Jika anda suka mana-mana gambar ataupun ayat dalam page ni. Silalah copy, tag ataupun share. Tidak perlu minta izin kerana ilmu ini semua datangnya dari Allah.

Monday, September 6, 2010

Matangkan fikiran dan dirimu


Salam..

2 3 hari ini pelbagai berita ajaib yang sampai di telinga kita. Salah satunya ialah kisah 'Sejadah Berdiri' dan 'Sejadah Terbang'. Mengikut fahaman cetek saya, kejadian seumpama ini sering dikaitkan dengan 'Peringatan Allah terhadap hambanya'.

Setiap manusia diberikan kematangan akal untuk berfikir. Setiap hari kita melakukan pelbagai benda dengan kesedaran diri sendiri. Maksudnya, kita telah matang untuk merencanakan sesuatu benda yang kita rasa patut lakukan. Setiap pagi, kita bangun dan mandi, setiap tengah hari kita terasa lapar, kita makan. Itu adalah tindak balas atas kesedaran fikiran matang kita. Saya tidak jangkakan bahawa budak kecil seusia 3 tahun yang belum matang boleh melakukan ini. Kematangan berfikir tertakluk pada setiap individu yang memiliki kesedaran dalam diri.

Semua ini adalah contoh 'reaksi awal' kita, iaitu manusia apabila melihat kejadian aneh yang berlaku di sekeliling kita. Bagaimana untuk kita menilai dan memikirkan itu adalah terpulang kepada setiap diri kita masing-masing. Seperti yang saya katakan, kesedaran dalam diri yang membolehkan kematangan muncul untuk memacu fikiran.

Berbalik pada kisah 'Sejadah berdiri' yang sering digencarkan oleh akhbar2 ataupun televisyen sejak akhir-akhir ini, kisah ini adalah satu fenomena baru setelah banyaknya kejadian aneh yang berlaku sebelum ini. Seringkali juga perdebatan berhubung isu-isu aneh atau ajaib ini kerap kali menimbulkan fahaman yang berbeza untuk kita dengar dan ikut.

Fahaman 'Melayu Islam bawaan nenek moyang' jualah yang kita ikut untuk ditanam dalam diri masing-masing supaya kejadian takjub ini mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah swt. Acapkali dan akan terus berlaku fahaman sebegini oleh kita semua. Seberapa banyak kejadian yang berlaku seperti 'Awan terbentuk tulisan Allah', 'Tulisan Allah terbentuk pada pokok, haiwan bahkan manusia' terus sahaja kita angkat sebagai kejadian paling takjub membuktikan kekuasaan Allah yang memberikan peringatan kepada hambanya untuk terus dan tidak lalai bagi mengingatiNYA.

Kadang-kadang sesetengah individu tidak mahu mempersoalkan kejadian aneh yang berlaku disebabkan faktor yang tidak menyokong fahaman yang mereka bawa. Fahaman seperti 'Takut lari akidah'. Individu seperti ini sebenarnya masih terperangkap dengan bayang-bayang sendiri, dan jelas mereka ini masih tidak mahu belajar tentang keadaan yang berlaku, 'biologi alam'.

Jika dahulu sebelum fikiran matang kita mencapai kemuncak paling moden, nenek moyang kita masih diperingkat matang yang 'tidak moden'. Ada dua perbezaan disini. Kerana itu, jika dahulu zaman nenek moyang kita, mereka terdengar sahaja bunyi guruh dilangit yang begitu dasyat, ataupun kesan gegaran gempa bumi, terus sahaja nenek moyang kita ini mengatakan itu adalah tanda-tanda kiamat akan berlaku. Sedangkan 'biologi alam' itu terlalu banyak yang boleh kita kupaskan satu persatu. Terkait juga dengan isu ini ialah soal 'mereka yang tidak faham tentang penceritaan, moral dan pengajaran penting'. Mereka terlalu gah dengan amalan mereka sehingga melupakan tentang 'biologi alam', 'Pelajaran tentang persekitaran' ataupun 'Pengajaran dalam sesuatu cerita'.

Susah hendak jelaskan isu ini kerana ia masih dikawal ketat oleh pemikiran Melayu Islam bawaan nenek moyang ini. Contohnya, isu tentang pembelajaran solat yang di sketsakan oleh beberapa pelakon yang diberikan skrip cerita, jalan cerita dan gaya lakonan! Kisahnya bermula tentang seseorang yang tidak pandai solat tetapi dipaksa oleh abangnya untuk menjadi imam. Terjadi kisah lucu dimana imam itu yang tidak pandai solat. Saya tidak mahu ulaskan, pasti pembaca boleh membayangkan keadaan situasi tersebut. Pasti melucukan ya? tetapi bukan soal lucu yang ingin disampaikan dalam sketsa itu. Jangan menghentam melulu dahulu, pastikan ilmu matang dalam berfikir itu cukup didada sebelum menberikan komen-komen yang negetif.

Isunya adalah sebaliknya tentang betapa pentingnya pembelajaran tentang solat ketika kecil supaya apabila dewasa kelak, soal solat dan ibadah tidak menjadi halangan kepada kita semua. Saya tidak fikir pengarah sketsa tersebut membuat sketsa sedemikian hanya untuk bahan lawak semata-mata, tetapi 'Moral of the story' tersebut yang harus kita perhatikan, dan jangan katakan kenapa solat harus dijadikan bahan lawak dalam sketsa lakonan? kerana sketsa atau drama itu cukup dekat dengan diri kita dan solat itu juga adalah satu perkara wajib bagi setiap umat Islam dan rutin harian yang wajib kita lakukan! Ini semua pengajaran kepada penonton yang melihat. Mereka berfikir dan mentafsirkan sendiri selepas menyaksikan sketsa tersebut. Ini dinamakan seperti yang saya sebutkan awal tadi, kesedaran dalam diri bagi membolehkan kematangan lahir dalam fikiran, seterusnya memacu diri setiap individu untuk belajar tentang apa yang mereka lihat atau perhatikan.

Seterusnya fahaman 'pengaruh'. Ini adalah satu fahaman yang sangat tidak merdeka bagi sesetengah individu yang mempunyai akal waras dalam berfikir tetapi masih dikawal ketat oleh peraturan yang diciptakan oleh seseorang yang sangat berpengaruh. Mereka ini punya fikiran, tetapi mereka terkunci kata-kata dan perlu mengatakan 'YA' kepada sang pengaruh yang begitu kaut auranya. Jika mengatakan 'tidak', pasti lama kelamaan, mereka ini akan hilang kepercayaan dan pengaruh dari 'sang pengaruh'.

'Pengaruh' ini terbentuk ketika kita masih kecil, dimana kita berkawan dengan pelbagai jenis manusia, samada manusia itu sama dengan permikiran kita ataupun tidak. Yang jelas, 'pengaruh' ini sangat tidak merdeka bagi sesetengah individu yang mempunyai akal yang waras untuk menentukan hala tuju, pendapat, buah idea, cadangan dan kata-kata yang bernas untuk diucapkan (mereka masih terkongkong dan masih menipu diri sendiri). Kerana itu setiap lontaran idea atau cadangan yang bernas sering kali ditolak kerana kurangnya pengaruh. Melayu Islam bawaan nenek moyang memang begitu kaedahnya, hendak diubah tidak boleh kerana itu adalah qada'qadar Tuhan. Terpaksa terima walaupun hati masih dijajah!

Soalan tentang fikiran dan akal masih terlalu panjang untuk dikupaskan kerana ia adalah subjek kompleks yang terlalu banyak cabang dalam penceritaan, samada sketsa, puisi, pantun, dan cerpen mahupun artikel pendek. Saya percaya, masih banyak manusia itu punya akal yang waras tetapi dikotorkan dengan fahaman yang saya sebutkan tadi.

Saya masih percaya, setiap manusia tidak akan lari akidah dan akan sentiasa mengingati Allah swt dan seterusnya melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang, walaupun kejadian aneh atau pelik sering berlaku disekitar kita! Soal untuk menerima atau tidak perkaran pelik itu terpulang pada setiap diri individu yang mempunyai 'Akal yang matang'!

Pengajaran dan Pembelajaran


Mengajar atau ilmu mengajar, bukanlah suatu ilmu yang mudah untuk dikuasai. Ilmu mengajar biasanya wujud dalam diri seseorang guru itu berpunca daripada dua sumber. Iaitu sama ada bersumber dari dalam diri seorang guru berupa seni halus yang sememangnya telah mengalir di dalam dirinya atau pun sains baharu yang dipelajari dan dikuasainya melalui proses belajar dan praktik dalam bidang perguruan.


Kenyataan ini dapat kita yakini melalui bukti-bukti sejarah, di mana kelahiran ramai tokoh-tokoh pendidik dari berbagai bangsa yang tidak pernah walau sehari pun mengikuti sebarang program perguruan tertentu untuk menjadikan mereka guru kepada manusia. Begitu juga halnya dalam dunia pendidikan Islam, para guru yang menjadi tali penerus kelangsungan ilmu-ilmu Islam di serata tempat bukanlah mereka-mereka yang mempunyai sebarang sijil perguruan, diploma, Post-Graduate Certificate/Diploma of Education dan sebagainya. Namun hasil pengajaran yang mereka berikan cukup berkesan kepada anak-anak didik mereka. Inilah yang saya yakini sebagai seni perguruan, sedangkan mempelajari ilmu perguruan secara formal pula adalah sains perguruan.


Dengan seni atau sains perguruan inilah seorang guru wajar memiliki kebolehan mengajar yang cukup berkesan. Memiliki ‘kebolehan mengajar’ tidak sama dengan memiliki ‘ilmu mengajar’. Kerana terdapat guru-guru yang memiliki ‘ilmu mengajar’ namun masih tidak berupaya mengaplikasikan ‘ilmu mengajar’nya itu untuk menjadi ‘kebolehan mengajar’. Hal ini dapat ditinjau melalui ‘keberkesanan’ pengajaran guru dalam mencapai matlamat pendidikan. Matlamat pendidikan yang saya maksudkan di sini bukan sekadar pencapaian objektif khas (jangka pendek) di bilik darjah sahaja tetapi matlamat jangka panjang. Rasionalnya, tidak semua murid yang hafal rukun-rukun sembahyang dan lulus ujian ‘praktikal’ mengerjakan sembahyang itu berkesudahan menjadi seorang yang istiqamah menjaga solatnya.


Dalam perbincangan ini, fokusnya bukanlah kepada persoalan ketercapaian matlamat pendidikan Islam, tetapi tentang kebolehan guru mengaplikasikan ilmu mengajarnya secara berkesan. Secara lebih spesifik, perbincangan akan disasarkan kepada kebolehan guru menggunakan Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik dalam pengajarannya.


Sama ada seseorang yang baru menjejakkan kakinya dalam arena pengajaran mahupun barisan guru-guru yang berpengalaman, persoalan ‘Konsep Pendekatan, Strategi, Kaedah (Metod) dan Teknik pengajaran masih sukar dibeza-bezakan. Malahan masih terdapat guru yang menganggap bahawa semua istilah tersebut adalah sama, iaitu tentang ‘cara’ pengajaran sahaja. Hal ini adalah suatu perkara yang perlu diberi perhatian oleh para guru kerana konsep-konsep tersebut adalah asas untuk membentuk atau merancang sebuah program pelajaran harian (pengajran/pembelajaran) yang sempurna oleh seseorang guru. Kejelasan terhadap ‘hubungan’ di antara keempat-empat konsep tersebut adalah amat berguna bagi guru-guru pelatih termasuk guru-guru berpengalaman supaya ilmu pedagogi (sains mengajar) yang dipelajari dapat diaplikasikan dalam bilik darjah secara berkesan.



Konsep


Pendekatan


Pendekatan ialah ‘tanggapan’ yang menjadi prisnsip (pegangan) keseluruhan sesebuah siri pengajaran-pembelajaran. Pendekatan juga boleh disebut sebagai klasifikasi pengajaran, iaitu ibarat genre pengajaran guru secara menyeluruh. Jika seorang guru menggunakan pendekatan pengajaran secara ‘pusatan murid’ maka sudah pasti keseluruhan pengajarannya (kaedah, strategi dan tekniknya) akan menghala atau memainkan rentak ‘pengajaran-pembelajaran berpusatkan murid’. Pendekatan juga merupakan orientasi yang diambil dalam sesebuah siri pengajaran. Pendekatan Tradisional, Pendekatan Kontemporari, Pendekatan Pusatan Guru, Pendekatan Pusatan Pelajar, Pendekatan Deduktif, Pendekatan Induktif dan sebagainya.


Kaedah


Kaedah pula adalah prosuder perlaksanaan pengajaran yang beroperasi berasaskan (mengikut) prinsip-prinsip dalam pendekatan. Di dalam sesebuah pendekatan, akan menyenaraikan beberapa kaedah-kaedah sebagai stepping stonesnya. Sebagai contoh, pendekatan Pengajaran Pusatan Murid akan menyenaraikan beberapa kaedah-kaedah berorientasikan pusatan murid seperti Kaedah Penyelesaian Masalah, Kaedah Pembelajaran Berkumpulan dan Kaedah Projek dan sebagainya. Ini bererti bagi pendekatan Pengajaran-Pembelajaran Pusatan Murid, maka kaedah-kaedah yang berorientasikan kepada pusatan guru seperti Kaedah Ceramah, Kaedah Penerangan dan sebagainya kurang mengambil tempat.


Ini bererti kaedah-kaedah yang digunakan dalam sesebuah pendekatan adalah gabungan beberapa kaedah sekelompok atau yang sama klasifikasinya berdasarkan kepada pendekatan tersebut.


Strategi


Strategi pula adalah, ‘kebijakan’ guru merancang, mengenalpasti, mengendali, mengawal, mengambil keputusan, memilih, mengganti sebarang pendekatan dan kaedah yang tertentu dalam pengajaran-pembelajaran. Sebagai contoh, seorang guru yang berstrategi ialah guru yang tahu ‘kesesuaian’ antara peruntukan masa satu sessi pengajaran, isi pelajaran yang akan disampaikan, latarbelakang pelajarnya dengan pendekatan dan kaedah yang akan digunakannya (yang dipilihnya).


Kejayaan strategi seseorang guru itu terletak kepada kebijakannya bermula daripada proes merancang kepada proses melaksana pengajaran, hinggalah juga kepada kebijakannya mengganti/menukar kaedah, pendekatan, tekniknya secara tiba-tiba jika ada keperluan, atau dalam ertikata (ada Plan B).


Teknik


Teknik pula ialah keupayaan atau gaya seseorang guru dalam mengendalikan kaedahnya. Teknik adalah gabungan kebolehan-kebolehan tertentu dalam melaksanakan kaedah. Sebagai contoh, seorang guru yang menggunakan Kaedah Ceramah akan memasukkan beberapa teknik di dalam kaedahnya, seperti teknik berjenaka, teknik antonasi suara, teknik ekspresi muka dan sebagainya. Atau dalam kaedah Soal Jawab, guru akan menggunakan beberapa teknik seperti teknik penyoalan mengelirukan, teknik soalan objektif, teknik soalan oral, teknik penyoalan written dan sebagainya.


Ini bererti teknik adalah satu kemahiran yang ada pada diri seseorang guru dalam mengendalikan kaedah pengajarannya. Perlu diingat, kaedah pengajaran seseorang guru dengan seseorang guru yang lain, boleh sahaja sama, tetapi teknik perlaksanaannya pasti mempunyai perbezaan berdasarkan kepada perbezaan kelebihan dan kekurangan yang ada pada masing-masing guru.



Kefahaman


Sebagai kefahaman kepada konsep di atas, saya cuba terangkan melalui aplikasinya kepada contoh. Saya ambil contoh memasak dengan mengajar. Bahan utama masakan adalah udang, dan bahan utama pengajaran ialah Rukun Wudhu’.


Pendekatan masakan ialah ala-ala Thai iaitu Tom Yam. Pendekatan pengajaran ialah Pusatan Murid. Seorang tukang masak yang berstrategi adalah seorang yang tahu menyediakan bahan-bahan masakan Tom Yam terlebih dahulu (seperti pes tumisan, daun limau purut, perahan limau dan sebagainya). Manakala guru berstrategi juga tahu menyenaraikan keperluan pendekatan Pusatan Murid dalam perancangannya seperti penyediaan kaedah-kaedah yang akan di ambil (kaedah Study Case atau Kajian Kes dan kaedah Berkumpulan), penyediaan bahan-bahan pengajaran-pemblajaran (alatan seperti buku teks, buku rujukan, televisyen, pemain video dan sebagainya).


Berlangsung sahaja proses memasak, tukang masak tadi menggunakan dua kaedah gabungan iaitu kaedah Menggoreng dan kaedah Merebus. Begitu juga guru, selepas memberi penerangan guru akan mengaplikasikan kaedah Berkumpulan dan menyediakan satu Kajian Kes berupa tayangan video (visual) orang berwudhu. Dalam melaksanakan proses menggoreng tadi, tukang masak akan mempunyai teknik menggorengnya yang tersendiri, seperti teknik pengawalan kepanasan, teknik mengekalkan kelembapan udang dan sebagainya. Begitu juga guru, akan memberikan beberapa hint (petunjuk) ringkas sepanjang study case berlangsung sebagai tekniknya. Kemudian, setelah itu beralih kepada kaedah kedua iaitu Merebus, setelah udang digoreng separuh masak, udang tadi akan direbus di dalam kuah Tom Yam sehingga ia masak sepenuhnya dengan teknik melebihkan rasa pedas atau mengurangkannya dengan menambah gula dan sebagainya. Dan bagi guru pula, setelah selesai masa Kajian Kes, guru tadi akan beralih kepada gerak pembelajaran berkumpulan (Kaedah Berkumpulan) dengan memberikan ruang perbincangan agar murid-murid dapat menyimpulkan dan mencatatkan beberapa ‘perbuatan’ yang dilakukan oleh visual sepanjang tayang video berwudhu tadi. Teknik seperti mengelompokkan pelbagai tahap pelajar (pandai, kurang dan tidak) di dalam satu kumpulan adalah teknik yang dapat diaplikasikan dalam kaedah berkumpulan.


Akhirnya, masa untuk penilaian, maka tukang masak tadi akan merasa masakannya untuk memastikan ianya menepati citarasanya, jika ianya kurang menepati maka sedikit perubahan akan dilakukan. Begitu juga bagi sang guru tadi, dia akan menyuruh seorang wakil murid bagi setiap kumpulan untuk membacakan hasil perbincangan dan penyimpulan visual yang mereka kaji itu. Markah akan diberikan mengikut ketepatan hasil perbincangan mereka, dan pembetulan akan dilakukan oleh guru kemudiannya.


Inilah antara contoh aplikasi keempat-empat konsep di atas (Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik) yang mana kesemuanya adalah saling berkaitan tetapi berlainan. Seorang guru perlu menguasai keempat-empat komponen pengajaran ini. Tidak setakat menguasai satu darinya sahaja untuk mencapai sebuah siri pengajaran berkesan (bermakna).

indahnya siratulrahim..


Persaudaraan ibarat seperti dahan-dahan yang ditiup angin. Walau satu pohon ditiup, tidak selamanya gerak dahan seiring sejalan. Adakalanya seirama, tapi jarang sama. Tergantung mana yang lebih kuat, keserasian batang dahan ataupun tiupan angin yang tidak teratur. Persaudaraan adalah satu anugerah Allah S.W.T. yang teramat mahal nilainya buat mereka yang terikat dengan keimanan. Menghormati yang lebih tua, menyayangi yang lebih muda, saling tolong-menolong sesama manusia merupakan bentuk-bentuk persaudaraan. Namun adakalanya dalam hubungan antara sesama manusia yang terikat dalam tali persaudaraan tersebut acapkali terjadi salah faham, khilaf yang seringkali timbul dan rasa kebencian terhadap saudara muslim sendiri.



Syariat Islam sungguh indah. Ia mengajarkan adab yang benar-benar tinggi dan akhlak yang mulia. Silaturahim adalah resepi mustajab untuk semua. Bahkan Rasulullah S.A.W. menjelaskan bahawa silaturahim termasuk dalam intipati dakwah Islam, sebagaimana diriwayatkan Abu Umamah, dia berkata: Amr bin ‘Abasah As-Sulami r.a. berkata:



Aku berkata: “Dengan apa Allah mengutusmu?” Rasulullah S.A.W. menjawab: “Allah mengutusku dengan silaturahim, menghancurkan berhala dan agar Allah ditauhidkan, tidak disekutukan dengan-Nya sesuatupun.” (HR. Muslim, Kitab Shalatul Musafirin, Bab Islam ‘Amr bin ‘Abasah, no. 1927)



An-Nawawi rahimahullahu menjelaskan hadis ini dengan menyatakan: “Dalam hadis ini terdapat dalil yang sangat jelas untuk memotivasikan diri dalam bersilaturahim. Kerana Rasulullah S.A.W. mengiringkannya dengan tauhid dan tidak menyebutkan bahagian-bahagian Islam yang lain kepadanya (‘Amr). Beliau hanya menyebutkan yang terpenting, dan beliau awali dengan silaturahim.” (Syarh Shahih Muslim, 5/354-355).



Silaturahim ertinya adalah menyambung tali persaudaraan kepada kerabat yang memiliki hubungan nasab. Allah S.W.T. melengkapi perintah untuk menyambung tali silaturahim. Allah S.W.T. berfirman:



“Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Rabbnya dan takut kepada hisab yang buruk.” (Surah: Ar-Ra’d: 21)



Asy-Syaikh Abdurrahman As-Sa’di rahimahullahu menyatakan ini umum meliputi semua perkara yang Allah S.W.T. perintahkan untuk menyambungnya, baik berupa iman kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya, mencintai-Nya dan mencintai Rasul-Nya, taat beribadah kepada-Nya semata dan taat kepada Rasul-Nya. Termasuk juga, menyambung kepada bapa dan ibu dengan berbuat baik kepada mereka, dengan perkataan dan perbuatan, tidak derhaka kepada mereka. Juga menyambung perhubungan kerabat, dengan berbuat baik kepada mereka dalam bentuk perkataan dan perbuatan. Juga menyambung silaturahim dengan isteri, sahabat-sahabat dan hamba sahaya dengan memberikan hak mereka secara sempurna baik hak-hak duniawi ataupun agama.” (Tafsir As-Sa’di, hal. 481).



Rasulullah S.A.W. juga menjelaskan tentang pentingnya membina hubungan silaturahim, sebagaimana dalam sabda beliau: “Seseorang berkata: ‘Ya Rasulullah, beritahukan kepadaku amalan yang akan memasukkan aku ke syurga dan menjauhkanku dari api neraka.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakan: “Engkau beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Nya, Mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyambung tali silaturahim’.” (HR. Al-Bukhari, 3/208-209, Muslim no. 13). Dan janji Allah terhadap orang yang menyambung tali silaturahmi diantaranya akan dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya sebagiamana hadis yang diriwayatkan dari Anas radhiyallahu ‘anhu, bahwa Rasulullah S.A.W. bersabda:



“Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaknya ia menyambung tali silaturahimnya.” (HR. Al-Bukhari 10/348,Muslim no. 2558, Abu Dawud no. 1693)



Silaturahim adalah kunci terbukanya rahmat dan pertolongan Allah SWT. Dengan terhubungnya silaturahim, maka ukhuwah Islamiyah akan terjalin dengan baik. Setelah kita mengetahui semua hal-hal tentang silaturahim maknanya kita boleh merealisasikan perkataan silaturahim tersebut dalam kehidupan sehari hari.

Sunday, September 5, 2010

Lailatul Qadar



Dua malam yang istimewa dalam Islam ialah malam Lailatulqadar dan malam Nisfu Syaaban. Malam Lailatul Qadr itu afdhal dari segala malam di dalam setahun. Diikuti malam Nisfu Syabaan. Malam Lailatul Qadr ialah malam penetapan kadar iaitu takdir seperti kadar rezeki manakala malam Nisfu Syaaban ialah malam diserahkan buku yang mengandungi perkara yang ditakdirkan itu (buku baru kata orang). Malam Lailatul Qadr juga ialah malam diturunkan Al-Quran secara sekaligus dari Loh Mahfuz ke langit Baitul Izzah. Al-Quran diturunkan kepada Nabi s.a.w. secara sedikit-sedikit selama 23 tahun, mengikut keperluan dan masalah yang dihadapinya

Dukhan [4] (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)

Al-Qadr [4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).

Para sahabat nabi risau kerana tidak dapat berjihad dan beribadat seperti umat terdahulu, misalnya Bani Israel berjihad selama 80 tahun. Lalu Allah menurunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat nabi yang risau itu. Ramai orang tahu pahalanya 1000 bulan (84tahun)

Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.


Bilakah waktunya?

Pada mulanya Rasulullah s.a.w. telah mendapat tahu tentang bilakah malam Lailatulqadar, namun belum sempat Baginda hendak memberitahu sahabat, Baginda terlupa kerana melihat dua orang sahabat sedang bertengkar.

“Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).”
(Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))

Nabi s.a.w. menyuruh umatnya mencari Lailatulqadar pada 10 malam terakhir, terutamanya malam-malam ganjil. Allah suka pada yang ganjil (witir). Allah suka pada sembahyang yang ganjil bilangannya seperti sembahyang witir.

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Carilah Malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir. Dalam hadis yang lain yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 hari yang terakhir."

Waktu lailatulqadar tidak sama antara satu tempat dengan tempat lain. Imam Ghazali mempunyai formula untuk mengira lailatulqadar berdasarkan hari mula puasa mengikut pengalamannya. (mungkin boleh dipakai di Malaysia kerana tempat beliau di Iran atau Iraq tidak jauh dari sini)

Jika Awal Ramadhan (1 Ramadhan) jatuh pada hari :

[1] Ahad atau Rabu - Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-29 Ramadhan;

[2] Isnin - Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-21 Ramadhan;

[3] Selasa atau Jumaat - Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-27 Ramadhan;

[4] Khamis - Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-25 Ramadhan;

[5] Sabtu - Malam Lailatul Qadar dijangka akan berlaku pada malam ke-23 Ramadhan.


Cara Nabi mendapatkan lailatul qadar

Kebiasaannya Nabi Muhammad s.a.w. beriktikaf dengan memasuki masjid pada petang 19 Ramadhan selepas waktu Asar. Iktikaf bererti berhenti di masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amalan seperti membaca al-quran, bertasbih dan sembahyang. Isteri-isteri Baginda pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka bersembahyang. Hukum iktikaf pada 10 akhir Ramadhan ialah fardu kifayah dalam mazhab Hanafi dan sunat muakkad dalam mazhab Syafie.


Nak buat apa pada malam itu?

Usaha, dapatkan dan carilah Lailatulqadar. Bangunlah kira-kira dalam pukul 2-3 pagi dan buatlah apa-apa ibadat pun seperti berzikir, sembahyang, membaca quran.


Nak minta apa jika bertemu malam itu?

Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya, “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Baginda menjawab,
“Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbull ‘afwa , fa’fu ‘anni."
Maksudnya;
“Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)


Apa berlaku pada malam itu?

Al-Qadr [4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).

Allamah Sawi mengatakan pada malam itu turun ruh malaikat yang mempunyai 1 badan dan 1,000 muka. Besarnya ruh malaikat ini ialah kepalanya berada di bawah Arasy dan kakinya bertunjang ke bumi. Setiap muka mempunyai 1,000 mulut, kerjanya memuji Allah, setiap lidah dalam bahasa yang berlainan (1,000 muka x 1,000 mulut = 1,000,000 bahasa)

Malaikat yang turun pada malam itu mengucapkan Salam kepada orang Islam kecuali kepada orang Islam yang meminum arak, memakan babi dan memutuskan Silatur-Rahim.

Antara kelebihan malam lailatul qadar ialah malaikat turun bersama 4 panji-panji iaitu 4 bendera yang diletakkan di 4 tempat:

* Satu bendera diletakkan di atas Maqam nabi.
* Satu bendera diletakkan di Baitul Maqdis
* Satu bendera diletakkan di Baitullah
* Satu bendera diletakkan di Bukit Thur


Tanda Malam Lailatul Qadar

Malam yang tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu.

Saturday, September 4, 2010

kalau aku lupa, tolong ingatkan...



Kita Sebenarnya.....

......lebih gembira menyambut 1 Januari daripada 1 Muharram !
......lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal !
......lebih membesarkan hari Sabtu dan Ahad daripada hari Jumaat !
......lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar Azan !
......lebih suka lepak, tidur, tengok TV...dll daripada Solat dan mengaji !

......lebih tahu tentang artis pujaan kita daripada nama nabi-nabi Allah !
......lebih suka menyebut hello! dan hi! daripada Assalamualaikum !
......lebih suka menyanyi dangdut, rap, hip-hop...dll daripada berwirid atau bertahmid !
......lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri !

......lebih suka membaca majalah hiburan daripada buku-buku agama !
......lebih suka ke konsert, karaoke daripada ke ceramah agama !
......lebih suka memaki, mengumpat orang daripada memuji mereka !
......lebih suka mencarut, @#!*@!! daripada menyebut MasyaAllah !
......lebih suka kemungkaran daripada membuat kebaikan !
......lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan keimanan kita !
.......lebih cintakan dunia daripada urusan akhirat !

TETAPI bila ditanya arah tujuan kita, kita pasti akan jawab bahawa...

KITA SEBENARNYA.. ....lebih suka menuju ke Syurga daripada ke Neraka !

Layakkah kita dengan Syurga Milik Allah???

kisah dari sorang yang bergelar cikgu...

kenangan semasa melakukan observation di SMK skudai mac 2011


Sepanjang pengalaman saya mengajar pelajar sekolah menengah atau rendah, matematik adalah matapelajaran yang dikira sebagai ‘top three’ paling susah disekolah. Tidak dinafikan, semasa saya di dalam darjah 5, saya juga menghadapi kesukaran untuk memahami subjek matematik. ia kelihatan terlalu sukar dan memeningkan.

Disebabkan saya tidak dapat menguasai matapelajaran itu, saya sering ponteng sekolah. Ini disebabkan, saya tidak dapat menyiapkan kerja sekolah saya. Kalau tidak siap, pasti saya akan dimarahi cikgu matematik saya (cikgu yang paling garang ketika itu). Saya rasa sungguh malu setiap kali kena marah.

Dirumah pula, keluarga saya tidak dapat membantu saya. Ibu dan bapa tidak sekolah tinggi. Kakak saya pula hanya setahun lebih tua daripada saya. Dikampung saya pula, sayalah sebenarnya yang paling menyerlah dalam bidang pelajaran. Jadi, tidak ada sesiapa yang saya dapat minta tolong ketika itu (sekarang saya rasa itu semua hanyalah alasan sebab banyak lagi perkara yang saya boleh buat untuk atasi masalah itu :)� )

Ketika itu, saya adalah ketua kelas dan guru matematik pula adalah guru kelas saya sendiri. Beliau amat marah dan kecewa kerana saya sering gagal menyiapkan kerja sekolah matematik dan mendapat markah rendah pula di dalam peperiksaan. Dia juga sering marah kerana saya sering tidak hadir ke sekolah. Apa beliau lakukan ialah, beliau turunkan pangkat saya daripada ketua kelas kepada menjadi penolong ketua kelas sahaja. Malu betul saya ketika itu. Saya tidak ceritakan pun perkara ini kepada ibu bapa saya.

Pada akhir tahun pula, saya tidak mendapat apa-apa hadiah dalam bidang pelajaran semasa hari penyampaian hadiah, cuma mendapat hadiah saguhati sebagai seorang penolong ketua kelas.

Walaubagaimanapun, saya masih bernasib baik kerana saya termasuk dalam 5 pelajar dalam kelas saya yang terpilih untuk memasuki kelas elit untuk tahun hadapan, iaitu tahun 6. Saya bersyukur. Namun, saya masih merasa takut kepada subjek matematik itu. Saya cuma lulus cukup makan di peperiksaan akhir tahun untuk subjek matematik. Bagaimana boleh saya majukan diri saya dalam subjek ini? Saya akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi?

Friday, September 3, 2010

Nanti orang kata kita sombong...



kisah dari sorang sahabat...

“Saya ni nak sangat jaga hubungan antara lelaki dan perempuan. Tapi kan, bila jaga, nanti orang kata kita sombong la pulak sebab macam dah tak layan mereka”

“Saya ni nak berubah. Saya banyak buat benda tak baik. Saya selama ni tak jaga batas antara lelaki perempuan. Saya nak berubah, tapi setiap kali saya cuba berubah, kawan-kawan saya akan kata saya sombong sebab mejauhi mereka”

Begitulah antara yang boleh kita dengari dalam hal menjaga hubungan lelaki dan perempuan.Alasan yang paling kerap saya terima adalah – Takut nanti orang kata kita sombong. Takut orang kata kita sombong itu seakan menjadi alasan popular untuk tidak menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan.

Hairan saya. Redha Allah, dengan redha manusia, redha manusia itu lebih penting kah?

Dan benarkah menjaga hubungan antara lelaki perempuan, bermaksud kita kena jauhi mereka?


Apa yang sombong?

Sombong ini adik beradik bongkak. Biasanya, orang bongkak ini tak mahu bergaul dengan golongan yang lebih rendah daripadanya.

Satu kesalahan yang besar apabila orang menamakan mereka yang berubah menjaga batas hubungan lelaki perempuan sebagai satu kesombongan. Hal ini kerana, sombong menjaga standard dan usaha menjaga diri dari kemurkaan Allah adalah dua perkara yang berbeza.

Nak jaga dari kemurkaan Allah, nak jaga diri dari dilempar ke api neraka, itu sombong ke?

Satu kesilapan juga pada diri yang nak berubah, apabila dia sendiri melihat tindakannya berubah itu sebagai satu kesombongan. Dia pulak rasa dia sombong. Masalah la.

Sombong, atau jaga diri? Itu dua perkara yang berbeza.

Siapa ajar menjaga batas hubungan lelaki perempuan itu satu kesombongan?

Sebenarnya, rasa sombong ini boleh muncul, kalau kita salah cara menjaga hubungan lelaki dan perempuan.

Menjaga diri bukannya memutuskan hubungan

Orang yang nak berubah juga perlu faham bahawa mereka hakikatnya mempunyai hubungan dengan rakan-rakan. Walaupun mungkin rakan-rakan mereka masih tidak ada rasa hendak berubah, tetap rakan-rakan mereka itu adalah orang yang telah banyak menghabiskan masa dengan mereka sebelum ini.

Maka, apabila melakukan perubahan, antara perkara yang tetap perlu dijaga adalah hubungan. Hubungan memang langsung tidak boleh diputuskan. Bahkan perlu dijaga. Mungkin apabila hendak berubah, tak boleh la nak bergaul bebas macam dahulu. Tetapi apa salahnya bertanya khabar, memberi hadiah ketika hari lahir, menziarahi rumah ketika hari raya, dan sebagainya yang menunjukkan bahawa kita bukannya memutuskan hubungan dengannya.

Ini secara tidak langsung akan menghilangkan anggapan bahawa yang berubah itu adalah sombong. Bahkan, kemungkinan rakan-rakan yang masih rasa tak mahu berubah itu akan terkesan dengan peribadi kita yang menjaga hubungan dengan mereka, lama kelamaan mereka turut berubah sama.

Mereka akan lihat bahawa, kita hanya nak jaga perintah Allah. Bukannya nak tunjuk bagus. Sebab itu, walaupun kita berubah, mungkin dah tak boleh dah nak bertepuk tampar, nak bergesel-gesel tubuh, nak bercampur tak tentu hala, tapi kita masih menjaga hubungan antara kita dan mereka.

Ini pergi delete kawan dalam FB. Kawan tu pulak bukannya kacau dia pun. Konon-konon nak jaga hubungan lelaki perempuan. Masalahnya, dia tu kan kawan sebelum ni? Apa salahnya biarkan aja dia dalam FB tu? Nanti masa birthday, boleh ucap selamat hari lahir. Bila lama dah tak tanya khabar, boleh tanya khabar.

Apa masalahnya? Kita delete, itu yang orang kata kita sombong. Siapa suruh putuskan hubungan? Lain la kawan tu jenis yang kita dah tegur suruh beradab dengan kita, suruh jaga hubungan dalam perbualan dengan kita, dia tak jaga-jaga. Tak apalah delete.

Redha Allah, atau redha manusia?

Satu benda yang saya tak berapa minat adalah, suka beralasan. Sebenarnya, kalau benar kita hendak berubah, maka kita kena faham ke arah mana kita hendak berubah. Untuk orang kata kita ni baikkah? Untuk orang nampak kita baguskah? Atau benar-benar nak redha Allah?

Kalau niat kita manusia, memang kita akan mudah tergugah dengan kata-kata manusia. Bila manusia kata kita nak tunjuk bagus, nak nampak baik, kita akan terasa.

Tapi, kalau matlamat kita betul-betul adalah Allah, maka kata-kata manusia tidak pernah menjadi masalah buat kita. Cakap la apa pun, aku nak berubah nak dapat redha Allah. Kat akhirat nanti, bukan manusia yang masukkan aku dalam syurga.

Maka sebenarnya, alasan nanti orang kata sombong, tak boleh pakai pun.

Biarlah orang kata kita sombong pun. Apa masalahnya? Ada masalah?

Penutup: Tak susah pun berubah kalau faham

Berubah tak pernah susah kalau faham bagaimana sebenarnya cara berubah yang sebenar. Ramai orang, merasakan perubahannya satu kepayahan adalah kerana dia tidak memahami cara yang sebenar untuk berubah.

Sebagai contoh, nak jaga hubungan lelaki perempuan, dia rasa kena putuskan hubungan. Sedangkan, menjaga hubungan lelaki perempuan, dengan memutuskan hubungan adalah dua perkara yang berbeza.

Maka, memanglah kita nampak payah. Nanti nak gaduh dengan kawan lagi, nak tahan kawan kutuk lagi, nak mula seorang diri lagi, macam-macam punya lagi kita fikir.

Sedangkan, apa salahnya berubah, tetapi masih menjaga hubungan dengan kawan-kawan, dalam keadaan kita menjaga hubungan itu masih di dalam syara’.

Bukan setakat diri kita terjaga, bahkan menjadi satu wasilah dakwah pula. Mana tahu Allah buka hati mereka atas sebab kita.

Masalahnya, benda ni takkan mampu dilihat oleh manusia yang menyatakan: “Ala, nanti takut orang kata kita sombong” hanya sebagai alasan semata-mata untuk dia tak nak berubah.

p/s: niat yang baik akan menghasilkan kesan yang baik pada diri sendiri.

Thursday, September 2, 2010

apa itu pendidikan...



Pendidikan menurut Islam mempunyai kedudukan yang tinggi. Ini dibuktikan dengan wahyu pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang menyuruh bagainda membaca dalam keadaan beliau yang ummi [1]. Di samping itu, wahyu ini juga mengandungi suruhan belajar mengenali Allah s.w.t., memahami fenomena alam serta mengenali diri yang merangkumi prinsip-prinsip aqidah, ilmu dan amal. Ketiga-tiga prinsip ini merupakan teras kepada falsafah pendidikan Islam [2].
Definisi pendidikan juga kerapkali menampakkan perbezaan dalam penekanan dan konsepnya di kalangan sarjana Barat. Ahli falsafah Amerika, John Dewey menyatakan bahawa pendidikan adalah “The process of forming fundamental dispositions, intellectual and emotional forwards nature and fellow men.” [3]
Prof. H. Hone pula berpendapat: “Education is the eternal process of superior adjustment of the physically developed, free conscious, human beings to God as manifested in the intellectual, emotional and relational environment of men.” [4]
Ahli falsafah Yunani yang terkenal, Plato mengatakan pendidikan bererti memberi keindahan dan kesempurnaan yang mungkin diberikan kepada jasmani dan rohani[5]
Dilihat dari takrif yang diberikan Sarjana Barat, difahamkan bahawa pendidikan itu hanya sebagai proses melatih akal, jasmani dan moral supaya dibentuk menjadi manusia dan warganegara yang baik. Manakala menurut perspektif Islam, pendidikan mempunyai pengertian dan konsep yang lebih luar atau syumul.
Prof. Hassan Langgulung (1987) menegaskan pendidikan sebagai mengubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses. Proses pemindahan tersebut ialah pengajaran, latihan dan indoktrinasi. Pemindahan nilai-nilai melalui pengajaran ialah memindahkan pengetahuan dari individu kepada individu yang lain dan latihan ialah membiasakan diri melakukan sesuatu bagi memperoleh kemahiran, sementara indoktrinasi pula menjadikan seseorang dapat meniru apa yang dilakukan oleh orang lain. Ketiga-tiga proses ini berjalan serentak dalam masyarakat primitif dan moden.
Dr. Yusuf al-Qardawi (1980) pula mendefinisikan pendidikan sebagai pendidikan bagi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkahlaku. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan.
Kesimpulannya, pendidikan menurut Islam ialah satu proses berterusan untuk mengubah, melatih, dan mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia dengan berasaskan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabadikan diri kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.
Konsep Pendidikan
Pendidikan berakar umbi daripada perkataan didik yang bererti pelihara, ajar dan jaga. Setelah dijadikan analogi, pendidikan boleh dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk menjaga dan memelihara pembesaran tubuh badan dan pertumbuhan bakat manusia dengan rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku dan dapat mengekalkan nilai-nilai budaya di kalangan masyarakat[6].
Pendidikan dalam Bahasa Arab
Walaupun ketiga-tiga istilah (di bawah) merujuk kepada pendidikan, ‘tarbiyah’ adalah yang tepat dan sering digunakan [7]. Ini adalah kerana perkataan ‘tarbiyah’ menurut sarjana Pendidikan Islam berasal dari “rabb” yang merujuk kepada Allah s.w.t sebagai pendidik umat manusia [8][9]
Ta’lim
Firman Allah s.w.t. bermaksud :
“Dan Dia telah mengajar Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkan kepada Malaikat lalu ia berfirman: Terangkanlah kepada aku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar.” [10]
Tarbiyah
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“...dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata), Wahai Tuhanku, cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku sesama kecil.”
Ta’dib
Hadith Rasulullah s.a.w.
“Allah mendidikku, maka Dia memberikan kepadaku sebaik-baik pendidikan.”
[sunting] Falsafah Pendidikan Islam
Falsafah merupakan kompenan yang paling utama dan tertinggi dalam bidang pendidikan kerana sikap manusia yang hendak dibentuk adalah bergantung kepada falsafah yang digariskan melalui pendidikan.
Dr. Al-Syaibani (1979) mentakrifkan falsafah pendidikan Islam sebagai usaha perlaksanaan teori dan “method” di bidang pengalaman manusia dipanggil pendidikan. Oleh yang demikian, falsafah pendidikan Islam merangkumi aspek-aspek matlamat, kandungan dan dasar pendidikan islam.[11]

Bidang Pendidikan Islam
al-imaniyah (pendidikan iman)
al-khuluqiyah (pendidikan akhlak)
al-jismiyah (pendidikan jasmani)
al-aqiliyah (pendidikan mental)
al-nafsiyah (pendidikan jiwa)
al-ijlimaiyah (pendidikan sosial)
al-jinisiyah (pendidikan seks)

Institusi Pendidikan Islam

Peringkat awal Islam
Tahap ini merangkumi pendidikan pada zaman Rasulullah (609-632M) dan para khulafah al-Rasyidih (632-661M).
[sunting] Dar al-Arqam
Rumah merupakan tempat pendidikan awal yang diperkenalkan ketika Islam mula berkembang di Mekah. Rasulullah menggunakan rumah Arqam bin Abi al-Arqam di al-Safa sebagai tempat pertemuan dan pengajaran dengan para sahabat[12]. Bilangan kaum Muslim yang hadir pada peringkat awal adalah terlalu kecil, tetapi makin bertambah sehingga menjadi 38 orang yang terdiri daripada golongan bangsawan Quraisy, pedagang dan hamba sahaya.
Di Dar al-Arqam, Rasulullah mengajar wahyu yang telah diterimanya kepada kaum Muslim. Baginda juga membimbing mereka menghafal, menghayati dan mengamalkan ayat-ayat suci yang diturunkan kepadanya.
Masjid
Fungsi masjid selain tempat ibadat ialah sebagai tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam; tempat menyelesaikan masalah individu dan masyarakat; tempat menerima duta-duta asing; tempat pertemuan pemimpin-pemimpin Islam; tempat bersidang; dan madrasah bagi kanak-kanak mempelajari ilmu agama & fardu ain. [13]
Selepas berhijrah ke Madinah, pendidikan Islam mula berpusat di masjid-masjid dan Masjid Quba’ merupakan masjid pertama yang dijadikan Rasulullah sebagai institusi pendidikan. Di dalam masjid, baginda mengajar dan memberi khutbah dalam bentuk halaqah di mana para sahabat duduk mengelilingi baginda untuk mendengar dan bersoaljawab berkaitan urusan agama dan kehidupan sehari-harian.
Semakin luas wilayah-wilayah yang ditakluk Islam, semakin meningkat bilangan masjid yang didirikan. Di antara masjid yang dijadikan pusat penyebaran ilmu dan pengetahuan ialah Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi.
Suffah
Al-Suffah merupakan ruang atau bangunan surau yang bersambung dengan masjid. Suffah boleh dilihat sebagai sebuah sekolah kerana kegiatan pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara teratur dan sistematik. Contohnya Masjid Nabawi yang mempunyai suffah yang digunakan untuk majlis ilmu.
Kuttab
Ia ditubuhkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi dan bertujuan memberi pendidikan kepada kanak-kanak di peringkat rendah. Sungguhpun begitu, institusi tersebut tidak mendapat perhatian dari masyarakat Arab kerana sebelum kedatangan Islam, hanya 17 orang Quraisy yang tahu membaca dan menulis [14] Kemahiran-kemahiran asas seperti membaca dan munlis dilakukan oleh kebanyakan guru-guru yang mengajar secara sukarela. Selain itu, Rasulullah juga pernah memerintkah tawanan perang Badar yang berkebolehan supaya mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga mereka tahu membaca dan menulis sebagai syarat menebus diri.
Peringkat kedua
Peringkat ini merangkumi zaman kerajaan Umaiyyah (662-750M) dan Abbaisiyah (751-1258M). Pada zaman ini, institusi pendidikan yang awal seperti masjid dan kuttab terus dikembangkan hasil dorongan dan galakan dari para khalifah yang memerintah. Selain itu, institusi pendidikan tinggi dan lanjutan mula diperkenalkan sehingga melahirkan ramai golongan sarjana dan cerdik pandai Islam dalam pelbagai ilmu.

p/s; orang tua2 kata, ilmu tanpa cahaya celaka.. tapi jika ilmu itu disuluh dgn cahaya sudah pasti memberi manfaat kepada diri.. renung2kan...