin daripada suaminya yang sah tetapi juga melakukan hubungan seks dengan lelaki lain ketika tidak diketahui suaminya. Manakala ayat seterusnya iaitu demikian itu pada hari tersebut suaminya akan melihat kepada isterinya lalu berkata, sesungguhnya wanita ini pernah berzina dengan lelaki lain bermaksud pada ketika hampir kiamat itu berlaku seorang isteri bukan sahaja berani melakukan persetubuhan dengan lelaki lain dibelakang suaminya tetapi juga dihadapan dan dengan pengetahuan suaminya. Astagfirullahalazim! Itulah yang terjadi kini bukan?

Rakan-rakan yang dikasihi sekelian, jauhilah diri daripada melakukan zina dan segala perkara yang mendorong ke arah zina. Sedih rasa hati apabila setiap hari saya terbaca kisah-kisah penzinaan didalam surat khabar dan sebagainya. Sekarang, zina bukan sahaja dilakukan oleh pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta, namun turut berlaku diantara kawan-kawan secara suka-suka, adik beradik dan juga sepupu sepapat terdekat. Ya Allah! Malah, turut lebih menyedihkan apabila pasangan yang berzina tersebut melakukan zina sehingga si wanita itu mengandung anak luar nikah dan menggugurkan kandungannya atau membuang bayi tersebut setelah dikandungnya

Orang-orang yang berzina diberikan balasan oleh Allah sejak di dunia lagi seperti penyakit-penyakit Aids, HIV, siplis dan barah. Malah lebih memalukan apabila masyarakat sekeliling tahu akan penyakit tersebut terjadi akibat perbuatan zinanya. Malah dosa paling terbesar selepas syirik kepada Allah ialah dosa berzina!

Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh sekiranya pernah terlanjur. Allah maha pengampun dan akan menimbangkan taubat orang yang benar-benar ingin menjauhi dosa dan ingin kembali melakukan kewajipan yang selama ini diabaikan.

Wednesday, July 27, 2011

kelebihan tadarrus al Quran di bulan ramadhan

BULAN Ramadan mengingatkan kita dengan turunnya wahyu yang pertama (al-’Alaq: 1-5) yang bermaksud: Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Dengan sebab itu digalakkan membaca al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan. Ini kerana al-Quran digandingkan dengan puasa dan juga bulan Ramadan.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata: Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat.” (riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam bukunya Mausu’ah Qadaya Islamiah Mu’asirah 1/328 berkata: “Sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah, dan sesiapa yang mahu berbicara dengan Tuhannya, maka hendaklah membaca al-Quran. Ini kerana al-Quran merupakan hidangan Allah yang diturunkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk dinikmati dan dikecapi.”

Sebuah hadis riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya menyebut: Daripada Abdullah bin Mas’ud, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran merupakan hidangan Allah, maka terimalah hidangan-Nya semampu kamu. Sesungguhnya al-Quran ini tali Allah, cahaya yang nyata, penyembuh yang bermanfaat, penyelamat bagi siapa yang berpegang dengannya, kesejahteraan bagi siapa yang mengikutinya. Tidaklah ia menyeleweng, pasti diperbetulkan dan sesat pasti ditunjukkan keajaibannya tidak putus-putus. Ia tidak binasa dengan sebab banyaknya dibaca. Bacalah al-Quran kerana Allah menggandakan kepada kamu pahala pada setiap bacaannya. Setiap huruf dengan sepuluh kebajikan. Adapun sesungguhnya aku tidak berkata ali lam mim satu huruf tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berhimpun untuk membaca al-Quran dan bertadarus. Baginda menjelaskan kepada mereka kelebihannya antaranya: Diturunkan sakinah dan tama’ninah serta ketenangan, rahmat dan pelbagai lagi kelebihan kepada yang cintakan al-Quran.

Sebuah hadis riwayat al-Turmuzi daripada Abi Sa’id bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi, siapa yang disibukkannya oleh al-Quran daripada memohon kepadaku, nescaya aku kurniakannya yang lebih afdal daripada yang aku kurniakan kepada orang yang meminta. Dan kelebihan kalam Allah SWT berbanding dengan semua kalam sama seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya.”

amalan sunnat bulan ramadhan

Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah S.A.W dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.

Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan kitab Feqhus-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.


1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)

2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka

Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)

3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.

Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

5. Bersiwak atau menggosok gigi.

Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)

6. Bermurah hati dan banyak menderma.

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)

7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.

(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)

Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.

8. Memberi makan untuk berbuka puasa.

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan

Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)

11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.

Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.

Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.

Source: Shahmuzir Nordzahir

Tuesday, July 26, 2011

Ramadhan Semakin Hampir


Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ;

"Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." [Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi]

Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik dengan tema yang agung ini; Allahumma Ballighna Ramadhan. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan.

Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula diisi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah halnya kita?

Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang soleh bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka).

Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.

Iman

1. Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).

2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.

3. Perbanyakkan puasa di bulan Sya'ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).

4. Membaca al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).

5. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).

6. Berzikir setiap masa, al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).

Ilmu

1. Membaca/ belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat al-Quran yang berkait dengan puasa.

2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.

3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.

4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai Imam atau makmun di bulan Ramadhan.

Keazaman

1. Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.

2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.

3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.

4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.

5. Sentiasa berlapang dada.

6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

Jihad

1. Merealisasikan matlamat 'Bersungguh-sungguh melawan nafsu'.

2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).

3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.

4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.

5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan*

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
[Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 183]

Monday, July 25, 2011

Rindu Ramadhan

Jika kita ‘memiliki’ beberapa minit untuk melihat dan menaksir diri dan kehidupan kita secara intensif, tentu kita akan temui begitu banyak kekurangan pada diri kita dan betapa kehidupan kita sering menjauhkan kita daripada redha dan pengampunan Allah SWT.

Masih begitu banyak kejahilan yang menutupi fikiran kita hingga kita masih ragu-ragu dalam memilih antara yang benar dan palsu atau antara sesuatu yang kekal dan sementara. Betapa kecetekan fikiran kita menjadikan kita sering tergesa-gesa dan tersedar setelah diri bersalut dosa dan nista.

Begitu banyak kelemahan pada jiwa kita hingga kita sering mengeluh dan tidak berpuas hati pada takdir dan tadbir Allah SWT sedangkan diwaktu lain kita mengaku beriman pada Keadilan, Kebijaksanaan, Kesempurnaan dan KeagunganNya. Betapa kita berpura-pura dalam beriman kepadaNya sedangkan Allah Maha Tahu segala apa yang kita bisikkan di dalam hati bahkan apa yang kita rahsiakan. Jika kita dapat merasai hakikat kebesaran Allah ini tentu kita akan merasa malu sendiri bahkan merasakan betapa diri kita begitu kerdil dan hina didepan Allah SWT.

Jika kita merasakan semua hakikat kelemahan diri, kealpaan, kelalaian dan ketelanjuran ini tentu kita akan sangat rindukan detik-detik kehidupan yang dipenuhi rahmat dan keberkatan Allah serta dihiasi pula dengan janji-janji keampunan Allah SWT. Tentu kita mengharapkan detik-detik itu berlangsung sepanjang kehidupan kita. Tentu kita ternanti-nantikan kedatangannya dan begitu pilu ketika jiwa terpaksa berpisah dengannya. Tentu menanti sehari untuk menyambut ketibaannya terasa begitu lama apatah lagi seminggu atau lebih daripada itu.

Ya,tidak berapa hari lagi Ramadhan akan menjelma dalam kehidupan kita sebagai tetamu teristimewa dengan seribu janji keampunan dan keberkatan.



Mungkinkah Ramadhan kali ini akan lebih baik dari Ramadhan lalu? Semuanya bergantung pada persediaan diri dan hati kita untuk menyambut tetamu istimewa ini.



Yang jelasnya, Allah SWT menjadikan bulan ini sebagai bulan yang agung dan memberikan keistimewaan yang banyak sekali kepadanya serta menjadikannya sebagai salah satu fasa kehidupan yang paling berharga dan salah satu stesyen perjalanan utama di atas jalan hidup yang lurus. Pada bulan inilah, seorang mukmin akan mencurahkan sebahagian besar perhatiannya kepada Allah SWT, hari Akhirat dan peningkatan rohani sebelum peningkatan kebendaan. Ia adalah pesta ibadah, bulan ruhani, bulan kebersihan jiwa, bulan munajat, serta waktu untuk mengadap yang Maha Esa, memohon pertolongan daripada Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, dan menjalin hubungan dengan Pemilik jiwa dan Pemilik kehidupan serta seluruh alam ini.



Apakah yang lebih berharga bagi jiwa-jiwa yang meyakini hakikat pulang kepada Allah serta takutkan saat-saat segala amalan akan ditimbang dan sebahagiannya dihantar ke syurga dan sebahagian yang lain dihumbankan ke Neraka. Apa lagi yang dirindukan oleh jiwa-jiwa yang merasakan begitu halusnya penelitian dan pemerhatian Allah sedangkan dirinya penuh dosa dan nista. Ya, apa lagi yang diharapkan dan dirindukannya kalau bukan Ramadhan dengan segala janji Allah yang datang bersamanya.



Aduhai jiwa bersalut dosa

Betapa kejahilan sering menjerat dirimu

Dalam kehinaan dan kedurjanaan

Aduhai hati yang selalu leka dan alpa

Betapa hari mu menjauhkan mu dari redhaNya

sedangkan kegelapan menjadikanmu buta mengenal kebaikan

Aduhai diri yang selalu lalai dan engkar

Betapa jiwamu menagih keampunan

Untuk merawat segala keresahan dan duka lara

Aduhai Pemilik diri dan kehidupan ini

Kurniakan kami beberapa hari lagi

Untuk memetik buah keampunanmu

Di taman Taqwa yang Kau janjikan

© Langitilahi.com

Wednesday, July 20, 2011

teka teki imam al ghazali

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka Teki ) :

Imam Ghazali = " Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?

Murid 1 = " Orang tua "

Murid 2 = " Guru "

Murid 3 = " Teman "

Murid 4 = " Kaum kerabat "

Imam Ghazali = " Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = " Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?"

Murid 1 = " Negeri Cina "

Murid 2 = " Bulan "

Murid 3 = " Matahari "

Murid 4 = " Bintang-bintang "

Iman Ghazali = " Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun keadaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama".

Iman Ghazali = " Apa yang paling besar didunia ini ?"

Murid 1 = " Gunung "

Murid 2 = " Matahari "

Murid 3 = " Bumi "

Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka."

IMAM GHAZALI" Apa yang paling berat didunia? "

Murid 1 = " Baja "

Murid 2 = " Besi "

Murid 3 = " Gajah "

Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."

Imam Ghazali = " Apa yang paling ringan di dunia ini ?"

Murid 1 = " Kapas"

Murid 2 = " Angin "

Murid 3 = " Debu "

Murid 4 = " Daun-daun"

Imam Ghazali = " Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT . Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat "

Imam Ghazali = " Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? "

Murid- Murid dengan serentak menjawab = " Pedang "

Imam Ghazali = " Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri "



Wallahualam...

Monday, July 18, 2011

Di antara taman-taman syurga

Alhamdulillah kerana dengan izin dari Allah, kita dipertemukan lagi di ruangan yang menemukan kita hanya melalui baris-baris bicara.

Damai rasanya berada di bawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.

Subhanallah... titis-titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi.

Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaan-Nya.

Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.

Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tetapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.

Moga Allah memberkati tiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal buat-Nya... Insya-Allah.

Seperti biasa, setiap petang Khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid di surau ar-Rahman, berhampiran kawasan kediamanku.

Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.

Sudah menjadi amalanku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian (surau) aku akan berdoa;

Doa Pergi ke Masjid (maksudnya);

Ya Allah,
jadikanlah cahaya di hatiku
cahaya di lidahku
cahaya di pendengaranku
cahaya di penglihatanku
cahaya dari belakangku
cahaya di hadapanku
cahaya dari atasku
dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi S.A W telah keluar dari rumah Maimunah r.a selepas bertahajud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda S.A.W telah membaca doa ini.. (sama-sama kita amalkan... Insya-Allah).

Perjalanan ke surau itu mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah.

Setibanya aku di perkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.

Mungkin juga aku yang sedikit awal daripada mereka hari ini.

Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telinga ku.

Indah ku rasa, damainya jiwa mendengar kalimah yang membesarkan Ilahi. Terhibur benar rasa hati.

Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakak ku sendiri sudah ada di dalam surau.

Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) menjadi orang pertama yang hadir di surau.

Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.

Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau, (amalan yang tidak mahu aku lepaskan... Insya-Allah).

Doa Masuk ke Dalam Surau/ Masjid (maksudnya);

"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."

Sebaik saja kaki melangkah di pintu surau, terlihat dua orang sahabat menyambutku dengan senyuman.

"Assalamualaikum.." Ucapan salam bersambut.

Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah.

Seusai kata-kata aamin dilafazkan, kami mengalunkan doa Qhatam al-Quran.

Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh.

Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Yang Allah Maha Esa.

Doa Qhatam Al Quran (maksudnya);

Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan al-Quran.
Jadikan ia Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat.
Allah ingatkan kami, apa yang terlupa
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tidak diketahui
Kurniakan kami membacanya
Sepanjang malam
dan sepanjang siang hari
Jadikan ianya hujjah kami (pembela kami di akhirat)
Ya Rabbal'aalamiin...

Di sinilah..
Saat inilah...

Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.
Allahu Allah...

Bukan suara kami Ya Allah.

Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami Ya Allah.

Genangan airmata menjadikan aku bertambah hiba.

Di dada ini bagai terbit satu getar yang tak mampu aku luahkan.

Allahu Akbar!

Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hamba-Mu yang mencari ilmu?

Subhanallah.

Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini.

Tertunduk malu aku dengan-Mu Ya Allah.

Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dari-Mu, aku bersyukur.

Aku benar-benar bersyukur.

Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hamba-Mu ini, di kalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmu-Mu.

Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal pada-Mu.

Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaan-Mu.

Redhailah kami Ya Rabbi.

Limpahilah Rahmat-Mu buat kami Ya Rabbi.

Bahagiakanlah kami di dunia dan akhirat nanti...

Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya dengan-Mu...
Allahu Rabbi.

Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tapi hingga saat ini, gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.

Moga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah Yang Maha Esa.

Selagi diberikan keizinan untuk bernafas di bumi pinjaman-Mu ini Ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisi-Mu nanti...

Saturday, July 16, 2011

air tangan orang tak solat

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar, malahan orang yang tidak solat lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa a.s.

Kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam." Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.

Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tapi kalau zaman Nabi Musa, barang siapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya.

Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.

Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan, selalu kita suka makan masakan ibu atau isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan; nasi, dan sebagainya. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat. Tak tergamak kan?

Tapi lain pula halnya dengan kita hari ni. Pagi petang, mamak. Teh tarik satu, roti canai satu. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia. Gelaplah hati kita, sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik. Hati- hati dengan apa yang kita makan. Betapa beratnya amalan solat ni hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril a.s.

Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum". Maksudnya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu.."

Wa'allahualam

Friday, July 15, 2011

Kenapa enggan berada di saf hadapan?


“Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan qurbah adalah makruh”

Satu fenomena yang selalu kita lihat di masjid-masjid, terutamanya hari jumaat; orang kita tidak suka berada di saf hadapan. Jika ada ruang hadapan yang kosong, biasanya orang yang berbetulan dengan ruang itu tidak akan melangkah ke depan, tetapi mempersilakan orang lain untuk mengisi ruang kosong itu. Ia merasakan tindakannya itu baik kerana mendahulukan orang lain. Sebenarnya, perbuatan itu adalah makruh. Sepatutnya apabila ada ruang kosong di saf hadapan kita, kitalah yang paling utama merebut ruang itu dari orang lain.

Firman Allah (bermaksud); “Maka berlumba-lumbalah kamu untuk melakukan kebaikan” (al-Baqarah; 148). Sabda Nabi s.a.w.; “Jika kamu mengetahui besarnya pahala yang ada di saf hadapan, nescaya kamu akan merebutnya sekalipun terpaksa mengundi (untuk mendapatkannya dari orang lain)” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a..

Dalam kaedah Fiqh, ada dinyatakan; “Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan-amalan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) hukumnya adalah makruh. Adapun dalam menerima pemberian, maka memberi keutamaan kepada orang lain adalah digalakkan”. Kaedah Fiqh ini memberi pengertian; jika kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan/kebajikan, rebutlah peluang itu dan jangan menyerahkannya kepada orang lain kerana kita yang amat memerlukan pahala dari amalan itu.

Kita tidak mengetahui; apakah pahala yang kita ada sudah mencukupi atau tidak? Kerana itu, kita perlu merebutnya. Sebaliknya pula dalam menerima pemberian; kita digalakkan mengutamakan orang lain. Contohnya; ada orang datang membawa makanan untuk kita dan kawan-kawan bersama kita. Maka ketika itu, kita disunatkan mempelawa kawan-kawan kita untuk lebih dulu mengambilnya, kemudian barulah kita mengambilnya.

Wallahu a’lam.

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Puasa-puasa di Bulan Sya’ban


Disunatkan berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya. Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan” (HR Imam Abu Daud dan an-Nasai). ‘Aisyah r.a. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Menurut ulamak; difahami dari hadis-hadis di atas bahawa Nabi s.a.w. adakalanya berpuasa sebulan penuh di bulan Sya’ban dan adakalanya baginda tidak berpuasa sebulan penuh tetapi pada kebanyakan harinya sahaja.

Apa hikmahnya Rasulullah s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban?

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai)

PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN

Sabda Nabi s.a.w.;

إِذَا بقي نصفٌ من شَعبَانَ فَلاَ تصُومُوا
“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)

Berdasarkan hadis ini dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban bermula dari tanggal 16 haribulan hinggalah akhir bulan terutamanya sehari atau dua hari sebelum Ramahan (termasuklah hari Syak yang akan disebutkan nanti), sama ada puasa sunat atau puasa kerana ihtiyat (yakni dengan niat puasa Ramadhan sebagai berhati-hati) yang kebiasaannya berlaku di penghujung Sya’ban. Menurut Imam ar-Ruyani; mendahului Ramadhan dengan puasa selepas nisfu Sya’ban hukumnya adalah makruh. Adapun sehari atau dua hari sebelumnya, maka hukumnya adalah haram.

Namun menurut ulamak dikecualikan dari larangan berpuasa selepas Nisfu Sya’ban di atas orang-orang berikut;

1. Orang yang menyambung puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya’ban masuk separuh kedua (yakni sebelum tanggal 16 haribulan) sekurang-kurangnya puasa pada hari nisfu Sya’ban. Dan disyaratkan puasanya itu berterusan hinggalah ke penghujung Sya’ban.
2. Orang yang mempunyai kebiasaan puasa tertentu seperti puasa isnin dan khamis, puasa selang sehari atau puasa ad-dahri, kemudian puasanya itu secara kebetulannya melintasi hari-hari selepas nisfu Sya’ban.
3. Orang-orang yang berpuasa dengan bersebab seperti nazar, kaffarah atau Qadha’ (termasuklah qadha’ puasa sunat).

PUASA SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM RAMADHAN

Dilarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w. iaitu;

لا تَقَدَّمُوا شَهرَ رَمضَانَ بصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمََيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Sebahagian ulama’ berpendapat; pengharaman tersebut adalah dengan niat ihtiyat kepada Ramadhan. Namun bagi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie; pengharaman tersebut merangkumi juga puasa sunat kecuali dalam bagi tiga orang yang disebut tadi;

1. Orang yang menyambung puasa yang dilakukan sebelumnya
2. Orang yang puasa kerana kebetulan dengan kebiasaan berpuasanya.
3. Orang berpuasa dengan bersebab seperti puasa Qadha, Nazar dan sebagainya.

PUASA HARI SYAK

Dilarang berpuasa pada hari syak berdalilkan hadis dari ‘Ammar bin Yasir r.a. yang menceritakan;

من صَامَ اليومَ الَّذِي شُكَّ فِيهِ فقد عصَى أَبا القاسمِ
“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Hari syak ialah hari ke 30 Sya’ban yang timbul syak atau keraguan di kalangan orang ramai; apakah ia masih bulan Sya’ban atau telah masuk bulan Ramadhan? Keraguan itu timbul kerana ada suara-suara yang memperkata atau menghebohkan bahawa anak bulan Ramadhan telah kelihatan, namun tidak ada saksi yang adil atau yang boleh diterima yang memberitahu atau mendakwa ia melihat anak bulan itu. Hari syak ini diharamkan berpuasa sama ada dengan niat puasa Ramadhan sebagai ihtiyaht (yakni berhati-hati) atau puasa sunat. Jika ada yang berpuasa juga pada hari syak, puasanya batal dan ia berdosa. Walau bagaimanapun, dikecualikan larangan tersebut dari tiga orang yang disebut tadi.

Wallahu a’lam.

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Saturday, July 9, 2011

syurga itu untuk siapa?

10.00 PM

Aku masih lagi mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan pada hari esok. Terdapat beberapa chapter lagi yang belum ku selak.

12.00 AM

Mataku sudah mula merasa mengantuk. Aku berniat mahu bangun awal esok pagi dan menyambung apa yang tinggal kerana kurasakan ku masih ada masa, sebelum peperiksaan bermula pada pukul 9.00 pagi. Selalunya sebelum peperiksaan, aku tidur lebih lewat dari hari ini.

9.40 AM

Aku terjaga dari tidur. Aku tersentak. Aku sudah lewat lebih kurang 40 minit. Aku sepatutnya berada di sana lebih awal. Aku kejutkan teman sebilikku. Aku menangis di depannya. Dia minta maaf kerana tidak mengejutkanku. Tetapi aku tidak menyalahkannya. Dia tiada peperiksaan hari ini. Aku tidak menyalahkannya. Sungguh. Ketika itu apa yang menjadi percaturanku samada mahu pergi ataupun tidak. Aku meguatkan diriku ketika itu. Temanku itu juga menasihatiku untuk pergi. Aku bersiap-siap dan terus pergi. Aku masih menangis ketika perjalanan pergi.

Ketika aku sampai di sana, aku berjumpa dengan pengawas peperiksaan dan meminta dia untuk memanggil pensyarahku. Pensyarahku datang kepadaku, dan aku merayu kepadanya. Dia menyatakan aku boleh menjawab peperiksaan itu, tetapi ia belum tentu diterima. Dia menyuruhku untuk berdoa. Kemudianya aku menjawab soalan peperiksan tersebut. Mujur soalan agak senang dan aku pernah mejawabnya di dalam kelas sebelum ini. Sepanjang peperiksaan itu, aku menguatkan diriku dan berkata, "Tak apa, yang penting aku dah buat yang terbaik". Tetapi, alangkah tersinggunya perasaan aku ketika sedang menjawab soalan kerana ada seorang pegawai yang lain berkata, "Awak tahukan yang ni tak confirm lagi boleh terima ke tak?". Aku ketika itu hanya menganguk dengan lemah. Aku amat sesal dengan soalannya. Aku juga tahu. Tapi aku amat mengharapkan semangat dari orang semasa itu. Bukan kata-kata yang merundum perasaanku ketika itu. Aku hanya mampu bersabar walaupun mataku secara tidak lansung berair.

12.00 PM

Peperiksaan tamat. Aku melihat teman-teman aku gembira kena peperiksaan untuk kertas itu sudah tamat. Ketika itu, aku marahkan mereka kerana tidak lansung mempedulikan rakan mereka yang selama ini di dalam kelas sentiasa bersama. Yang sebelum ini berkumpulan. Aku marahkan mereka kerana tidak lansung menghantar pesanan ringkas kepadaku. Dan aku paling marahkan seorang itu, kerana sebelum ini aku sentiasa mengajaknya ke kelas bersama-sama. Tidak pernah lupa. Tetapi ketika peperiksaan dia tidak lansung mempedulikan aku. Aku sedih. Kerana kurasakan, persahabatan kami kuat. Susah dan senangnya bersama.

Selepas itu, aku masih lagi memikirkannya. Menyalahkan semua orang disekelilingku. Aku sentiasa menangis apabila mengingatkanya. Apatah lagi, ianya adalah peperiksaan yang pertama. Aku sudah tiada semangat lagi untuk menjawab kertas-kertas lain. Aku merasakan semuanya gelap. Aku risau, tetapi ketika itu, mindaku dan hatiku sentiasa mengingatkan kejadian itu. Aku juga mahu melupakannya dan fokus kepada kertas lain, tetapi terlalu sukar.

Kemudian, aku berjumpa teman baikku. Aku bercerita dengannya. Aku menangis depannya. Dia mendengarnya. Aku amat terharu. Sebelum ini, semua rakanku yang lain seolah tidak mempedulikan masalah aku, dan meganggap itu hanya masalah kecil yang berpunca dariku. Betulah, Allah tidak menjadikan orang lain sia-sia untuk kita. Kita hidup adalah untuk membantu yang lain. Aku masih ingat. Hanya sepotong ayat yang merubah sepenuhnya pandanganku. "Hanya Allah yang berkuasa atas segala-galanya". Aku terdiam. Ketika itu aku rasakan amat tenang. Seolah-olah aku melihat cahaya itu kembali.

Allah Maha Besar. Allah Maha Kaya. Allah Maha Kuasa. Segala yang di dunia ini adalah dari Allah. Kembalilah kepada Allah ketika hati ini gelap. Allah akan menunjukkkan kembali cahaya. Allahu Akbar.

...........

Hari berlalu hari. Hari ini, keputusan akan keluar. Sentiasa ada debaran setiap kali keputusan. Aku berdoa, "Ya Allah, semoga aku lulus untuk semua kertas, dan jika tidak, semoga aku dapat menerima ianya dengan reda" Keputusan pertama yang ku lihat adalah ketas tersebut, dan aku gagal. Tetapi ketika itu aku sudah reda. Aku hanya tersenyum ketika itu. Kerana itulah yang terbaik buatku.

Kini aku juga tidak lagi marah kepada yang lain, kerana aku tahu, ini semua adalah ketetapan Allah kepadaku. Juga bukan mereka tidak mempedulikanku, tapi kerana itulah ketetapan Allah. Redalah dengan semua yang terjadi. Aku tidak lagi menyimpan rasa dan kini hati ini sangat tenang. Lepaskan la, rasa marah itu.. Lepaskanlah semua dengan reda..

Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan* Promosi RM50 selama setahun!(Sah sehingga 30 Jun 2011)

جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ
Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.
(Surah Al-Baiyinah 98: Ayat 8)


copyfrom@petikan iluvislam

Friday, July 8, 2011

keindahan hidup

Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya.

Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah... jadi "Jabariah" dalam hidup itu.

Atau mengaku super hingga terjebak dalam "Qadariah" ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah.

Kita umat pertengahan - ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!

Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV.

Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar.

Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka.

Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini.

Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena.

Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa.

Bangun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi.

Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena?

Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.
Ubah keadaan luaran atau ubah diri sendiri?

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu?

Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri.

Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri.

Sunahtullahnya tidak begitu.

Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi.

Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan... hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita.

Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain.

Peraturan ini dinamakan Sunnatullah.

Barat menamakannya 'law of nature'. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai 'cause and effect' (sebab dan akibat).

Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.

Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca.

Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih.

Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu.

Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu.

Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.
Membuang sikap ego

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya.

Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego.

Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada 'penyebab-penyebab' pada keadaan yang serba tidak kena itu.

Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, "entahlah... saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga.

Dah nasib..." Atau ada yang berkata, " tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?"

Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku.

Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego.

"Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya..." Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.
Kehidupan kita, pilihan kita

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya.

Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita 'mengizinkan' ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita.

Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup... Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas... terpulang!

Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat.

Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri.

Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi.

Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya.

Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa... soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.
Kecil-kecil dan beransur-ansur

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar.

Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan.

Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar.

Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi 'impak' atau kesan yang beransur-ansur.

Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk.

Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula.

Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua.

Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.

Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak.

Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil.

Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya 'terlebih bajet' ini bukanlah disebabkan 'kebocoran' perbelanjaan yang besar-besar.

Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya.

Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita.

Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.

Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik.

Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah 'over'.

Jangan cuba mengubahnya secara mendadak.

Kita pun mula bersenam secara 'maraton', menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem.

Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.

Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten.

Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula.

Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.

Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu.

Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat.

Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.

Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik.

Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu.

Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera.

Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.

Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya.

Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak.

Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair.

Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak...

Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan.

Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir.

Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas.

Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.

Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan.

Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.

Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.

Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari... ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar.

Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang kesusahan.

Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini.

Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan...

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini.

Bila yang dibuat 'serba tidak kena' itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!

Monday, July 4, 2011

bilakah kali terakhir anda menangis

Tidak semua tangisan itu negatif dan tidak semua insan yang menangis itu lemah.

Bilakah tangisan ini membawa erti kekuatan dan kehebatan?

1. Menangis kerana rasa cinta dan takut kepada Allah
2. Menangis kerana menginsafi kelemahan diri dan ahli keluarga dan berusaha untuk memperbaikinya.
3. Menangis apabila melihat saudara seaqidah dizalimi dan berusaha untuk membantu.
4. Menangis apabila melihat tatasusila umat Islam yang telah melampau.
5. Menangis kerana berasa syukur dengan rahmat Allah yang terlalu banyak walaupun dirinya ditimpa bencana
6. Menangis kerana menyesali dosa dan menyedari kesilapannya
7. Menangis apabila dia menemui kebenaran setelah sekian lama hanyut di dalam kesesatan.

Tangisan-tangisan ini adalah kehebatan kerana orang yang menitiskan air matanya kerana Allah, adalah orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang ditunjukkan melalui sabda Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,

"Tidak akan masuk neraka seorang laki-laki yang menangis kerana takut pada Allah Swt. sehingga air susu kembali masuk ke dalam puting..." (H.R Tirmidzi)

Pada satu ketika Rasulullah saw. berkhutbah di hadapan para sahabat, beliau bersabda," Seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui sungguh kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis." Kemudian para sahabat menutup wajah mereka dan mereka menangis. (Muttafaq 'Alaihi)

Pada suatu hari Rasulullah saw telah mendengar seorang sahabat Baginda yang sedang membaca al Quran. Apabila sampai ke ayat yang bermaksud:

"Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah seperti kulit yang merah" Surah ar Rahman – 37

Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:"Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah? Malang sungguh nasibku ini." Rasulullah saw berkata kepadanya:" Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama."

Jawapan yang sama telah diberikan oleh Rasulullah saw kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjud.

Abdullah bin Rawahah telah menangis pada suatu hari. Isterinya melihat keadaannya turut menangis bersama-sama, dia bertanya kepada isterinya itu:"Mengapa kamu menangis?" Kata Abdullah:"Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui titian sirat, aku menangis."Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak."

Subhanallah, kehebatan yang terserlah dengan linangan air mata yang membuktikan kekuatan seseorang insan.

Malah di antara tanda-tanda yang menunjukkan seseorang ini keras hatinya ialah apabila dia sukar untuk menangis di hadapan Ilahi.

Bilakah kali terakhir daku menitiskan air mata keranaMu ya Ilahi?

Saturday, July 2, 2011

pentingnya memahami 4 istilah asas dalam al-quran

Ilah ( اله ), Rabb ( رب ), ‘Ibadah ( عبادة ) dan Din ( دين) adalah empat istilah asas bagi keseluruhan pengajaran di dalam al-Quran. Al-Quran berulang kali menekankan bahawa Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang Maha Berkuasa, Dialah Rabb dan Dialah Ilah, tiada Ilah melainkan Dia dan tiada Rabb melainkan Dia. Tidak pernah Dia berkongsi sifat-sifat kekuasaan dan kemuliaan-Nya dengan yang lain. Hanya Dia sahajalah yang semestinya diterima oleh manusia sebagai Ilah dan Rabb. Tidak seharusnya wujud mana-mana individu atau pun golongan yang berani mengakui mempunyai sifat-sifat kekuasaan dan kemuliaan yang setanding dengan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.



Kita dituntut agar beribadah hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala, tidak kepada yang lain. Juga, menerima Din-Nya sebagaimana yang dikehendaki-Nya sahaja dan menolak segala din yang lain.



Allah Subhanahuwata’ala berfirman (yang bermaksud):



Dan Kami tidak mengutuskan Rasul sebelummu melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawasanya tidak ada Ilah melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.

(Surah al-Anbiya’ : 25)



Mereka mengambil orang-orang alim (pendita-pendita) dan padri-padri mereka menjadi Ilah, bukan Allah dan juga mereka (mempertuhankan) al-Masih Anak Mariam, sedangkan mereka hanya disuruh (oleh Allah) supaya beribadah kepada Ilah Yang Maha Esa, tidak ada Ilah selain daripadaNya, Maha Suci Dia (Allah) dari apa yang mereka persekutukan.

(Surah at-Taubah : 31)



Mengambil manusia sebagai Ilah dan mengambil din rekaan manusia sebagai din yang dianuti adalah penyelewengan dan kesesatan yang nyata.



Firman Allah Subhanahuwata’ala (yang bermaksud):



Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka sembahlah Aku.

(Surah al-Anbiya: 92)



Katakanlah: Apakah aku akan mencari Rabb selain Allah, padahal Dia adalah Rabb bagi segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Rabbmulah kamu kembali dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan.

( Surah al-An’am : 164)



Katakanlah: Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: Bahawa sesungguhnya Ilah kamu itu adalah Ilah yang Esa. Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Rabbnya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Rabbnya.

(Surah al-Kahfi : 110)



Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada Nya-lah menyerahkan diri segala yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahu pun terpaksa dan hanya kepada Allah-lah mereka dikembalikan.

(Surah ali-‘Imran : 83)



Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama.

(Surah az-Zumar : 11)



Sesungguhnya Allah, Rabbku dan Rabbmu, kerana itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.

(Surah ali-‘Imran : 51)



Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala di atas ada kaitan dengan konsep Ilah, Rabb, ‘Ibadah dan Din.



Oleh itu Allah adalah llah dan Rabb bagi seluruh manusia. Tidak ada sesiapa pun selain Allah Subhanahuwata’ala mempunyai sifat-sifat Kekuasaan dan Penentuan yang paling tepat ke atas sesuatu. Oleh sebab itu manusia wajib beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Dan, din bagi manusia ialah Din Islam semata-mata dan tidak dikongsikan dengan din yang lain.


Pentingnya memahami Konsep Ilah dan Rabb

Orang yang tidak memahami tauhid (keyakinan kepada KeEsaan Allah semata-mata) dan tidak memahami musuh-musuh tauhid, iaitu syirik (pengakuan atau keyakinan kepada yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala), maka tidak akan mampu untuk beribadah, dalam ertikata sebenar, kepada Allah Subhanahuwata’ala dan melaksanakan Din-Nya semata-mata.



Orang yang tidak faham dengan jelas terhadap istilah-istilah Ilah dan Rabb, maka pengajaran al-Quran akan terus menjadi tidak jelas dan lengkap baginya.



Tanpa memahami istilah-istilah Ilah dan Rabb, seseorang itu akan terus menerus melafazkan kalimah: لا اله الا الله (Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah), sedangkan pada praktiknya dia tetap melayan kehendak-kehendak ilah yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dia akan mengaku dengan sungguh-sungguh dan penuh ikhlas bahawa dia tidak ber‘ibadah kepada yang lain melainkan Allah Subhanahuwata’ala, tetapi pada praktiknya dia terus menerus ber‘ibadah kepada yang lain selain daripada Allah Subhanahuwata’ala tanpa sedar.



Jika ada pihak yang cuba menunjukkan kepadanya akan kesalahannya mencintai din yang lain daripada Din Allah, maka dia akan rasa tersinggung dan melawan kembali. Dalam keadaan tidak insaf dan tidak sedar, dia akan terus memberikan kesetiaan kepada perintah-perintah din yang lain selain Din Islam. Tanpa sedar, dia akan terus yakin kepada undang-undang dan peraturan-peraturan yang bukan datang daripada Din Islam. Dia akan terus merasa senang dengan pendokong-pendokong din yang lain tanpa mengesyaki atau mencurigai bahawa pendokong-pendokong itu telah mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala.

Kefahaman tentang konsep Ilah dan Rabb



Ketika mula-mula al-Quran diturunkan kepada orang-orang Arab, mereka benar-benar memahami apakah yang dimaksudkan dengan Ilah dan Rabb. Ini kerana istilah-istilah itu berkaitan dengan bahasa yang dipertuturkan ketika itu. Istilah-istilah itu bukanlah suatu yang baru bagi mereka dan tiada pula maksud-maksud yang lain di sebalik yang mereka fahami.



Orang-oang Arab benar-benar memahami makna yang terkandung dalam istilah-istilah tersebut. Apabila mereka menyebut bahawa Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah (yang disembah) dan Rabb (yang Maha Pencipta) dan tidak ada sesiapa yang lain mempunyai sifat-sifat dan kemuliaan yang dimaksudkan itu, maka mereka segera dapat memahaminya. Mereka betul-betul mengetahui hak-hak Allah Subhanahuwata’ala yang tidak boleh diberikan kepada yang lain.



Mereka yang menentang dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, menyedari akibat atau kerugian yang dialami di pihak mereka jika menyokong Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Manakala mereka yang menerima dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula, memahami apa yang semestinya mereka hadapi, tinggalkan dan pisahkan.



Begitu juga dengan istilah ‘Ibadah dan Din yang selalu digunakan pada masa itu. Mereka memahami apa yang dimaksudkan dengan ‘abd dan ‘ubudiyyah (perhambaan). Juga apa yang dimaksudkan dengan istilah Din.



Oleh sebab itu apabila mereka yang menerima dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, diperintahkan supaya memberhentikan ‘ibadah kepada yang lain dan menumpukan ‘ibadah khas untuk Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, dan membuang keyakinan kepada Din yang lain dan meyakini hanya kepada Din Allah Subhanahuwata’ala, maka mereka mampu melaksanakannya dan menghalakan seluruh rasa hati , fikiran dan tingkah laku kepada ajakan al-Quran. Maka berlakulah perubahan yang mendadak (revolusi) dalam cara hidup mereka sepertimana yang dikehendaki oleh al-Quran.



Apabila masa berlalu, terutama bagi generasi terkini yang mengalami pelbagai perubahan baru, maka istilah-istilah itu semakin sukar difahami. Akhirnya istilah-istilah itu hanya difahami beberapa orang ulama’ yang jelas terbukti keikhlasan, kesungguhan, ingin menghayati Islam sebagai ad-Din dan ingin kembali mengambil Generasi al-Quran pertama sebagai contoh.



Umat manusia kini, pada umumnya sudah kehilangan mafhum asal istilah-istilah itu. Mereka hanya dapat memahami istilah-istilah itu dengan makna dan maksud yang digunapakai oleh masyarakat umum sahaja. Contohnya:



1. Perkataan Ilah hanya digunakan pada perkara-perkara yang berkaitan dengan tuhan-tuhan (selain Allah) yang membawa makna yang sama dengan tokong-tokong, berhala-berhala dan tuhan-tuhan.



2. Perkataan Rabb hanya dimaksudkan dengan seseorang yang memelihara atau menyara hidup orang lain, atau membekalkan orang dengan keperluan duniawi.



3. Perkataan Ibadah pula difahami sebagai perlaksanaan atau peraturan adat resam (tradisi).



4. Perkataan Din pula hanya difahami sebagai satu agama atau kepercayaan kepada mana-mana peraturan.



5. Manakalah Taghut pula diterjemahkan membawa makna tokong, berhala atau syaitan.



Hasil daripada kefahaman yang salah atau keliru itu menyebabkan manusia sukar untuk kembali kepada risalah atau mesej al-Quran yang sebenar.



Al-Quran mengajak manusia supaya jangan mengambil yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah. Maka, manusia kini menyangka bahawa mereka telah memenuhi kehendak al-Quran itu setelah mereka meninggalkan sembahan, tokong-tokong, berhala-berhala dan yang lain yang dianggap sebagai tuhan-tuhan, sedangkan amalan dan praktik hidup mereka terus menerus memenuhi kehendak-kehendak yang lain daripada kehendak-kehendak Allah Subhanahuwata’ala.



Al Quran mengajak manusia supaya jangan mengakui selain daripada Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb. Maka manusia kini menyangka mereka telah memenuhi kehendak itu kerana mereka tidak pernah mengakui sesiapa pun sebagai Rabb mengikut konsep tauhid yang mereka fahami. Sebaliknya, tanpa mereka sedar, tingkah laku mereka telah mengangkat yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala ke taraf Rabb.



Mereka membantah serta tidak menyembah berhala-berhala, mereka mengutuk syaitan dan mengaku menghadapkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, tetapi sebenarnya pemikiran mereka tidak ingin meninggalkan sistem hidup taghut yang dibentuk oleh manusia.



Mengenai ‘ibadah, mereka melakukan beberapa ‘ibadah khusus. Namun sebahagian besar dari hidup mereka tidak dilandaskan dengan hukum-hukum atau perintah-perintah Allah Subhanahuwata’ala.



Begitu juga mengenai din, mereka mengaku menganut agama Islam dan meninggalkan agama-agama lain. Mereka faham sekadar itu sahajalah keperluan beragama dan sesiapa sahaja yang berbuat demikan sudah memenuhi tuntutan perhambaan hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sebaliknya, pada hakikatnya, majoriti manusia kini telah menyeleweng jauh daripada Din Islam yang sebenarnya.


Akibat salah faham



Dalam suasana kegelapan dan kepalsuan ini, keempat-empat istilah asas itu tidak lagi diberikan makna yang betul. Ini menimbulkan banyak masalah. Maka, lebih daripada tiga perempat ajaran al-Quran tidak lagi difahami. Inilah sebab utama mereka tidak ingin menghayati cara hidup yang termaktub dalam al-Quran. Oleh itu untuk memahami hakikat ajaran al-Quran sebenarnya, kita perlu memahami makna keempat-empat istilah itu.



Tanpa kefahaman ini, akibatnya manusia sentiasa hidup di dalam keraguan. Apabila mereka ingin membuat sesuatu keputusan, maka mereka merujuk kepada teori manusia dan membelakangkan ketetapan Allah Subhanahuwata’ala.



Tanpa kefahaman ini, secara tidak sedar manusia yang mengaku Islam akan tertarik dengan din yang bukan Islam dan sanggup pula mati mempertahankannya. Manusia yang mengaku Islam memerangi saudara-saudaranya sendiri dan lebih teruk lagi memerangi din Islam.



Kembali kepada Tarbiyah



Untuk memahami kembali istilah-istilah ( اله ), Rabb ( رب ), ‘Ibadah ( عبادة ) dan Din ( دين) yang sebenarnya, kita perlu kembali kepada tarbiyah Islamiyah. Lebih-lebih lagilah untuk menghayatinya dalam kehidupan yang mencabar kini, maka tarbiyah yang berterusan sangat diperlukan.

nilai kejujuran

Puteri-puteri harapan yang gigih menyebar kebenaran!

Kalian sering mencari dan memerlukan satu perkara besar yang berfungsi sebagai perisai dalam perjuangan menggarap reda Ilahi; itulah dia KEJUJURAN!

Kejujuran apabila menguasai hati, akan menjadikan hati itu HATI YANG JUJUR. Jujur yang sangat kita perlukan ini bukan sekadar kejujuran terhadap sesama manusia. Paling utama jujur dalam mengambil hanya hak kita. Seiring merelakan hak orang lain. Ia mesti berlaku serentak!
Ikuti dengan teliti kisah berikut, agar dapat difahami hakikat yang Islam tuntut kepada kita, berkaitan jujur terhadap hak kita, dan hak orang lain.

Di sebuah rumah usang dalam deretan rumah yang berhampiran Masjid Haram, kelihatan seorang isteri sedang bergegas memastikan suaminya segera pergi ke masjid di awal subuh. Si suami seorang syeikh berusia sekitar 85 tahun. Dalam usia agak lanjut, ketara berat tanggungan syeikh tua itu. Di dalam rumah buruk serba dhaif itu turut dihuni empat anak perempuan, ibu mertua dan dua adik perempuan. Tambah menyayat hati, seisi rumah itu hanya mempunyai satu persalinan untuk dipakai bergilir-gilir bagi menunaikan solat. Justeru itu syeikh mesti pulang awal setiap kali selesai menunaikan solat fardhu. Ini membolehkan tanggungannya di rumah dapat bergilir-gilir menggunakan persalinan pakaian untuk solat. Begitulah yang berlangsung sekian lama. Ditambah lagi dengan kekurangan makanan. Sering mereka berpuasa dan berlapar.

Hinggalah pada suatu hari…, dalam perjalanan pulang ke rumah, di pertengahan jalan syeikh terjumpa seutas tali pinggang seseorang yang tercicir. Dia sangat terkejut! Di dalam kantung tali pinggang itu ada wang emas yang banyak! Berdebar-debar hatinya. Apakah mahu disimpan? Dibelanjakan isinya? Dicari siapa tuannya? Atau diletakkan saja kembali di tempat yang ditemui tadi?

Dalam kecamuk perasaan yang begitu, hati nuraninya berbisik; mengapa begitu jauh layangan fikiranku? Harta itu bukan milikku. Ianya mesti diperlakukan seperti yang Allah tentukan.Umumkan pada orang ramai, siapa yang punya barang itu. Jika tidak ditemui hingga setahun pemiliknya, barulah harta itu halal bagi yang menjumpainya.

Setelah sampai di rumahnya, dalam keadaan dirinya bertarung memujuk bisikan hati sendiri, isterinya pula tambah merayu-rayu. Si isteri meminta sedikit dari apa yang ditemui sekadar mencukupkan keperluan yang mendesak.

Syeikh merenung wajah isterinya. Pujukan wanitalah yang sering membuat iman lelaki tergugat. Terasa bagaikan pecah kepalanya bertarung dengan pujukan demi pujukan isterinya. Digagahinya menyedarkan si isteri.

“Kau isteri yang baik. Sepatutnya mendorong aku memilih jalan kebaikan. Apakah kesabaran kita menanggung susah selama lebih 50 tahun, sanggup dicairkan hanya beberapa saat ini?”

Begitu gawat pertarungan perasaan yang dihadapi syeikh. Sekian lama dia ikhlas mendidik ahli keluarganya supaya sentiasa tabah dan mentaati Allah. Saat ini benar-benar besar ujian yang dihadapinya.

Keesokannya syeikh pergi ke masjid seperti biasa. Selesai solat, syeikh terkejut mendengar satu pengumuman seorang Khurasan yang kaya telah tercicir tali pinggangnya. Ditawarkan ganjaran bagi yang mengembalikan semula. Bila diamati oleh syeikh, ternyata orang itu tuan punya tali pinggang yang ditemui. Segera dia memberitahu orang kaya Khurasan itu dengan berhajatkan ganjaran 10 peratus daripada harta tersebut. Gelagatnya turut diikuti dan diperhati oleh seorang pemuda yang juga tertarik hati mendengar ganjaran yang mungkin diberikan. Si tuan punya tali pinggang enggan memberi ganjaran sebesar itu. Kata orang Khurasan itu, “Memadailah ganjaran yang di sisi Allah.”

Syeikh pulang ke rumah untuk berfikir lagi. Terus didesak oleh isterinya untuk meminta sekadar satu persen. Sudah mencukupi untuk menampung keperluan utama mereka. Sebaik syeikh menemui semula orang kaya itu, tetap disebutkan ganjaran yang diberikan, “Cukuplah atas apa yang Allah tentukan.” Mendengar kata-kata yang sedemikian syeikh yang berjuang dengan keimanannya itu lantas setuju. Lalu dia mengajak orang kaya Khurasan ke rumahnya untuk mengembalikan tali pinggang tersebut. Mereka turut diikuti pemuda yang sama memerhati hal itu.

Sesampai di rumahnya syeikh terus menyerahkan tali pinggang itu kepada yang empunya. Setelah dipastikan semua jumlah wang emasnya cukup, tidak terluak, orang Khurasan itu menyerahkan kembali harta tersebut kepada syeikh, “Ambillah yang menjadi hakmu. Cukuplah dengan ganjaran dari Allah.” Tercengang-cengang semua yang mengikuti peristiwa itu.

Syeikh itu memanggil seisi rumahnya berserta pemuda yang mengikutinya. Dibahagi-bahagikan semua harta yang direzekikan Allah kepada mereka. Semua mereka beroleh bahagian 100 dinar setiap seorang. Anak muda itu tersangat gembira, kerana dengan wang itu dia dapat melanjutkan pengajiannya. Begitu juga dengan anak dan isteri syeikh, semua mereka dapat membebaskan diri daripada himpitan kemiskinan.

Sesungguhnya semua itu adalah ganjaran dari kesabaran mereka seisi keluarga menanggung kesusahan dalam ketaqwaan kepada Allah. Teryata ketaatan dan kejujuran syeikh terhadap perintah Allah dapat menjamin kebahagiaan mereka seisi keluarga sepanjang hayat.

Puteri-puteri Islam yang gigih bertakwa dan diharapkan menyebar luas kebenaran!

Apapun keadaan yang kita hadapi, kepuasan akan dirasai bilamana kita benar-benar meyakini Allah tidak menzalimi hamba-hamba-Nya. Dengan mensyukuri segala anugerah dan ketentuan Allah, akan membuat kita merasa bahagia yang berkekalan.

Sama-sama kita akhiri dengan doa:
“Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan-Mu kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Amin.

Ummu Anas.