Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Monday, June 6, 2011

Integriti guru

Integriti merupakan rumusan kepada pemulihan martabat guru di mata masyarakat. Jika selama ini warga guru sudah semakin hilang sengatnya dimata masyarakat, ia berkait rapat dengan integriti.
Sebagai golongan yang diamanahkan oleh ibubapa dan diberi kepercayaan untuk mendidik dan membentuk survival anak-anak mereka di masa hadapan, guru-guru harus membalas kepercayaan tersebut dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Guru-guru dikenali oleh ibubapa sebagai insan yang mahir dalam selok belok pendidikan.
Kebanyakan ibubapa masa kini tidak lagi melihat tugas guru untuk membentuk sahsiah anak mereka kerana terlalu banyak isu yang berbangkit dari masa ke semasa. Ibubapa masa kini lebih mempersoalkan pencapaian akademik anak mereka berbanding perkara lain kerana inilah perkara yang ditekankan oleh sekolah. Peperiksaan yang menjadi penentu aras kebolehan pencapaian anak-anak mereka. Ibubapa mana yang tidak mahu guru membentuk juga sahsiah anak mereka tetapi memandangkan trend masyarakat yang mementingkan pencapaian dalam peperiksaan maka ibubapa juga seolah terlupa tentang peluang pembinaan sahsiah yang sewajarnya dididik oleh guru melalui tingkahlaku mereka sendiri yang menjadi teladan.
Isu-isu teknikal sering menjadi bahan rungutan ibubapa terhadap guru hari ini seperti tidak memeriksa buku latihan, tidak memberi kerja rumah yang mencukupi, kertas soalan yang tidak bermutu, menyemak buku latihan secara sambil lewa, gagal menghabiskan sukatan pelajaran apabila peperiksaan semakin hampir dan pelbagai lagi isu teknikal yang berkaitan.
Isu pembentukan sahsiah pula hanya berkisar kepada permasalahan disiplin yang timbul seperti gejala sosial yang semakin merebak seperti merokok, gangsterisme, melepak, dadah dan sebagainya. Apabila diajukan persoalan ini maka ianya menjadi perbincangan sosial dan guru-guru meminta mereka tidak dijadikan penyebab lantas mengaitkan juga kegagalan ibubapa memikul peranan mendidik sahsiah anak-anak mereka.
Alasan guru-guru mudah, masa yang terhad di antara guru dan pelajar di samping tugasan mengajar pelajar yang ramai menyebabkan pembentukan sahsiah pelajar tidak dapat ditumpukan sepenuhnya. Guru sering berharap agar ibubapa tidak melepaskan tanggungjawab tersebut kebahu mereka semata-mata tetapi perlu bersama-sama memikul tugas mengikut masa dan tempat pelajar tersebut berada.
Ibubapa pula sering menunding jari mereka kepada keupayaan guru kerana tugasan mereka yang sibuk dari pagi hingga ke malam tidak mengizinkan mereka mendidik sahsiah anak-anak tambahan pula mereka tidak mempunyai kemahiran formal sebagaimana guru yang dilatih untuk membentuk sahsiah pelajar.
Maka, tunding menunding berterusan dari tahun ke tahun tanpa penyelesaian tetapi kesan yang ketara gejala sosial semakin bertambah parah di kalangan remaja sekolah dicelah-celah perselisihan guru guru dan ibubapa. Semakin lama kita membicarakannya semakin parah keadaannya.
Pepatah “Guru kencing berdiri anak murid kencing berlari” perlulah difahami maksudnya dan dijadikan peringatan sepanjang masa. Maksud sebenar pepatah tersebut iaitu sebagai seorang guru perlulah menonjolkan sifat terpuji dalam diri tidak kira di mana sahaja kita berada samada dihadapan pelajar ataupun dibelakang mereka.
Inilah maksud sebenar pepatah tersebut yang perlu menjadi pegangan guru-guru. Jika sebelum ini guru-guru merasakan bahawa pepatah tersebut berkait dengan teladan mereka akan dicontohi oleh pelajar maka hari ini kita perlu merenung lebih jauh lagi berhubung tindakan kita yang konsisten di mana-mana sahaja.

No comments:

Post a Comment